KESS Taja Kelantan City FC RM2 Juta, Sasar RM5 Juta Jika Ke Liga Super
- oleh Editor MYBUZZ
- 8 Sep 2026 11:53 pm
Foto Dari kiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan City FC, Datuk Ahmad Razali bin Azmi; Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan, Encik Mohamad Hafizal bin Haji Mahmood dan Pegawai Perhubungan Korporat KESS & Kelantan City FC ditemui media sebelum pelawanan Kelantan City FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Paroi hari ini.
SEREMBAN — Kedai Emas Sri Semantan (KESS) secara rasmi tampil sebagai penaja utama pasukan Kelantan City FC bagi saingan Liga A1 Semipro musim ini dengan nilai tajaan mencecah RM2 juta secara tunai.

Foto (tengah) Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan, Encik Mohamad Hafizal bin Haji Mahmood
Mengulas mengenai keputusan memilih pasukan tersebut, Pengerusi KESS menjelaskan bahawa kehangatan serta kesetiaan penyokong Kelantan menjadi faktor utama yang memikat hati pihaknya untuk memeterai kerjasama berkenaan.
“Pertama kalau kita lihat kepada fenomena ruang ini punya vibe itu amat memuaskan dan melekat jiwa saya pada penyokong itu. Jadi kekuatan penyokong itu sesuai dengan yang kami terapkan di Kedai Emas Sri Semantan iaitu komuniti. Sokongan mereka amat padu dan itu membuatkan saya menaja pasukan Kelantan City untuk Liga A1,” katanya.
Sebelum ini, KESS pernah menyalurkan tajaan bernilai RM4 juta kepada pasukan Liga Super, Sabah FC. Namun, bagi saingan Liga A1 Semipro, pelaburan awal RM2 juta disalurkan khusus bagi menyokong kebangkitan arena bola sepak tempatan.
Pihak penaja turut mempamerkan komitmen jangka panjang dengan menawarkan suntikan dana yang jauh lebih besar sekiranya Kelantan City FC berjaya melangkah ke saingan Liga Super musim depan.
“Sekiranya layak ke Liga Super tahun depan, insya-Allah kami di pihak KESS berbesar hati untuk menaja Kelantan City sebanyak RM5 juta,” tambah beliau lagi.

Foto pasukan Kelantan City FC bergambar bersama Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan The Real TRW, Tan Sri Annuar Musa dan Pihak Pengurusan KESS dan Kelantan City FC ketika sidang media yang diadakan pada Julai lalu di Kota Bharu
Bagi memastikan tajaan tersebut memberikan pulangan positif, KESS meletakkan sasaran agar pasukan dapat bersaing di kelompok teratas Liga A1 Semipro selain membantu mengangkat semula martabat bola sepak Negeri Kelantan.
“Kami di KESS dah tentulah nak pihak Kelantan City ini menjuarai ataupun mendapat tempat tiga terbaik di atas. Selain daripada itu, kami nak mengangkat martabat bola sepak di Kelantan serta menggalakkan sektor korporat lain turut serta membina bola sepak di negeri masing-masing.”
Menyentuh isu kebajikan pemain dan isu kewangan pasukan yang sering menjadi persoalan dalam arena bola sepak tempatan, pihak penaja memberi jaminan bahawa aspek pembayaran gaji akan diberi perhatian serius.
“Yang itu saya memang cukup ambil berat. Pembayaran kita boleh buat setiap bulan secara berperingkat dan berkala. Saya yakin dengan kemampuan Kelantan City kerana mereka dibarisi anak muda yang mempunyai semangat luar biasa.”
Sementara itu, Mohamad Hafizal menyifatkan penglibatan Kedai Emas Sri Semantan sebagai pendorong utama dalam mengembalikan era kegemilangan bola sepak Kelantan. Beliau turut berkongsi bahawa pasukan itu kini disokong oleh gabungan bekas pemain legenda dan pengurusan berpengalaman.
“Liga A1 ini bukan Kelantan City sahaja yang ada, tetapi arena bola sepak negara kita sebelum ini dipegang oleh negeri Kelantan sebagai pembuka jalan. Kelantan City FC kini melibatkan bekas pemain yang pernah menjuarai tiga piala dahulu (X-Treble Kelantan) dan pengurusan turut dibantu oleh Tan Sri Annuar Musa.
“Kami ingin mengembalikan aura bola sepak Kelantan supaya Liga A1 bukan semata-mata liga amatur bawahan, tetapi mampu memberi cabaran kepada Liga Super,” jelasnya lagi.
Selain tajaan kewangan, KESS turut menyediakan kelengkapan lengkap termasuk 5 hingga 6 rekaan jersi bagi tujuan latihan dan perlawanan, serta tajaan kasut untuk semua pemain dan staf pasukan. Perjanjian persefahaman (MOU) antara kedua-dua pihak telah pun dimeterai di Kota Bharu lalu.
