Ikuti Kami:

4,500 Pelari ‘Tawan’ Tanjong Karang: Wasiyyah Bawa Mesej Kesihatan, ESG dan Kasih Sayang Menerusi Hibah

4,500 Pelari ‘Tawan’ Tanjong Karang: Wasiyyah Bawa Mesej Kesihatan, ESG dan Kasih Sayang Menerusi Hibah

TANJONG KARANG – Deruan angin sepoi-sepoi bahasa yang melintasi hamparan sawah padi di Tanjong Karang menjadi saksi kepincangan tradisi larian biasa. Penganjuran Wasiyyah Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 pada edisi kali ini bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, sebaliknya menjadi manifestasi unik yang menggabungkan gaya hidup sihat, keindahan alam, budaya tempatan, merancakkan ekonomi setempat serta membawa mesej mendalam mengenai pewarisan harta.

Aura luar biasa penganjuran kali ini terbukti apabila kehadiran seramai 4,500 peserta membanjiri laluan larian, melonjak berbanding sekitar 3,500 peserta pada edisi terdahulu. Dengan konsep experience run”, para pelari disajikan laluan berpanorama indah yang dilengkapi 14 checkpoint khas. Di setiap hentian, peserta bukan sahaja dihidangkan dengan juadah tradisional dan permainan nostalgia zaman dahulu, malah diraikan dengan semangat keterangkuman yang turut melibatkan komuniti pelari anak-anak istimewa.


Foto dari kiri Duta Wasiyyah, Datuk Rosyam Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Tuan Haji Ariffin Sabirin menunjukkan medal larian sawah padi Tanjong Karang sejauh 5KM

Bagi Wasiyyah Holdings Berhad yang bertindak sebagai penaja utama buat kali kedua, penglibatan mereka berakar daripada agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Tuan Haji Ariffin Sabirin menegaskan bahawa penganjuran ini membawa mesej yang jauh melebihi sebuah kejohanan sukan.

“Larian ini membawa satu mesej yang lebih besar daripada sekadar mengajak masyarakat untuk berlari. Kami mahu orang ramai datang ke Tanjong Karang, merasai sendiri suasana sawah padi, mengenali masyarakat pesawah dan pada masa sama membantu menggerakkan ekonomi setempat,” kata Ariffin Sabirin.

Penganjuran acara ini turut menerima sentuhan istimewa daripada pelakon veteran merangkap usahawan dan Duta Wasiyyah, Datuk Rosyam Nor. Menurut beliau, penerimaan luar biasa masyarakat terhadap larian ini terbukti apabila pendaftaran kuota penyertaan habis disapu bersih dalam tempoh yang sangat singkat.

“Wasiyyah ialah syarikat pengurusan nombor satu di Malaysia. Alhamdulillah, tahun lepas bila kita sertai, mereka buka sahaja pendaftaran terus habis dalam masa tak sampai satu jam. Tahun ini juga begitu [iaitu sekitar dua jam]. Larian ini membawakan satu keharmonian dan kekeluargaan yang menunjukkan negara kita ini aman damai,” ujar Datuk Rosyam Nor ketika ditemui di lokasi acara.

Tambah Datuk Rosyam lagi, pembabitannya dalam aktiviti kemasyarakatan anjuran Wasiyyah ini berlandaskan tanggungjawab moral untuk menyebarkan kesedaran mengenai pentingnya pengurusan harta pusaka dan hibah dalam kalangan masyarakat Islam.

“Dulu saya ingatkan pengurusan harta ini hanya untuk orang yang berharta. Rupa-rupanya, orang yang tak berharta pun ada harta dan mesti diuruskan kerana itu kewajipan orang Islam. Saya sendiri ada lima orang anak perempuan, jadi saya bersikap proaktif menguruskan hibah harta demi masa depan keluarga. Melalui larian dan platform ini, kita mahu membuka hati masyarakat tentang pentingnya hibah,” tambah beliau.


Foto kelihatan peserta yang menghidap palsi serebrum turut bersemangat menamatkan acara larian berkenaan.

Kehadiran ribuan pengunjung dan peserta dari pelbagai pelosok negeri tidak hanya menyemarakkan gaya hidup sihat, malah memberikan limpahan rezeki kepada peniaga kecil, pengusaha inap desa, serta usahawan tempatan di Tanjong Karang. Acara ini berjaya membuktikan bahawa setiap langkah yang diayun di sepanjang hamparan sawah bukan sekadar membawa pelari ke garisan penamat, tetapi turut menautkan keharmonian sesama manusia dan kasih sayang yang berkekalan.

Loading...