Wanita Dakwa Keahlian Kuil Hindu Dibatalkan Selepas Persoal Insiden
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 Sep 2026 10:21 pm
KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan V. Regina Marie mendakwa keahliannya di sebuah kuil Hindu di Air Panas, Setapak dibatalkan secara tidak adil selepas beliau meminta penjelasan pengurusan kuil berhubung satu insiden membabitkan seorang pemegang amanah kuil.
Regina, 48, berkata beliau telah terbabit dan berkhidmat dengan kuil berkenaan selama kira-kira 30 tahun sejak 1995, selain menyumbang masa, tenaga dan sokongan kewangan kepada pelbagai aktiviti kuil.
Ibu kepada tiga anak itu berkata beliau turut menderma dan menaja pelbagai program kuil serta menyertai tiga upacara Kumbhabhishekam, termasuk memberi sokongan kewangan dan tajaan.
“Saya berkahwin dengan seorang lelaki Hindu pada 1997 dan mengamalkan agama Hindu sepanjang perkahwinan. Anak-anak dan keluarga saya juga dibesarkan dalam kepercayaan Hindu.
“Saya baru sahaja kehilangan anak, dan ketika masih berduka, amat menyakitkan apabila agama saya kini dipersoalkan oleh pihak pengurusan kuil Hindu itu sendiri,” katanya.
Regina berkata beliau diterima sebagai ahli pada 2023 dan dicalonkan untuk berkhidmat dalam jawatankuasa kuil pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025.
“Jika status agama saya menjadi isu, mengapa saya diterima sebagai ahli dan dicalonkan menganggotai jawatankuasa? Mengapa agama saya hanya dipersoalkan sekarang selepas bertahun-tahun?” katanya.
Beliau berkata menerima notis daripada pengerusi kuil pada 26 Ogos yang memaklumkan keahliannya telah ditamatkan.
Menurut Regina, perkara itu bermula selepas satu kejadian di hadapan kuil pada 14 Jun lalu yang didakwanya membabitkan serangan dan salah laku oleh seorang pemegang amanah kuil, yang dikenal pasti sebagai seorang ahli politik, serta isterinya.
Regina berkata beliau membuat laporan polis di Balai Polis Setapak pada keesokan harinya, sebelum kes itu disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.
“Kes itu kini telah dibawa ke mahkamah. Namun, walaupun kejadian itu serius dan didakwa berlaku secara terbuka di hadapan ahli kuil, pemegang amanah serta orang awam, pengurusan kuil tidak mengambil sebarang tindakan atau membuat laporan polis setakat yang saya tahu.
“Ini menimbulkan persoalan mengapa pengurusan kuil berdiam diri dan gagal bertindak terhadap perkara serius itu,” katanya.
Regina berkata beliau membuat aduan kepada jawatankuasa pengurusan kuil pada 17 Jun untuk mendapatkan penjelasan dan tindakan berhubung kejadian itu.
Beliau kemudian menghantar peringatan kedua pada 26 Jun selepas tidak menerima maklum balas, diikuti peringatan ketiga pada 2 Sept.
Katanya, walaupun aduan dan tiga peringatan telah dibuat, beliau masih tidak menerima sebarang penjelasan bertulis atau maklumat mengenai tindakan terhadap pemegang amanah terbabit.
Regina mendakwa persoalan mengenai kelayakan agamanya serta pembatalan keahliannya berlaku selepas beliau berulang kali meminta jawapan berhubung insiden 14 Jun.
“Saya hanya mahu jawatankuasa pengurusan menjelaskan mengapa kelayakan agama saya dipersoalkan sekarang, selepas saya berkhidmat dan menyokong kuil ini selama kira-kira 30 tahun serta diterima sebagai ahli pada 2023,” katanya.
Beliau berkata akan mengambil tindakan melalui saluran sewajarnya jika gagal mendapat penjelasan memuaskan daripada pengurusan kuil.
Sementara itu, ketika dihubungi media, pengerusi kuil Thuraichamy Ramiah mengesahkan notis penamatan keahlian itu tetapi enggan mengulas lanjut.
