Ani Maiyuni & Viviana Terus Unggul! Jurang Markah Kecil, Nana Mahazan & Althea Mangsa Penyingkiran Pertama TTMM!
- oleh Editor MYBUZZ
- 4 May 2026 10:05 am
KUALA LUMPUR – Konsert minggu ketiga program realiti hiburan sensasi, Talk To My Manager musim kedua (TTMM 2) mula menunjukkan taringnya apabila menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan peserta. Pasangan Ani Maiyuni dan Viviana berjaya mencuri tumpuan juri untuk menduduki tempat pertama, manakala tuah tidak menyebelahi Nana Mahazan dan Althea apabila mereka menjadi peserta terawal yang tersingkir dari pentas berprestij itu.
Berentap atas pentas dengan membawa lagu Bintang nyanyian asal Budak Kacamata, gandingan Ani Maiyuni dan Viviana cemerlang memukau para juri, lantas mengungguli carta mingguan dengan kutipan markah tertinggi sebanyak 84.33 peratus.

Mengekori rapat di kedudukan kedua adalah pasangan Safura dan Kim Khairri yang memperolehi markah 81.67 peratus menerusi persembahan bertenaga lagu Belaian Jiwa dendangan kumpulan Carefree. Kedudukan Top 3 pula dilengkapkan oleh Dato’ A.Aida dan Azeva yang meraih 74.33 peratus selepas menyampaikan lagu klasik Gadis Dan Bunga (Rahimah Rahim).
Bagaimanapun, persembahan menerusi lagu Halaman Cinta nyanyian asal Misha Omar nyata gagal menyelamatkan kedudukan Nana Mahazan dan Althea. Pasangan itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga TTMM 2 selepas berada di kedudukan corot dengan markah terendah, 58.67 peratus.
Turut menghuni senarai ‘bottom two’ dan nyaris tersingkir pada malam tersebut adalah gandingan Adira dan Anggrek yang hanya mengutip 59.00 peratus selepas mempersembahkan lagu Diam Diam Jatuh Cinta (Ramlah Ram).
Menariknya untuk konsert minggu ketiga TTMM 2 ini, produksi telah menetapkan tema “HATI INGIN BERBICARA, HATI PUN SERING BERTANYA..”. Cabaran utama tugasan kali ini adalah kesemua lagu profil bintang telah digubah semula susunannya (re-arranged) menggunakan aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI), memberikan nafas segar dan elemen kejutan dalam setiap persembahan.

Kesemua peserta pada malam itu telah diadili oleh barisan juri tetap TTMM 2 yang cukup berbisa iaitu Che Puan Sarimah Ibrahim dan Dato AC Mizal. Kerusi juri menjadi lebih ‘panas’ dengan kehadiran maestro muzik terkenal, Dato Ramli MS yang diundang sebagai juri jemputan bagi memberikan kritikan profesional.
Antara pasangan lain yang turut berentap dan berjaya meneruskan kemaraan ke minggu hadapan ialah Linda Jasmine dan Ratu yang mendapat 69.00 peratus (Thriller), Jamilulhayat dan Hussain di kedudukan kelima dengan 65.00 peratus (Ku Ke Udara Lagi), serta Dato’ Sri Vida dan Cik B dengan 61.33 peratus (Bila Cinta Didusta).
Pak Azad dan Amarra yang mempersembahkan lagu Conga pula meraih markah 60.33 peratus, dipisahkan tipis dengan Dato’ Fazley dan Fariędz yang mendapat 60.00 peratus menerusi lagu Setia Ku Korbankan. Berikut senarai penuh markah peserta Talk To My Manager 2 Konsert Minggu Ketiga:
- Ani Maiyuni & Viviana – 84.33%
- Safura & Kim Khairri – 81.67%
- Dato’ Aida & Azeva – 74.33%
- Linda Jasmine & Ratu – 69.00%
- Jamilulhayat & Hussain – 65.00%
- Dato’ Sri Vida & Cik B – 61.33%
- Pak Azad & Amarra – 60.33%
- Dato’ Fazley & Fariedz – 60.00%
- Adira & Anggrek – 59.00%
- Nana Mahazan & Althea – 58.67%
