Ikuti Kami:

19 Bintang Serumpun Berpadu Suara! Kris Dayanti, Hindia & Pamungkas Gegarkan Ultra Kalcer Malaysia 2026

19 Bintang Serumpun Berpadu Suara! Kris Dayanti, Hindia & Pamungkas Gegarkan Ultra Kalcer Malaysia 2026

KUALA LUMPUR: Peminat muzik tempatan dan seberang bakal disajikan dengan sebuah festival berskala mega apabila 19 bintang ternama dari Malaysia dan Indonesia disatukan di atas satu pentas menerusi penganjuran Ultra Kalcer Malaysia 2026.

Acara berprestij ini dijadualkan menggegarkan KL Festival Park selama dua hari berturut-turut pada 7 dan 8 November depan. Festival anjuran Neptunes Presents ini menjanjikan pengalaman luar biasa dengan membariskan artis kelas A dari seberang termasuk diva legenda, Kris Dayanti, selain Pamungkas, Hindia, Sal Priadi, Danilla, Barasuara, Biru Baru, Naykilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Romantic Echoes dan The Moonlight Knights.

Sebagai tuan rumah, pentas berkenaan turut dipanaskan oleh bakat tempatan seperti Rangkaian Fugo, Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club dan Citykops.

19 Bintang Serumpun Berpadu Suara! Kris Dayanti, Hindia & Pamungkas Gegarkan Ultra Kalcer Malaysia 2026

Nabila Huda umum festival mega Ultra Kalcer Malaysia 2026, gabungkan bintang terbaik Malaysia dan Indonesia.

 

Jurucakap penganjur dari Neptunes Presents yang juga pelakon popular, Nabila Huda Suhaimi meluahkan rasa bangga kerana dapat merealisasikan festival yang merai dan menghimpunkan barisan artis terbaik Nusantara.

“Pasukan kreatif produksi bertungkus-lumus mendapatkan penyanyi yang terdiri daripada nama-nama hebat industri muzik untuk menjayakan festival ini. Apatah lagi, lagu nyanyian mereka sering menduduki carta teratas serta mempunyai tempat istimewa di hati peminat kedua-dua negara,” jelas anak kepada penyanyi rock legenda Datuk Amy Search itu pada sidang media di The Volume, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Neptunes Presents, Mohd Izwan Johar; Ketua Pegawai Operasi, Fizzany Adnan; dan Pengarah Projek, Shamil Yusof. Bercakap mengenai pemilihan lokasi, Nabila memaklumkan KL Festival Park dipilih berikutan kedudukannya yang sangat strategik.

19 Bintang Serumpun Berpadu Suara! Kris Dayanti, Hindia & Pamungkas Gegarkan Ultra Kalcer Malaysia 2026

Tambahnya, lokasi tersebut menjamin keselesaan pengunjung kerana ia direka untuk menampung kapasiti berskala besar melebihi 20,000 penonton pada satu-satu masa. Bagi mengekalkan elemen kejutan, Nabila menegaskan bahawa senarai lagu yang bakal dibawakan oleh setiap artis akan dirahsiakan sepenuhnya sehinggalah hari persembahan, meskipun kesemua penyanyi kini sedang giat melakukan persiapan rapi.

Tiket bagi menyaksikan Ultra Kalcer Malaysia 2026 ditawarkan pada harga mampu milik untuk semua penonton dan telah mula dijual sejak 4 September lalu menerusi laman web rasmi www.bbo.events.com.

Sebagai rekod, penganjuran ini mengukuhkan lagi portfolio Neptunes Presents yang sebelum ini berjaya menganjurkan Festival Muzik Nyalafest di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 30 November 2024, membabitkan lapan artis berprofil tinggi dari dua negara.

Loading...