KUALA LUMPUR — Garis pemisah antara telefon pintar, konsol dan PC gaming nampaknya semakin kabur. iQOO memperkenalkan iQOO 16, telefon pintar flagship generasi baharu yang membawa pendekatan lebih agresif terhadap gaming mudah alih dengan menggabungkan skrin 2K berfrekuensi tinggi, pemproses flagship, cip grafik khusus serta beberapa teknologi yang sebelum ini lebih sinonim dengan dunia PC dan konsol.
Model berkenaan merupakan antara telefon terawal menggunakan Snapdragon 8 Elite Gen 6, selain menjadi telefon pertama dunia yang menampilkan 2K 165Hz Samsung Everest Display hasil pembangunan bersama iQOO dan Samsung Display.
Namun, tarikan iQOO 16 bukan sekadar terletak pada angka spesifikasi. Melalui apa yang dinamakan “3+2 Gaming Technology Framework”, iQOO cuba membina satu ekosistem permainan yang menggabungkan grafik, kawalan dan sistem penalaan prestasi dengan fungsi permainan silang peranti serta penstriman langsung.

Skrin 2K 165Hz Pertama Dunia
Bagi sebuah telefon gaming, paparan adalah antara komponen paling penting — dan iQOO nampaknya tidak mahu bermain selamat. iQOO 16 menjadi peranti Android pertama menggunakan bahan pemancar cahaya Samsung M16 bersama teknologi 2K LEAD 2.0.
Resolusi 2K memberikan imej lebih terperinci manakala kadar segar semula 165Hz menjanjikan pergerakan yang lebih lancar serta tindak balas sentuhan yang lebih pantas. Kecerahan puncaknya pula mencecah 2,800 nits, sementara penggunaan kuasa didakwa 31 peratus lebih rendah berbanding skrin 1.5K dengan saiz sama.
Lebih menarik, sokongan 165Hz itu bukan sekadar angka atas kertas. iQOO mendakwa paparan berkenaan boleh beroperasi pada kadar tersebut dalam lebih 100 aplikasi serta lebih 50 permainan popular.
Setiap panel turut melalui kalibrasi individu, termasuk pampasan pada tahap piksel merentasi 9.12 juta subpiksel bagi menghasilkan kecerahan dan warna yang lebih konsisten.

Bila Telefon Mula Berlagak Seperti PC Gaming
Di sinilah iQOO 16 mula menjadi lebih menarik. Peranti itu dilengkapi cip esports Q4 yang dibangunkan sendiri oleh iQOO berasaskan seni bina tiga teras. Prestasinya didakwa meningkat 15 peratus, kelajuan cache 19 peratus lebih pantas dan kuasa pengkomputeran AI meningkat 19 peratus.
Apa yang lebih penting, cip tersebut membolehkan iQOO 16 menjalankan full-scene ray tracing, game super resolution dan frame interpolation secara serentak.
Dalam bahasa mudah, iQOO mahu cip Q4 bertindak seperti sebuah kad grafik diskret mini di dalam telefon — membantu menghasilkan pencahayaan lebih realistik, meningkatkan resolusi serta menjadikan pergerakan permainan kelihatan lebih lancar.
iQOO turut bekerjasama dengan Unreal Engine bagi membawa teknologi grafik daripada Unreal Engine 5 seperti Lumen dan Nanite ke dalam perancangan perisian serta perkakasan mereka.
Sasarannya jelas: pencahayaan bertaraf konsol dengan kadar bingkai tinggi pada peranti mudah alih.

Q-flex Bawa Kawalan Ala PC Ke Skrin Sentuh
Grafik cantik tidak banyak membantu sekiranya kawalan terasa lambat. Sebab itu iQOO turut memperkenalkan teknologi Q-flex, yang mengintegrasikan sistem kawalan secara terus ke dalam pipeline rendering permainan.
Teknologi itu menyelaraskan penghasilan frame dengan penggunaan sistem bagi mengurangkan latency sentuhan, memberikan respons lebih stabil serta meningkatkan ketepatan kawalan.
iQOO 16 juga dikatakan menjadi telefon pertama yang mampu menjalankan Honor of Kings pada 165fps secara native dengan tetapan kualiti imej maksimum. Ia dilengkapi cip kawalan sentuhan khusus serta giroskop generasi baharu untuk meningkatkan ketepatan ketika melakukan tap, swipe, pusingan dan membidik.
Bagi pemain kompetitif, peningkatan seperti ini mungkin jauh lebih terasa berbanding sekadar penambahan nombor pada benchmark.

Snapdragon 8 Elite Gen 6, 8.5K Ice Dome VC
Di bawah badan iQOO 16 ialah Snapdragon 8 Elite Gen 6 berasaskan proses 2nm, dipadankan bersama memori LPDDR5X Ultra Pro dan storan UFS 4.1.
Bagi memastikan telefon tidak kehilangan prestasi ketika sesi permainan panjang, iQOO menggunakan sistem penyejukan cecair 8.5K Ice Dome VC.
Sistem Monster Core Engine pula menggunakan scheduler yang dibangunkan sendiri untuk mengurus sumber pada tahap kernel, dengan matlamat mengekalkan kadar bingkai lebih stabil sambil mengawal penggunaan kuasa.
iQOO mendakwa iQOO 16 menyokong permainan 165Hz dalam lebih 100 judul, dengan fungsi super resolution serta frame interpolation tersedia untuk beberapa permainan popular. Malah bagi enam judul tertentu, telefon itu boleh menggabungkan resolusi 2K dan 165fps secara serentak.

Hampir 100 Permainan PC Dalam Telefon
Tetapi ciri yang mungkin paling membuatkan gamer mengangkat kening ialah PC Game Emulator terbina dalam. Menurut iQOO, emulator yang dibangunkan sendiri itu menyokong hampir 100 judul permainan PC, sekali gus membolehkan pengguna memainkan permainan tersebut melalui telefon.
Apabila telefon disambungkan atau dicast ke skrin lebih besar, fungsi Game Space Large Screen Mode pula akan menyediakan persekitaran permainan khusus, dengan sokongan kepada lebih 20 permainan mudah alih popular.
Di sinilah konsep “gaming PC dalam poket” yang cuba dibawa iQOO 16 mula kelihatan lebih daripada sekadar slogan pemasaran. Telefon bukan lagi semata-mata menjadi skrin permainan — tetapi boleh berfungsi sebagai pusat permainan yang disambungkan ke paparan lebih besar.
Streamer Pun Tak Dilupakan
iQOO juga nampaknya sedar bahawa gaming hari ini bukan sekadar bermain. Ramai pemain turut melakukan live streaming dan menghasilkan kandungan.
Sebab itu iQOO 16 menyokong aliran kerja penstriman lengkap, termasuk output kadar bingkai tinggi secara native serta pengekodan pada kualiti asal bagi mengekalkan mutu visual. Turut tersedia ialah template streaming khusus untuk Honor of Kings serta alat penyuntingan pintar.
Bukan Gaming Sahaja
Walaupun gaming menjadi fokus utama, iQOO 16 masih mahu berdiri sebagai sebuah flagship lengkap.
Sistem kameranya menampilkan sensor utama 50MP bersaiz 1/1.3 inci yang dikatakan mampu menangkap 79 peratus lebih banyak cahaya.
Ia digandingkan dengan sistem penstabilan profesional CIPA 5.5, enjin NICE 3.0 serta teknologi Ultra-Light HDR daripada vivo.
Turut disertakan ialah kamera telefoto super periskop Sony 50MP serta kamera ultra lebar 50MP. Bagi video dan kandungan sosial pula, ia menyokong 4K Live.
Bateri 8,400mAh, Pengecasan 100W
Satu lagi angka yang sukar diabaikan ialah kapasiti baterinya. iQOO 16 membawa bateri Blue Ocean 8,400mAh, pengecasan berwayar 100W FlashCharge serta pengecasan tanpa wayar 40W.
Telefon itu menjalankan OriginOS 7 dan turut dilengkapi Esports Network System 3.0, sensor cap jari ultrasonik 3D, motor dwi-paksi Warhammer MAX, pembesar suara stereo Drum Master Pro serta penarafan IP68 dan IP69 terhadap debu dan air.

Reka Bentuk Futuristik, Tiga Pilihan Warna
Dari sudut penampilan, iQOO membawa tema “Exploration and Excellence”. Varian Chasing Light menggunakan kaca AG dengan proses pengimejan holografik laser yang menghasilkan permainan cahaya merah dan biru apabila telefon digerakkan.
Modul kamera Tomorrow Porthole pula menempatkan tiga lensa di bawah kaca lutsinar dalam susunan yang diinspirasikan daripada lengan mekanikal.
iQOO 16 bakal ditawarkan dalam tiga warna iaitu Chasing Light, Legend dan Racing Track, dengan empat konfigurasi memori: – 12GB + 256GB, 12GB + 512GB, 16GB + 512GB dan 16GB + 1TB.
Malaysia Tunggu November
Buat masa ini, iQOO masih belum mendedahkan harga rasmi untuk pasaran tempatan. Namun, iQOO 16 dijangka membuat kemunculan di Malaysia pada November 2026.
Jika semua teknologi yang diumumkan diterjemahkan dengan baik dalam penggunaan sebenar, iQOO 16 mungkin menjadi antara telefon gaming paling menarik untuk diperhatikan tahun ini.
Bukan kerana ia sekadar lebih laju daripada generasi sebelumnya, tetapi kerana pendekatannya menunjukkan ke mana arah telefon gaming sedang bergerak — daripada sekadar bermain game mobile kepada sebuah mesin permainan mudah alih yang cuba mengambil sebahagian pengalaman PC dan konsol ke dalam poket pengguna.

