AMT 2026 Lebih Gah Dan ‘Power’, Kuasa Mutlak Kini Di Tangan Peminat!
- oleh Editor MYBUZZ
- 2 Sep 2026 2:41 pm
KUALA LUMPUR: Pentas hiburan tanah air bakal digegarkan lagi dengan acara kemuncak yang dinanti-nantikan, Anugerah Melodi Terhangat (AMT 2026). Mengangkat tema “Power”, edisi tahun ini menjanjikan kelainan luar biasa dengan meraikan pengaruh, populariti, dan keunikan selebriti serta karya tempatan.
Bakal bersiaran secara langsung pada 18 Oktober 2026 (Ahad), jam 9.00 malam di TV3 dan platform penstriman Tonton, AMT 2026 mempertaruhkan tiga teras utama iaitu Star Power, Fan Power, dan Melodi’s Power.
Ruang pengiktirafan tahun ini turut diperluas kepada 16 kategori secara keseluruhan demi mencerminkan kepelbagaian landskap hiburan semasa.

16 Trofi Jadi Rebutan, AMT 2026 Angkat Pengaruh Selebriti Dan Karya Popular
Senarai Kategori AMT 2026
- 7 Kategori Baharu: Lagu Terhangat, Drama Sangat Terhangat, Direktor & Filem Terhangat, Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat, dan Selebriti Mandarin Terhangat.



- 9 Kategori Sedia Ada: Fresh Rising Star Terhangat Darlie, Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Couple Goals Terhangat, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO, Selebriti Viral Terhangat, Selebriti Stailo Terhangat, dan Tonton Original Terhangat.



Persaingan dilihat cukup sengit dengan kehadiran nama-nama besar di dalam senarai Top 10. Bintang popular seperti Syafiq Kyle, Hael Husaini, dan Beto Kusyairy berentap bagi kategori Selebriti Maskulin Terhangat. Manakala kategori Selebriti Feminin Terhangat dibarisi pesona anggun seperti Anna Jobling, Mimi Lana, dan Aina Abdul.
Kuasa penentu pemenang kini diserahkan sepenuhnya kepada para peminat. Menerusi pelancaran digital “Malam Start Menekan!”, undian telah dibuka bermula 3 September hingga 8 Oktober 2026 eksklusif di aplikasi Tonton. Setiap akaun berdaftar menerima 5 undian percuma, manakala pelanggan pelan premium 3 bulan dan 12 bulan Tonton masing-masing dibekalkan dengan 2,500 dan 10,000 undian gandaan.

Acara gilang-gemilang ini dijayakan bersama sokongan padu CUCKOO sebagai Penaja Terhangat, Darlie sebagai Penaja Bersama, Mentos sebagai Rakan Penaja, dan Grab sebagai Rakan E-Hailing. Sinergi media turut diperkukuh menerusi penglibatan julung kali 8TV sebagai Rakan Media, Hot FM (Rakan Radio), serta XTRA dan OhBulan! (Rakan Digital).
Kehangatan juga tidak akan terhenti pada malam anugerah. Momentum bakal diteruskan menerusi Konsert CUCKOOTOPIA Dihangatkan Oleh AMT 2026 sempena ulang tahun ke-12 CUCKOO pada 24 Oktober 2026 di Stadium Merdeka. Konsert epik ini bakal menampilkan bintang antarabangsa dan Duta Global CUCKOO, Lee Junho, penyanyi Taiwan Trevor Kuo, serta barisan artis tempatan tersohor seperti Jaclyn Victor, Faizal Tahir, dan Ella.
