Inovasi Tisu Mandian Mesra Ihram Bawa RHJ Tijarah Juara SAY ASPIRE Edisi Ketujuh
- oleh Editor MYBUZZ
- 2 Sep 2026 11:05 pm
SUBANG JAYA — Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli mengurniakan anugerah kepada para pemenang Pusingan Akhir Liga Usahawan Eksport Selangor (SAY ASPIRE) Edisi Ketujuh yang berlangsung di Sunway Resort hari ini. Syarikat pengeluar barangan penjagaan peribadi, RHJ Tijarah Sdn Bhd, dinobatkan sebagai Juara menerusi produk inovatif tisu mandian mesra ihram bagi kegunaan jemaah umrah dan haji. Tempat kedua dimenangi oleh Hokido Shop Enterprise yang mengetengahkan produk makanan bayi, manakala syarikat penyedia servis chatbot AI, Dataverse Sdn Bhd, meraih tempat ketiga.
Selaku juara, RHJ Tijarah membawa pulang geran pembangunan bernilai RM10,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM7,000 dan RM5,000. Ketiga-tiga pemenang utama turut menerima insentif tajaan lawatan pasaran (market visit) ke luar negara, sesi mentoring eksklusif (SAY ASPIRE+), tapak pameran percuma di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) bernilai RM10,000, serta akses kerjasama terus bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Pusingan akhir edisi kali ini menyaksikan persaingan sengit daripada 10 syarikat usahawan tempatan berpotensi tinggi. Selain tiga pemenang utama, senarai finalis lain yang turut bertanding adalah GO ADVANCED SDN BHD (Automotif/Cecair), AINNA NEED ENTERPRISE (Servis AI), KPL CORPORATE ADVISORY SDN BHD (Perakaunan), NUTRIVERA MANUFACTURING SDN BHD (F&B/Brenola Bar), THE BASIXE SDN BHD (Kecantikan & Kesihatan), THE TEA REPUBLIC SDN BHD (F&B/Teh), dan GT FOOD ASIA SDN BHD (F&B/Makanan Ringan).
Kesemua persembahan pelan perniagaan finalis dinilai oleh barisan lima juri berprestij yang diketuai oleh DYTM Tengku Amir Shah, bersama YB Tuan Mohd Najwan Halimi (EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor), YBrs. Puan Nujaimatu’l-‘Aliah binti Mohd Jais (UPEN Selangor), YBrs. Encik Mansor Shah Bin Wahid (MATRADE), serta YBrs. Puan Low Ngai Yuen (Aeon 360 Sdn. Bhd.).

Foto EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, YB Tuan Mohd Najwan Halimi ditemui wartawan selepas selesai program SAY ASPIRE hari ini
EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, YB Tuan Mohd Najwan Halimi memuji kepelbagaian produk dan inovasi yang ditampilkan oleh para peserta pada edisi kali ini. Mengulas mengenai keunikan juara edisi ini, beliau berkata,
“Juara kita pada hari ini adalah daripada RHJ yang mempersembahkan ataupun memasarkan produk tisu mandi atau tisu mandian. Ini merupakan produk istimewa terutamanya untuk jemaah umrah dan haji yang ke Tanah Suci. Produk yang ditawarkan ini mesra ihram, di mana mengikut hukum kita tidak boleh menggunakan produk yang mempunyai wangian. Dengan produk ini, kita boleh mandi dalam keadaan yang patuh syariah dan tidak melanggar hukum ihram.”
Beliau turut mengagumi keunikan makanan bayi daripada Hokido Shop Enterprise serta penglibatan usahawan muda dalam industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automotif.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2017 oleh Selangor Youth Community (SAY), program ini terbukti menjadi platform kukuh melahirkan jenama tempatan yang berjaya menembusi pasaran global. Mengulas mengenai pencapaian alumni terdahulu, Mohd Najwan menambah,
“Alhamdulillah, kalau kita lihat daripada segi testimoni usahawan-usahawan yang pernah terlibat dalam program SAY ini, mereka rata-rata telah pergi ke peringkat yang lebih tinggi. Antara ‘success story’ yang boleh kita sebut termasuklah produk kecantikan Dr. N yang kini menembusi pasaran antarabangsa seperti Turki, serta Sofia daripada Medipets bagi makanan haiwan. Terbaharu pada tahun lepas ialah Ismail Clamp dengan produk kesihatan yang memudahkan urusan pengamal perubatan. Mereka bukan sekadar dinobatkan sebagai juara, tetapi pada masa yang sama mendapat ruang yang besar untuk berkembang ke peringkat yang lebih baik dan lebih tinggi lagi.”
Beliau berharap agar semua pemenang edisi ini dapat terus berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, serta merancakkan lagi ekosistem keusahawanan di Negeri Selangor.



