KUALA LUMPUR, – Selepas kejayaan dan impak positif yang dicetuskan menerusi musim pertamanya, Astro Oasis kini kembali meneruskan misi melahirkan ikon pemimpin Islam generasi baharu menerusi program realiti Mualim Muda Musim 2. Program berteraskan ilmu dan dakwah ini akan mula bersiaran secara serentak pada 31 Oktober 2026, setiap hari Sabtu jam 9 malam di Astro Oasis (Saluran 106) dan Astro Prima (Saluran 105), serta boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.
Membawa tema “Pemuda Berjiwa Dakwah, Kini Dengan Misi Lebih Besar”, musim baharu ini mengetengahkan pelbagai pembaharuan yang merangkumi cabaran komuniti dunia sebenar, perbincangan isu semasa generasi muda, serta penghasilan kandungan dakwah digital yang kreatif. Program ini turut mendapat kerjasama Kedai Emas Sri Semantan sebagai penaja utama.

Istimewa pada musim ini, seramai 10 orang peserta bersaing mempersembahkan dakwah mereka di hadapan barisan juri profesional bagi merebut peluang menjadi Duta Astro Oasis serta membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000. Setiap episod bakal menyaksikan peserta melalui empat peringkat utama iaitu Tugasan Lapangan, Tazkirah, Penjurian, dan Pensingkiran.
Antara latar belakang menarik peserta yang ditampilkan pada musim ini termasuklah antaranya Guru Tahfiz Penjara, Pendakwah Jalanan Mualaf dan Pempengaruh Media Sosial.










Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, menyatakan bahawa program ini memperlihatkan peserta sebagai individu muda yang autentik dan berkarisma sambil berusaha mengekalkan pegangan agama dalam menempuh cabaran kehidupan moden.

Mualim Muda 2 menampilkan kembali pendakwah bebas Dato’ Ustaz Kazim Elias dan Dr. Kamilin Jamilin, serta memperkenalkan Ustazah Asni Masnor sebagai juri baharu. Ustaz Shahrizan Daud bertindak sebagai Mursyid (Pengetua), manakala pentas utama dihoskan oleh gandingan Atu Zero dan penyanyi nasyid Fakhrul UNIC. Peserta dengan penyampaian dakwah terbaik setiap minggu akan diumumkan sebagai Ikon Inspirasi Emas Sri Semantan.

