Ikuti Kami:

Adam Nuqris Melangkah Keluar Dari Zon ‘Cover’, Tampil Garang Pertaruhkan Karya Asli “Alasan”

Adam Nuqris Melangkah Keluar Dari Zon ‘Cover’, Tampil Garang Pertaruhkan Karya Asli “Alasan”

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini wajah dan vokalnya sering menghiasi ‘For You Page’ (FYP) di aplikasi TikTok menerusi nyanyian lagu saduran (cover), kini bintang muda yang sedang hangat meningkat naik, Adam Nuqris, bersedia membuktikan taringnya yang sebenar di persada muzik tempatan arus perdana.

Melangkah keluar dari zon selesa, Adam kini menoktahkan gelaran sekadar penyanyi media sosial dengan mempertaruhkan single debut rasminya yang berjudul Alasan.

Penyanyi yang cukup sinonim dengan tona vokal ‘serak-serak basah’ ini mula mencuri tumpuan ramai, lebih-lebih lagi selepas mengumpul pengikut melebihi 68,000 di platform TikTok. Bakat nyanyiannya yang versatil mampu merentasi pelbagai genre muzik dari hip-hop hingga rock. Malah, kualiti nyanyian cover lagu dendangan Zynakal dan Yonnyboii miliknya turut mendapat perhatian serta pengiktirafan daripada penyanyi asal lagu-lagu tersebut.

Adam Nuqris Melangkah Keluar Dari Zon 'Cover', Tampil Garang Pertaruhkan Karya Asli Alasan

Menyingkap perjalanan kerjaya anak muda ini, profilnya terbina daripada realiti kehidupan yang cukup merendah diri. Darah seni yang mengalir dalam dirinya bukan hadir sekelip mata, sebaliknya diasah melalui usaha keras sebelum melangkah ke dunia rakaman profesional. Perjalanan awalnya mencerminkan keazaman tinggi untuk mengubah minat menjadi sebuah kerjaya yang bermakna.

Sebelum bergelar artis, Adam Nuqris terlebih dahulu membina jati diri dengan bekerja sebagai tukang gunting rambut selain mengusahakan sebuah gerai makanan di Kampung Baru. Pengalaman hidup ini menjadi asas pembentukan disiplin dan kematangan dirinya sebelum terjun sepenuhnya ke dalam industri kreatif.

Sebagai seorang pemuzik yang belajar bermain gitar secara sendiri (self-taught), beliau mula menimba pengalaman pentas sejak di bangku sekolah. Bersama rakan-rakan, termasuk rakan artis Dannqrack, beliau sering membuat persembahan spontan di dalam kelas, sekali gus menyemai keyakinan diri dan mengasah bakat persembahan sejak usia muda.

Adam Nuqris Melangkah Keluar Dari Zon 'Cover', Tampil Garang Pertaruhkan Karya Asli Alasan

Bakatnya kemudiannya berjaya dihidu oleh senior sekolah menengahnya yang juga penyanyi remaja, Asad Motawh. Hubungan ini membuka peluang apabila Asad mengajaknya bekerjasama menghasilkan kandungan hiburan di YouTube, sekali gus menjadi sokongan awal dan laluan penting ke arah pembinaan kerjaya seni yang lebih tersusun.

Langkah kerjayanya semakin kukuh apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir program realiti All Together Now Malaysia Musim 2. Fasa ini menjadi titik peralihan signifikan apabila beliau mula menerima bimbingan vokal profesional daripada Cikgu Shafi, sekali gus memperhalusi teknik dan kualiti nyanyiannya.

Tidak terhad kepada bidang nyanyian sahaja, bakatnya turut merentasi pelbagai platform lain. Beliau aktif sebagai pengacara dokumentari FINAS, pengacara siaran langsung MotoGP Malaysia, model pertunjukan fesyen SOVO x Sidez, serta duta kepada beberapa kempen jenama besar dalam dunia permotoran.

Adam Nuqris Melangkah Keluar Dari Zon 'Cover', Tampil Garang Pertaruhkan Karya Asli Alasan

Malah sejak kecil lagi, Adam Nuqris sudah terdedah dengan dunia hiburan apabila memegang watak utama dalam muzik video Sabar nyanyian Wanie Khayrie dan Hafiz Suip, selain muncul dalam program Haa Kan Dah Kena pada usia 10 tahun.

Bercerita mengenai kemunculan single pertamanya, naskhah Alasan sebenarnya bermula secara tidak sengaja menerusi satu rakaman spontan berdurasi 30 saat sewaktu sesi jamming di sebuah studio. Selepas dimuat naik ke TikTok dan menerima respons luar biasa yang ‘mengkait’ emosi pendengar, rakaman ringkas itu akhirnya disempurnakan menjadi sebuah karya penuh.

Dilancarkan secara rasmi pada 20 April 2026 di bawah naungan SVLTAN Management dengan kerjasama label gergasi, Sony Music Entertainment Malaysia, lagu ini menonjolkan elemen hip-hop dengan sentuhan trap moden.

Adam Nuqris Melangkah Keluar Dari Zon 'Cover', Tampil Garang Pertaruhkan Karya Asli Alasan

Lebih membanggakan, ia mendapat sentuhan magis komposer tersohor, Kidd Santhe, manakala liriknya merupakan hasil nukilan bersama Adam sendiri, vokalis Saixse, dan figura rap lagenda, Altimet (Mambang).

Bercakap mengenai intipati karya tersebut, Adam menegaskan bahawa Alasan sama sekali lari daripada naratif klise lagu putus cinta. Sebaliknya, ia mengangkat tema introspektif mengenai keletihan emosi, penerimaan kebenaran yang menyakitkan, dan pencarian keberanian untuk akhirnya memilih diri sendiri.

“Lagu ini bukan sekadar tentang kesedihan. Ia tentang momen apabila kita akhirnya berhenti menafikan apa yang kita rasa, dan mula berani mengakui bahawa kita sudah sampai ke satu titik di mana kita perlu memilih diri sendiri,” kongsi Adam.

Beliau menambah bahawa tindakan untuk melepaskan atau ‘pergi’ bukanlah satu bentuk kekalahan, sebaliknya ia adalah keberanian yang paling jujur.

Bagi menterjemahkan jiwa lagu ini dengan lebih mendalam, sebuah video muzik (MV) rasmi berkonsepkan visual sinematik dan beremosi telah pun dilancarkan. Pengarahan visual ini digalas oleh pengarah kreatif prolifik, Kripxen, yang sebelum ini pernah menghasilkan magis untuk bintang hip-hop terkemuka, SonaOne dan Alyph.

Peminat kini boleh menikmati single sulung Adam Nuqris ini di kesemua platform penstriman digital utama serta menonton video muziknya di YouTube.

Loading...