‘Puteri Kota’ Bawa Tuah, Zila Bakarin Pintas Kedudukan Tamimi Siregar Di Pentas Konsert Kilauan Emas Selebriti Minggu 3!
- oleh Editor MYBUZZ
- 6 Sep 2026 6:28 pm
KUALA LUMPUR – Konsert minggu ketiga Kilauan Emas Selebriti 2026 malam tadi mengangkat tema ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ terus mencetuskan fenomena apabila pelakon Zila Bakarin berjaya merangkul kedudukan pertama.
Zila mencipta kejutan besar dengan mengutip sebanyak 79.26%, sekaligus menewaskan pendahulu minggu lalu. Persembahan bertenaga Zila yang mempertaruhkan lagu Puteri Kota nyanyian asal Ella ternyata membawa tuah dan berjaya memukau barisan juri.
Walaupun dipintas, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar terus membuktikan bisanya di tempat kedua dengan meraih 70.18% menerusi dendangan Jamilah. Mengekori rapat di kedudukan ketiga adalah Dato’ Jalaludin Hassan dengan markah 68.86% melalui persembahan lagu nostalgia Oh Fatimah.

Takhta bertukar tuan! Zila Bakarin akhirnya berjaya tumbangkan Tamimi Siregar.
Manakala, pelakon Amyza Aznan terus membuktikan dirinya antara pencabar utama dalam Kilauan Emas Selebriti 2026 apabila meraih 68.08 peratus menerusi persembahan penuh penghayatan lagu Ya Ilahi Rabbi. Persembahan yang menyentuh jiwa dan emosi itu berjaya memikat juri, sekali gus meletakkannya di kedudukan keempat keseluruhan minggu ini.
Rahhim Omar pula menampilkan persembahan mantap menerusi lagu Terharu dan memperoleh 63.12 peratus. Keupayaannya menyampaikan lagu dengan penuh jiwa membantu beliau mengekalkan momentum positif dalam persaingan yang semakin sengit dari minggu ke minggu.

Persembahan Amyza yang teratur turut menerima pujian dari ketua juri Datuk Yusry Abdul Halim
Fazlina Ahmad Daud yang mempertaruhkan lagu Khayalan dan berjaya mengumpul 59.67 peratus. Persembahannya yang bersahaja tetapi konsisten membolehkannya terus berada dalam kelompok pertengahan carta sambil mengintai peluang untuk memperbaiki kedudukan pada minggu-minggu akan datang.
Mubarak Majid yang membawakan lagu malar segar Dara Pujaan pula mencatat 57.04 peratus. Walaupun belum berjaya menembusi kelompok teratas, persembahan beliau tetap memperlihatkan usaha dan komitmen tinggi dalam memberikan yang terbaik di pentas pertandingan.

Pelakon Mubarak Majid turut mencipta kejutan apabila berjaya bolos keluar dari kelompok Bottom 3 menerusi lagu Dara Pujaan.
Sementara itu, Rashdan Baba menerusi lagu Lamunan Terhenti meraih 55.73 peratus, sekali gus menduduki tangga kelapan keseluruhan. Persembahannya berjaya menghidupkan suasana nostalgia yang bertepatan dengan tema Kenangan Mengusik Jiwa pada minggu tersebut.
Khaty Azian yang menyampaikan lagu Cinta Kristal pula memperoleh 55.66 peratus. Meskipun dipisahkan dengan jurang markah yang sangat kecil berbanding Rashdan, beliau masih berpeluang memperbaiki kedudukan memandangkan persaingan antara peserta semakin rapat.

Walaupun masih berada di tangga terbawah carta mingguan.Catatan markah Maria Tunku Sabri menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya. Persembahan beliau juga turut menerima pujian dari barisan juri.
Maria Tunku Sabri yang membawakan lagu popular Sinaran sekadar mencatat 55.48 peratus dan melengkapkan senarai kedudukan Minggu 3. Walaupun berada di tangga tercorot, persembahan beliau tetap menunjukkan semangat juang tinggi dan berpotensi mencipta kebangkitan pada konsert minggu seterusnya.
Konsert pembukaan minggu ketiga disemarakkan dengan persembahan Tak Sanggup dan Sehangat Api oleh kumpulan X-Factor. Acara yang dikendalikan oleh gandingan pengacara serasi Raja Azura dan Keanu Azman ini turut dihangatkan dengan kemunculan penyanyi Naqiu sebagai juri jemputan minggu ini, yang mendendangkan Dendangan Laguku.
Penilaian keseluruhan persembahan diketuai oleh juri tetap Datuk Yusry Abdul Halim dan Jihan Muse yang memberikan kritikan membina buat semua peserta. Sementara itu, segmen Telan Kaset pula menampilkan artis undangan Abot dan Anis Suraya yang masing-masing memanaskan pentas menerusi lagu Camar dan Cinta Tersimpul Rapi.
Ramalan Persembahan Minggu Hadapan
Menjelang minggu keempat, persaingan dijangka menjadi lebih getir terutamanya buat tiga peserta di kedudukan tercorot iaitu Rashdan Baba, Khaty Azian, dan Maria Tunku Sabri. Ketiga-tiga mereka dijangka akan mempertaruhkan susunan muzik yang lebih segar serta teknik vokal yang mantap bagi mengelakkan penyingkiran.
Manakala, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar diramal akan membawa kelainan drastik untuk kembali merampas takhta juara mingguan, sekali gus memberi tekanan hebat kepada Zila Bakarin untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangannya di puncak. Adakah Dato’ Ahmad Tamimi Siregar akan berjaya? Sama-sama kita nantikan kosert Kilauan Emas Selebriti minggu hadapan.
