Killa Driz Lancar ‘STUNTMAN’, Angkat Semangat Kebebasan Dan Keyakinan Diri
- oleh Editor MYBUZZ
- 3 Sep 2026 11:26 pm
KUALA LUMPUR – Penyanyi rap berbakat, Killa Driz, kembali mencuri perhatian industri muzik tanah air menerusi pelancaran single terbaharunya bertajuk STUNTMAN, yang menyaksikan gabungan julung kali bersama rakan sejawat, ChronicalZ.
Diterbitkan dan digubah oleh LastKhalif, naskhah penuh tenaga ini membawakan mesej positif mengenai keberanian mengambil risiko, keyakinan diri, serta kebebasan menentukan hala tuju hidup tanpa rasa ragu.
Ketenangan Di Tengah Kekacauan
Membawa kelainan daripada karya sebelum ini, Killa Driz menyuntik susunan muzik sintesis yang bertenaga dengan gabungan rentak dram yang lebih santai. Simbol ‘Stuntman’ dipilih sebagai lambang keazaman untuk melangkaui batas serta kekal tenang biarpun berada dalam situasi yang huru-hara.

Rentak rancak, mesej mendalam, Killa Driz tampil lebih matang dalam ‘STUNTMAN’
“Konsep lagu ini merupakan gabungan antara ketenangan dan kekacauan. Saya mahu rentak lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang boleh mencari ketenangan walaupun segala-galanya di sekeliling terasa huru-hara,” jelas Killa Driz.
Sinergi Kolaborasi Yang Dinanti
Mengenai kerjasama bersama ChronicalZ, Killa Driz mendedahkan bahawa kolaborasi tersebut sudah lama berada dalam perancangan memandangkan mereka berdua membesar dalam lingkungan kreatif yang sama.
Walau bagaimanapun, kedua-duanya memilih untuk menunggu lagu yang benar-benar tepat dan autentik sebelum bersatu di dalam studio. Keupayaan ChronicalZ menyajikan persembahan fleksibel antara corak rap dan melodi memberikan variasi unik yang melengkapi gaya persembahan Killa Driz.
Bayangan Album ‘Lepas Senja’ & Aksi Pentas
Pelancaran STUNTMAN turut menjadi mukadimah penting buat Killa Driz yang kini sedang sibuk menyiapkan album terbaharunya bertajuk Lepas Senja. Album berkenaan bakal meneroka pelbagai spektrum emosi, hubungan, dan realiti kehidupan selepas matahari terbenam. Bagi peminat yang mahu menyaksikan persembahan secara langsung,
Killa Driz dijadualkan menggegar pentas acara pameran automotif MotorManiac 2026 pada 6 September 2026 bersama barisan artis DefJam. Pada persembahan itu kelak, beliau bakal memperdengarkan beberapa lagu baharu daripada album Lepas Senja secara eksklusif. Single STUNTMAN kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama.
