KUALA LUMPUR: Tanggapan bahawa obesiti sekadar krisis penampilan fizikal atau isu berat badan semata-mata kini harus dikikis sama sekali. Sebaliknya, ia merupakan ancaman penyakit kronik yang mampu melumpuhkan fungsi sistem tubuh serta mencetuskan komplikasi kritikal seperti diabetes, masalah kardiovaskular, dan kerosakan buah pinggang.
Menyedari realiti ini, Megaklinik Dr Suffian (MKDS) terus mengambil langkah proaktif dengan memperkukuh kecekapan pasukan perubatannya menerusi penganjuran MKDS Grand CME 2026 pada 11 dan 12 September lalu di DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur.
Program Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) selama dua hari itu menjadi platform penting yang menghimpunkan pakar-pakar perubatan terkemuka dari pelbagai disiplin termasuk Endokrinologi, Nefrologi, dan Pembedahan Plastik.
Inisiatif ini membuktikan komitmen MKDS dalam memastikan seluruh barisan doktor dan pasukan perubatan mereka sentiasa menguasai perubatan terkini, terutamanya dari sudut farmakoterapi, pemilihan intervensi, serta penjagaan pesakit yang komprehensif.
Pengarah Urusan MKDS, Adj. Prof. Dr. Nuraishah Hanani Abdul Ghani menegaskan bahawa usaha ini disokong penuh oleh pihak pengurusan tertinggi yang ingin membudayakan kelestarian ilmu dalam organisasi.
Langkah ini penting bagi memastikan perkhidmatan pengurusan obesiti yang ditawarkan sentiasa dipacu oleh bukti dan ledakan teknologi perubatan semasa.
Sementara itu, Pengarah Perubatan MKDS, Dr. Suffian Sani Sayuti menjelaskan bahawa cabaran merawat pesakit obesiti hari ini menuntut pendekatan yang jauh lebih mendalam berbanding hanya sekadar memberi nasihat mengekalkan gaya hidup sihat.
“Sebagai klinik yang memfokuskan kepada pengurusan perubatan obesiti terbaik di Malaysia, kami amat mengambil berat tentang evolusi ilmu perubatan yang bergerak pantas. Keputusan klinikal wajib dibuat bersandarkan kepakaran dan bukti semasa agar ia tepat serta selamat. Ini membolehkan setiap pesakit menerima penjagaan yang disasarkan tepat pada keperluan mereka,” jelas beliau.

MKDS Grand CME 2026 menghimpunkan barisan pakar dan doktor berpengalaman daripada pelbagai disiplin termasuk endokrinologi, nefrologi dan pembedahan plastik.
Gandingan Pakar Pelbagai Disiplin
Acara ini turut mencuri tumpuan menerusi sesi perkongsian padat daripada Pakar Perunding Endokrinologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, Prof. Dr. Norlela Sukor yang mengupas impak metabolik dan hormon, termasuk pengurusan diabetes dalam kalangan pesakit obesiti.
Bagi melengkapkan perspektif kesihatan organ dalaman, Ketua Bahagian Nefrologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Hafiz turut membentangkan hubung kait kritikal di antara obesiti, diabetes, dan kesihatan buah pinggang.
Sesi ini disusuli oleh Pakar Perunding Bedah Plastik Avisena Hospital Shah Alam, Dr. Wan Syazli yang memperincikan cabaran fizikal pasca-penurunan berat badan, khususnya prosedur menguruskan masalah lebihan kulit yang memerlukan penilaian teliti.

Kepimpinan MKDS yang sentiasa menekankan kepentingan budaya ilmu dan pembelajaran berterusan dalam organisasi.
Pembangunan Modal Insan dan Lonjakan Global
Bukan sekadar memfokuskan elemen teknikal klinikal, MKDS Grand CME 2026 turut menyuntik nilai kecemerlangan modal insan. Menerusi slot bersama penceramah jemputan, Tuan Rizal Rashid, kakitangan MKDS didedahkan dengan kemahiran komunikasi serta perhubungan interpersonal bagi memastikan kelancaran sokongan moral dan kualiti perkhidmatan terbaik untuk pesakit.
Pengurusan obesiti didapati bukan hanya bergantung pada preskripsi ubat, tetapi juga empati pasukan penjagaan. Lebih membanggakan, pembudayaan ilmu oleh MKDS tidak terhenti di sempadan negara. Doktor-doktor di bawah naungan klinik ini turut dihantar ke persidangan peringkat antarabangsa seperti European Association for the Study of Obesity (EASO) di Istanbul dan ISSCA Peptide World Congress di Peru.
Pendedahan global ini kemudiannya dibawa pulang dan dikongsi bersama keseluruhan pasukan MKDS menerusi acara CME ini bagi mengangkat standard amalan klinikal mereka. Melalui pelaksanaan MKDS Grand CME 2026, MKDS sekali gus meletakkan penanda aras baharu bahawa rawatan obesiti bukan lagi sekadar mengejar penurunan angka pada alat penimbang, tetapi berfokus ke arah memulihkan kesihatan metabolik, komposisi badan, dan kualiti hidup pesakit secara total.

