KUALA LUMPUR: Industri muzik Malaysia mencatat sejarah apabila merekodkan pendapatan sebanyak RM428.3 juta pada 2025, angka tertinggi pernah dicapai setakat ini, sekali gus memperkukuh gesaan supaya sektor muzik diberi perhatian lebih besar dalam Belanjawan 2027.
Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) berkata, pencapaian itu membuktikan industri muzik semakin berkembang sebagai sebahagian daripada ekonomi kreatif, digital dan ekosistem harta intelek negara, bukan sekadar cabang hiburan.
Pendapatan RM428.3 juta itu meningkat 21.5 peratus berbanding RM352.4 juta pada 2024, dengan penstriman muzik digital serta kutipan menerusi Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) menjadi antara pemacu utama pertumbuhan.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata pertumbuhan pesat muzik digital dan peningkatan nilai harta intelek menunjukkan industri tersebut mempunyai potensi lebih besar untuk menyumbang kepada ekonomi, termasuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan menghasilkan kandungan tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Kepentingan industri itu turut disokong oleh kajian impak ekonomi PwC bagi tempoh 2016 hingga 2020 yang mendapati industri muzik tempatan menghasilkan kira-kira RM19.4 bilion output ekonomi setiap tahun, menyumbang RM531 juta dalam kutipan cukai tahunan serta menyokong purata 111,000 pekerjaan setahun.
Kesan ekonominya juga tidak terhad kepada jualan muzik semata-mata, sebaliknya melimpah kepada sektor konsert, premis hiburan, penyiaran, acara dan pelancongan.
Mahu Dana Eksport Muzik Malaysia
Antara cadangan utama yang dikemukakan RIM menjelang Belanjawan 2027 ialah penubuhan Dana Eksport Muzik Malaysia.
Dana itu dicadangkan bagi membantu artis serta syarikat muzik tempatan menyertai pertunjukan muzik antarabangsa, menjalankan promosi dan pemasaran digital di luar negara serta mewujudkan lebih banyak kolaborasi dengan pemain industri global.
Menurut RIM, kepelbagaian muzik Malaysia dalam bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris memberi kelebihan tersendiri kepada negara untuk menembusi pasaran muzik Asia dan seterusnya pasaran antarabangsa.
Rosmin berkata Malaysia tidak seharusnya kekal sebagai pengguna kandungan muzik antarabangsa semata-mata apabila negara mempunyai bakat, kepelbagaian budaya dan harta intelek yang mampu dibangunkan sebagai produk eksport.
Mahu Potongan Cukai Berganda
RIM turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan Potongan Cukai Berganda bagi perbelanjaan yang ditanggung syarikat rakaman untuk latihan bakat, pembangunan artis dan aktiviti penerbitan muzik. Di bawah cadangan itu, syarikat rakaman yang layak boleh menuntut potongan cukai sehingga 200 peratus daripada perbelanjaan yang memenuhi syarat.
Insentif berkenaan dilihat mampu menggalakkan pelaburan lebih besar dalam latihan vokal, persembahan dan perhubungan awam, sekali gus menyediakan artis tempatan dengan persiapan profesional bagi membina kerjaya jangka panjang.
Pada masa sama, RIM mahu sokongan kerajaan terhadap penghasilan kandungan muzik tempatan terus dipertingkat, termasuk menerusi inisiatif seperti Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang menurut persatuan itu telah membantu melahirkan karya berkualiti serta menerima pengiktirafan di Anugerah Industri Muzik (AIM).
‘Hari Muzik Negara’ Mahu Dijadikan Acara Tahunan
Selain bantuan kewangan dan insentif cukai, RIM turut mengalu-alukan usaha mewujudkan Hari Muzik Negara dan mahu ia dikembangkan sebagai sambutan tahunan berskala nasional.
RIM mencadangkan penglibatan radio, televisyen, platform digital serta sektor awam dan swasta supaya sambutan itu dapat menjadi gerakan bersama dalam menggalakkan rakyat mendengar, meneroka dan menyokong muzik tempatan.
AI Dan Hak Cipta Jadi Kebimbangan Baharu
Dalam perkembangan lain, RIM turut membangkitkan isu perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) yang disifatkan membawa cabaran baharu terhadap perlindungan hak cipta dan nilai komersial muzik tempatan.
Persatuan itu mahu rangka kerja hak cipta negara terus melindungi pencipta dan pemegang hak, termasuk memastikan karya muzik berhak cipta tidak digunakan bagi pembangunan AI secara komersial tanpa kebenaran sewajarnya.
RIM juga mencadangkan tempoh perlindungan hak cipta rakaman bunyi dilanjutkan daripada 50 tahun kepada 70 tahun bagi memberikan perlindungan lebih panjang terhadap harta intelek muzik Malaysia.
Bagi RIM, rekod pendapatan RM428.3 juta yang dicatat tahun lalu sepatutnya menjadi petunjuk bahawa industri muzik mempunyai ruang untuk berkembang jauh lebih besar sekiranya disokong melalui dasar, insentif dan pelaburan yang sesuai.
Persatuan itu berharap Belanjawan 2027 akan mengiktiraf industri muzik bukan sekadar sebagai sektor hiburan, tetapi sebagai industri yang mampu menjana pekerjaan, membina harta intelek, menghasilkan nilai ekonomi serta membawa budaya Malaysia ke pasaran dunia.

