Ikuti Kami:

Gelombang Galau Meledak! Fabio Asher Kembali Ubat Hati Luka Di Kuala Lumpur 22 November Ini

Gelombang Galau Meledak! Fabio Asher Kembali Ubat Hati Luka Di Kuala Lumpur 22 November Ini

KUALA LUMPUR — Gelombang emosi, galau dan bait-bait puitis bakal kembali menyelubungi ibu kota apabila penyanyi balada sensasi dari Indonesia, Fabio Asher, dijadualkan menggegarkan panggung Megastar Arena menerusi konsert solo julung kalinya, Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur pada 22 November 2026 ini.

Kepulangan penyanyi lagu hits Bertahan Terluka dan Rumah Singgah ini ke tanah air hanya selepas jeda singkat lima bulan membuktikan betapa aura serta senandung romantis miliknya sentiasa dipuja dan dirindui oleh sekalian ‘cinta hati’ di Malaysia.

Dianjurkan oleh Cerita Project & Events Sdn Bhd dengan kerjasama Jiwa Kacau selaku Rakan Strategik, konsert ini dirangka khas bukan sekadar sebuah persembahan pentas biasa, sebaliknya sebuah kembara jiwa yang bakal menterjemahkan pelbagai fasa dalam kitaran percintaan, daripada kehangatan jatuh cinta, kerinduan mendalam, keperitan patah hati, sehinggalah kepada proses kedamaian dan penyembuhan.

Pihak penganjur menyifatkan Fabio, atau nama penuhnya Fabio Fukrer Towoliu, sebagai seorang pengkarya seni yang mempunyai keupayaan luar biasa dalam menterjemahkan gelora emosi peribadi menjadi karya yang mampu meresap ke dalam sanubari sesiapapun yang mendengarnya. Menurut wakil Cerita Project & Events Sdn Bhd, Fabio mempunyai keistimewaan dalam menterjemahkan perasaan peribadi menjadi lagu yang dekat dengan hati pendengar, walaupun setiap orang melalui pengalaman dan fasa cinta yang berbeza. Tambah penganjur lagi, setiap senarai lagu yang bakal dibawakan lewat malam berkenaan, termasuk trek pop balada kegemaran ramai seperti Hati Lain Di Hatimu dan Akhir yang Manis, dirangka sebagai babak khas yang membolehkan penonton mengimbas kembali kenangan serta memproses emosi masing-masing.

Sementara itu, Fabio Asher sendiri tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk kembali beraksi dan menemui para peminatnya di ‘rumah kedua’ beliau dalam suasana yang cukup intim dan sentimental. Dalam kenyatannya, beliau menitipkan ucapan mesra dengan mengalu-alukan kedatangan peminat:

“Selamat bersenang-senang dan menikmati romantisnya pertemuan kita nanti di Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur. Malam ini kelak akan menjadi yang paling romantis dalam pertemuan kita. Saya punya banyak ‘cinta’ untuk dikongsi dan biar bertebaran di ruang Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 November ini. Kalian tahu, kalian sentiasa membuat antusias saya mencipta muzik ‘berapi-api’. Terima kasih kerana telah menyambut cinta, galau lalu sentiasa mahu mendakap kehadiran saya dengan penuh bahagia. Sampai jumpa semua ‘cinta hati’ saya.”

Bagi memastikan setiap peminat tidak melepaskan peluang keemasan ini, pihak penganjur menyediakan pelbagai kategori tiket menarik yang merangkumi pilihan zon duduk Level 1 iaitu Fabio (RM288), VIP (RM388) dan Super VIP A pada harga RM1,288, manakala Level 2 pula menawarkan Everlast (RM158), Asher (RM358) serta Super VIP B pada harga RM1,188, di mana kedua-dua kategori Super VIP dilengkapi dengan pakej duduk berpasangan dan sesi Pertemuan & Ramah Mesra (Meet & Greet).

Penjualan tiket atau ‘war’ tiket akan dibuka secara rasmi pada 4 September 2026, bermula jam 3:00 petang menerusi platform atas talian rasmi di [www.ilassotickets.com](https://www.google.com/search?q=https%3A%2F%2Fwww.ilassotickets.com).

Loading...