Ikuti Kami:

Mega Star Arena ‘Leleh’; Gema Rock 90-An Hidupkan Lagenda Biru Mata Hitamku!

Mega Star Arena ‘Leleh’; Gema Rock 90-An Hidupkan Lagenda Biru Mata Hitamku!

KUALA LUMPUR – Mega Star Arena malam sabtu lalu bertukar menjadi lautan emosi apabila kira-kira 5,000 jiwa tegar muzik rock tempatan membanjiri ruang konsert demi menyaksikan penyatuan empat figura ikonik tanah air: Mus, JoBranko, Eddie, dan Black menerusi Konsert Biru Mata Hitamku, 30 Tahun Anniversary.

Satu keputusan berani tetapi tepat buat gergasi gitar, JoBranko, yang memilih untuk mengekalkan 100% susunan muzik asal tanpa sebarang pengubahsuaian berlebihan. Langkah ini bagai membawa mesin masa buat penonton apabila dewan ditiup gema sound asli era 90-an yang amat rindukan peminat.

Meskipun faktor usia menuntut Mus mengawal julat vokalnya dengan penuh cermat, pesona dan tenaga pentas legenda ini langsung tidak pudar. Sorakan gemuruh peminat berbalas padu setiap kali gelombang riff gitar JoBranko, petikan bass padu Eddie, serta hentakan dram agresif Black menggegar segenap sudut dewan.

Suasana bertambah ‘gempak’ dan meletup apabila lagu berhantu Biru Mata Hitamku berkumandang, disusuli persembahan instrumental magis lagu Sejati. Momen tersebut mencetuskan gelombang sing-along besar-besaran yang menyatukan seluruh dewan dalam satu suara, sekali gus mematerikan kenangan manis tiga dekad legasi rock negara.

Malam nostalgia anjuran Icon Entertainment ini melengkapkan perjalanan emosi peminat menerusi susunan senarai lagu penuh tenaga yang dimulakan dengan Overture, sebelum diteruskan dengan trek-trek bertenaga seperti Penunggu, Enigma, BBK Ular, BK Matahari, Hati Sulam Lain, Satu Titik Yg Kosong, Idaman, 203, dan Blues Ular Sawa (Hidup Mati, Damai Perang). Persembahan semakin hangat menerusi Watari bersama solo gitar yang memukau, disusuli lagu Lupakanlah, persembahan instrumental Sejati, serta deretan karya hebat seperti Makam Kekasih, Julang Timur Tengah, Gegar Gunung Gemurah, Nasib Kita, BMHK, Krisis Dipertengahan Hidup, dan diakhiri dengan persembahan mantap lagu Keris Tak Bersarung.

Konsert ulang tahun ke-30 ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi bukti kukuh bahawa legasi Biru Mata Hitamku tetap tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dalam lipatan sejarah rock tanah air.

Loading...