Ikuti Kami:

Pertahan Keunikan Suara Amsyar Lee, Guru Vokal Shaffiq Erwin Cadang Rombak Repertoir Lagu Lelaki

Pertahan Keunikan Suara Amsyar Lee, Guru Vokal Shaffiq Erwin Cadang Rombak Repertoir Lagu Lelaki

KUALA LUMPUR – Guru vokal dan penyanyi, Shaffiq Erwin, mengingatkan Amsyar Lee agar lebih berhati-hati dalam mengendalikan emosi di media sosial kerana tindakan meluahkan kekecewaan secara terbuka berisiko memberi impak negatif kepada kerjaya seninya.

Teguran itu menyusul selepas Amsyar terdahulu menyuarakan rasa kesal di platfom digital berhubung kritikan sesetengah pihak yang mempertikaikan identiti vokalnya serta menganggap nyanyiannya sekadar menggunakan ‘suara tipu’.

Luahan Media Sosial Boleh ‘Makan Diri’

Menurut Shaffiq, perasaan tidak puas hati adalah perkara lumrah bagi seorang manusia. Namun, sebagai individu awam yang mencari rezeki dalam industri hiburan, seboleh-bolehnya emosi tersebut perlu dikawal dan disalurkan kepada saluran yang betul seperti keluarga, pengurus atau rakan terdekat.

“Seboleh-bolehnya cuba tahan diri daripada meluah di media sosial kerana ia boleh memberi kesan semula kepada kita jika disalah tafsir oleh mana-mana pihak,” katanya yang turut menyarankan Amsyar memohon maaf sekiranya kenyataan lalu menjejaskan hubungan profesionalnya.

Pertahan Keunikan Suara Amsyar Lee, Guru Vokal Shaffiq Erwin Cadang Rombak Repertoir Lagu Lelaki

Shaffiq Erwin puji teknik vokal Amsyar Lee, namun mahu nyanyian lebih padu.

 

Pertahan Warna Suara Countertenor Amsyar

Biarpun memberi teguran, bekas peserta Famili Duo itu tegas mempertahankan keunikan bakat Amsyar dan menganggap tindakan mempertikaikan warna suara seseorang tanpa alasan kukuh sebagai sesuatu yang tidak adil.

Shaffiq menjelaskan bahawa pendekatan nyanyian Amsyar mempunyai persamaan dengan teknik countertenor yang memanfaatkan julat tinggi (falsetto atau head register), malah warna suaranya sememangnya halus walau ketika bercakap.

Kebolehan Amsyar meniru pelbagai artis wanita seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Elizabeth Tan, Dayang Nurfaizah dan Jaclyn Victor tidak bermakna nyanyiannya dibuat-buat.

Cabar Cuba Repertoir Penyanyi Lelaki

Bagi membuktikan keupayaan sebenar dan menjawab dakwaan ‘suara tipu’, Shaffiq mencabar Amsyar untuk menyanyikan lagu-lagu penyanyi lelaki popular seperti Amir Masdi, Hazama atau Syamel yang gubahannya disesuaikan mengikut julat vokalnya.

“Di situ mungkin pendengar dapat mendengar suara sebenar Amsyar,” ujar Shaffiq yang pernah membimbing penyanyi ternama seperti Ernie Zakri dan Syamel.

Menerusi pemerhatiannya terhadap persembahan Amsyar di pentas Sing! Asia 2025, Shaffiq memuji ketepatan nada, kawalan pernafasan, dan kepekaan muzik penyanyi itu. Namun, beliau menyarankan agar Amsyar memperkemaskan ton suaranya supaya lebih bulat dan padu agar tidak kedengaran bingit.

Mengulas kegagalan Amsyar dalam beberapa uji bakat tempatan sebelum ini, Shaffiq menegaskan ia bukan penanda aras bahawa seseorang itu tidak berbakat, sebaliknya sering berkaitan dengan keperluan format dan kesesuaian pihak produksi.

Loading...