MAHA 2026: DAEM Lancar IMAN, Bawa Tempahan Daging Terus ke WhatsApp
- oleh Editor MYBUZZ
- 5 Sep 2026 6:38 pm
SERDANG — Syarikat inovasi makanan tempatan, DAEM Sdn Bhd (DAEM), melangkah ke fasa digital menerusi peluncuran Integrated Management Autonomous Network (IMAN), iaitu sistem tempahan daging berasaskan kecerdasan buatan (AI) secara terus melalui aplikasi WhatsApp.
Peluncuran IMAN yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham bin Ishak sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2026) di MAEPS Serdang hari ini, menandakan fasa kedua daripada pelan lima fasa DAEM ke arah membina ekosistem farm-to-table yang mampan dan boleh dijejaki.
Menerusi sistem ini, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR untuk berinteraksi dengan IMAN menerusi WhatsApp tanpa perlu memuat turun aplikasi baharu. IMAN turut disokong oleh perisian Odoo Enterprise Resource Planning (ERP) yang mengintegrasikan data produk, inventori, tempahan, dan operasi bagi menyokong ekosistem perniagaan secara masa nyata.

Foto Alif Satar menunjukkan Daging DAEM di reruai DAEM MAHA 2026
Rakan niaga bersama DAEM, Alif Satar berkata, pengenalan IMAN bermatlamat untuk memudahkan pengguna mendapatkan bekalan daging halal dan berkualiti tanpa proses yang rumit.
“Kita mahu mudahkan pelanggan. Tak perlu aplikasi baharu atau proses yang rumit hanya gunakan WhatsApp sahaja, pilih produk, tempah dan bayar,” katanya.
Beliau menambah, selepas kejayaan pengenalan konsep trak daging bergerak (DAEM Meat Nomads) pada fasa pertama, IMAN kini membawa prinsip capaian terus (Direct Access to Exceptional Meats) ke platform digital.
“Fasa pertama kita bawa daging terus kepada pengguna melalui Meat Nomads. Dengan IMAN sebagai fasa kedua, kita bawa pengalaman DAEM terus ke WhatsApp pelanggan. Kita mulakan dengan kambing, bina sumber dari beberapa negara dan pada masa sama bangunkan penternakan tempatan. Apabila ekosistem semakin kukuh, kita mahu kembangkan pendekatan yang sama kepada lembu,” jelas Alif.

Foto (berbaju korporat putih) Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham bin Ishak semasa sesi berinteraksi bersama IMAN
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham bin Ishak menyambut baik inovasi berkenaan sebagai langkah berpotensi tinggi dalam penciptaan nilai sektor agromakanan. Menurut beliau, pihak kementerian bersedia mengambil pendekatan fleksibel seperti sandbox approach berasaskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengurangkan kejanggalan perundangan atau SOP yang rigid.
“Ini merupakan salah satu produk yang ada potensi, tetapi ada beberapa perkara dari segi perundangan yang perlu kita selaraskan dengan PBT terutamanya, supaya model ini boleh dilaksanakan di seluruh negara. Kementerian mungkin mengambil pendekatan ‘sandbox’. So kita kalau boleh jangan terlalu rigid, kita perlu fleksibel dan lihat dekat mana peluang ni dapat kita wujudkan untuk usahawan-usahawan muda,” kata Datuk Seri Isham.
Tambah beliau, peranan utama kementerian adalah untuk memastikan keterjaminan makanan (food security) serta memberi keyakinan kepada pengguna dari segi kebersihan dan status halal.
“Apa yang kementerian boleh sokong ialah memastikan dari segi food security iaitu maksudnya bila consumer makan daging ni, dia selamat. Pastinya dari segi halal, keperluan mandatory untuk memastikan bahawa produk ni adalah selamat dan pengguna ada confidence,” puji beliau.
Mengenai perkembangan MAHA 2026, Datuk Seri Isham turut mengulangi kejayaan penganjuran tahun ini apabila nilai pelaburan yang dicatatkan telah melebihi sasaran asal RM8 bilion kepada lebih RM10 bilion menjelang hari penutupan.
Sebagai langkah menyokong keterjaminan bekalan, DAEM turut mengumumkan pusat kuarantin ternakan di Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini telah menerima kelulusan awal bagi kemasukan kambing import dari Thailand sebelum memperluaskan usaha penternakan mampan tempatan.
