Gabungan Filem dan Aksi Lagak Ngeri Pentas, ‘The Quiet Ember Vol. #1’ Bawa Kelainan
- oleh Editor MYBUZZ
- 8 Sep 2026 3:56 pm
KUALA LUMPUR — Industri seni kreatif tempatan bakal menyaksikan kelainan menerusi penganjuran acara The Quiet Ember Vol. #1 yang menggabungkan tayangan filem pendek, persembahan teater, monolog, sketsa, serta aksi lagak ngeri secara langsung.
Acara anjuran Z Core Entertainment ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 September 2026 di Revolution Stage Studio, Kuala Lumpur, dengan kapasiti eksklusif terhad kepada 40 penonton sahaja bagi setiap sesi.

Pengarah Z Core Entertainment merangkap penganjur utama, Zulhazwan, menjelaskan bahawa pendekatan eksperimental ini diwujudkan bagi memberikan dimensi baharu kepada pengalaman menonton. Menurut beliau, setiap persembahan pentas akan digubah khas berasaskan tema karya yang dipertontonkan agar penonton bukan sekadar menyaksikan jalan cerita di layar, malah dapat merasai emosi dan ketegangan secara langsung di atas pentas.

Sebanyak empat buah filem pendek bakal dipersembahkan merangkumi tiga tayangan semula dan satu tayangan perdana. Karya yang terlibat adalah drama thriller Paksi yang mengupas konflik jiwa seorang lelaki dihantui kata-kata bapanya, drama tragedi Pelangi Selepas Hujan mengenai penyesalan seorang ibu, serta thriller 0112 yang meneliti krisis kemurungan. Kemuncak acara pula menampilkan tayangan perdana filem aksi Switch yang menceritakan perburuan maklumat rahsia kerajaan, lengkap dengan elemen persembahan aksi lagak ngeri di pentas.

Segmen teater ini mendapat sentuhan arahan Aidil Rosli serta dibintangi oleh pelakon tempatan seperti Qiu Qatina, Hazzy Alzeeq, dan Ash Ramzi. Selain menyediakan platform pendedahan karya berbentuk baharu, penganjuran ini turut diharap dapat memangkas ruang kerjasama dan pertukaran idea antara penggiat seni bebas dengan para penonton.
Acara akan berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 10.00 malam sepanjang tiga hari berkenaan. Tiket dijual pada harga RM25 bagi pelajar, RM30 untuk pembelian awal, dan RM35 bagi pembelian pada hari kejadian, di mana tempahan boleh dibuat secara terus menerusi laman sesawang rasmi Revolution Stage.
