Ikuti Kami:

Meraikan Warisan Melayu Menerusi Teknologi Dan Cita Rasa: Pementasan Sulung ‘Hikayat Nusantara’ Bermula Di Aneka Walk

Meraikan Warisan Melayu Menerusi Teknologi Dan Cita Rasa: Pementasan Sulung ‘Hikayat Nusantara’ Bermula Di Aneka Walk

SHAH ALAM— Suasana malam di Aneka Walk, SA Sentral bertukar gilang-gemilang apabila tirai pementasan sulung “Hikayat Nusantara” secara rasminya disingkap hari ini. Diterbitkan oleh rumah produksi terkemuka, KRU Studios, konsep ‘Kayangan’ bukan sekadar menyajikan hidangan bufet makan malam biasa, sebaliknya menawarkan satu pengalaman santapan budaya imersif yang menggabungkan sejarah silam, keindahan warisan Melayu, dan kecanggihan teknologi digital moden dalam satu pentas yang serba intim.

Inspirasi utama produksi ini berakar daripada seni penceritaan tradisional Wayang Kulit dan kepakaran Tok Dalang, namun diberi nafas baharu menerusi gabungan pencahayaan LED masa kini, sistem bunyi keliling, penceritaan teatrikal, serta persembahan seni Silat yang memukau. Penonton tidak hanya menjadi pemerhati pasif, malah dibawa mengembara merentasi garis masa.


Foto dari Kiri Ketua Pengawai Eksekutif KRU Entertainment, Dato’ Norman Abdul Halim dan Chef Tersohor, Dato’ Chef Zam ditemui media baru-baru ini sempena majlis prebiu ‘Kayangan: Hikayat Nusantara’

Ia bermula daripada detik kebangkitan kerajaan-kerajaan Melayu agung, keberanian pelayar silam menakluki lautan, sehinggalah kepada sambutan kepelbagaian budaya Malaysia moden yang harmoni. Pengalaman malam di Kayangan melengkapi deria rasa menerusi program “Santapan Kayangan”, sebuah sajian bufet tradisional Melayu autentik yang dikurasikan khas oleh pakar kulinari tersohor, Dato’ Chef Zam.

‘kami menyajikan pelbagai masakan melayu asli daripada seluruh negeri di Malaysia, pastinya sajian daripada negeri Terengganu yang menyajikan menu nasi telur yang lazimnya merupakan hidangan istana kerana cara pembuatannya agak renyah dan bahan yang digunakan banyak dan mewah, turut dihidangkan bersama kerutuk ayam kampung, ikan celup tepung, keropok lekor banyak lagi makanan warisan khas negeri-negeri lain..’ Kata Chef Zam.

Tambah beliau lagi, menu makan malam akan bertukar setiap bulan dan pastinya para pengunjung tidak jemu menyantap juadah yang disediakan. Sebanyakan 8 set menu yang akan disajikan.

Setiap sajian yang dihidangkan mengandungi falsafah dan naratifnya yang tersendiri, diolah daripada resipi warisan turun-temurun untuk memastikan tetamu mengalami kebudayaan Nusantara bukan sahaja menerusi mata dan telinga, tetapi juga menerusi lidah dan rasa. Menurut Dato’ Chef Zam, makanan merupakan antara cara paling indah untuk menyatukan manusia, di mana setiap cita rasa mencerminkan warisan dan kenangan berharga.

Eksperimen seni ini dibina atas aspirasi gergasi iaitu “Dicipta untuk Rakyat Malaysia, Dipersembahkan kepada Dunia”. Dikelola di persekitaran santapan alfresco yang elegan di bawah kendalian KRU Entertainment, Kayangan menyasarkan pelbagai segmen pengunjung daripada keluarga, rombongan pelancong tempatan dan antarabangsa, hingga ke sektor korporat serta delegasi diplomatik rasmi. Kejayaan pementasan bertaraf bintang ini merupakan hasil gabungan strategik antara tiga entiti berpengaruh: Rich Talents Resources Sdn Bhd, Kruniverse Sdn Bhd, dan Runningmen Celebrations Sdn Bhd.

KRU Entertainment selaku penganjur bersama, Dato’ Norman berkata ‘kami diberi tanggungjawab untuk menghidupkan Aneka Walk dengan aktiviti kebudayaan dan bukan semata-mata hanya hiburan, muzik dan sebagainya’

‘kami juga mendapat maklumat daripada Tourism Malaysia dimana kurangkan aktiviti yang menggabungkan makanan warisan tempatan dan kebudayaan di sekitar lembah klang. Ini merupakan langkah pengalakkan pelancongan sama ada untuk menarik pelancong asing atau masyarakat tempatan dan lebih-lebih lagi kanak-kanak untuk mengenali asal usul kita sebagai orang melayu dan bagaimana penglibatan bangsa-bangsa lain yang kemudiannya membina Malaysia’ Tambah beliau lagi.

Bersempena bulan pembukaan sepanjang September ini, pihak pengurusan menawarkan harga pengenalan istimewa RM89.90 bagi dewasa dan RM59.90 bagi kanak-kanak. Memandangkan setiap sesi santapan dan susunan tempat duduk dikurasikan secara teliti mengikut jumlah kehadiran khas, para tetamu disarankan membuat tempahan awal menerusi e-mel reservations@kayangan.vip atau WhatsApp di 011-1088 3320 bagi menjamin tempat duduk.

Loading...