Lokal

Terjawab Sudah! ‘Bluest Sky’ Jadi Pertaruhan Aina Abdul Ke Eurovision Asia 2026

Oleh

Terjawab Sudah! ‘Bluest Sky’ Jadi Pertaruhan Aina Abdul Ke Eurovision Asia 2026

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan menjadi tanda tanya, akhirnya terjawab karya yang bakal dibawa Aina Abdul sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Asia 2026 apabila penyanyi versatil itu memilih lagu terbaharunya, Bluest Sky, sebagai pertaruhan utama negara.

Aina sebelum ini diumumkan sebagai wakil rasmi Malaysia ke pertandingan berprestij itu menerusi pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) pada Ogos lalu. Pemilihan Bluest Sky sekali gus membuka satu lagi lembaran penting dalam perjalanan seni penyanyi berkenaan di peringkat antarabangsa.

Lebih istimewa, lagu berkenaan merupakan hasil ciptaan Aina sendiri, manakala susunan muziknya digarap oleh pengubah terkenal Mac Chew.

 

Dibentuk sebagai sebuah power ballad berskala besar, Bluest Sky menggunakan ratusan trek instrumen bagi menghasilkan susunan muzik yang lebih luas dan dramatik.

Di sebalik bunyinya yang gah, lagu itu membawa cerita mengenai cinta, kesedihan dan ketidakpastian dalam sebuah hubungan.

Namun mesejnya tidak berakhir dengan kekecewaan semata-mata. Sebaliknya, Aina mahu karya tersebut turut membawa harapan bahawa kesedihan yang dilalui seseorang tidak akan kekal selamanya.

Terjawab Sudah! ‘Bluest Sky’ Jadi Pertaruhan Aina Abdul Ke Eurovision Asia 2026

‘Bluest Sky’ angkat kisah cinta dan luka dalam pertaruhan antarabangsa Aina Abdul

 

Antara Rakaman Paling Mencabar Buat Aina

Bagi Aina, Bluest Sky bukan karya yang mudah untuk dirakamkan. Penyanyi yang terkenal dengan kekuatan vokal itu menyifatkan lagu berkenaan sebagai antara karya paling mencabar pernah dilakukannya, khususnya daripada sudut penghayatan emosi.

Dalam tempoh yang singkat, Aina perlu bergerak melalui pelbagai lapisan perasaan — daripada cinta, duka dan kekeliruan sehingga kepada keletihan emosi — untuk memastikan keseluruhan cerita lagu sampai kepada pendengar.

Menurut Aina, pentas antarabangsa itu juga mahu digunakannya untuk memperkenalkan identiti sebenar Aina Abdul sebagai penyanyi dan pencipta, selain membuka ruang lebih besar kepada muzik Malaysia untuk dikenali di luar negara.

Terjawab Sudah! ‘Bluest Sky’ Jadi Pertaruhan Aina Abdul Ke Eurovision Asia 2026

Menuju Pentas Dunia: Aina Abdul lancar ‘Bluest Sky’ di Rex KL

 

Pelancaran Eksklusif Di Rex KL

Bagi meraikan pelancaran lagu itu, satu sesi pendengaran eksklusif diadakan di Rex KL, Petaling Street pada 8 Oktober 2026, menghimpunkan wakil media serta kelompok peminat terdekat Aina.

Acara berkonsepkan suasana di awan itu memberi pengalaman audio visual yang lebih intim, di samping memberi peluang kepada Aina berkongsi cerita mengenai proses penghasilan Bluest Sky serta persiapannya menuju Eurovision Asia 2026.

Pemilihan Bluest Sky turut dilihat sebagai fasa baharu dalam hubungan kreatif Aina bersama TV3, selain menjadi karya yang membawa tanggungjawab lebih besar kerana bakal dipersembahkan atas nama Malaysia.

Road to Eurovision Asia 2026, TV3 ikuti perjalanan Aina Abdul dalam siri kapsul khas.

 

Perjalanan Aina Ke Eurovision Turut Didokumentasikan

Bagi peminat yang mahu mengikuti persiapan Aina dengan lebih dekat, perjalanan penyanyi itu menuju Eurovision turut didokumentasikan menerusi siri kapsul khas Malaysia Memburu Impian bersama Aina Abdul.

Kapsul berdurasi dua minit berkenaan disiarkan setiap minggu menerusi program Melodi di TV3, selain dimuat naik ke platform media sosial rasmi Melodi dan TV3.

Dengan sebuah karya ciptaan sendiri, susunan muzik berskala besar dan identiti vokal yang cukup sinonim dengannya, Bluest Sky kini memikul satu misi yang jauh lebih besar daripada sekadar menjadi single terbaharu.

Ia bakal menjadi lagu yang membawa nama Malaysia ke Eurovision Asia 2026 — dan bagi Aina, pentas itu mungkin menjadi satu lagi peluang penting untuk membuktikan bahawa muzik tempatan juga mampu berdiri setanding di pentas antarabangsa. Aina… Hot to Go!

, , , , , ,

Verified by MonsterInsights