Primeworks Studios Bawa Pelangi Di Mars Ke Malaysia, Filem Animasi Futuristik Sarat Emosi Tayang 3 September Ini
- oleh Editor MYBUZZ
- 2 Sep 2026 12:29 pm
KUALA LUMPUR – Pawagam seluruh Malaysia bakal diserikan dengan kemunculan filem animasi sains fiksyen (sci-fi) terbaharu, Pelangi Di Mars, yang dijadualkan menggegar pawagam di seluruh negara bermula 3 September 2026.
Dibawakan khas oleh Primeworks Studios selaku Rakan Pengedar dan Pemasaran dengan kerjasama Mahakarya Pictures serta MBK Productions, naskhah arahan pengarah Upie Guava ini menyajikan kombinasi pengembaraan futuristik, drama kekeluargaan, dan nilai persahabatan yang sarat dengan emosi.
Sesi tayangan khas filem itu telah diadakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur semalam dan telah dihadiri oleh barisan pelakon suara Malaysia, media serta peminat filem yang diundang khas bagi memeriahkan acara tayangan tersebut.

Pelangi Di Mars hadir dengan versi alih suara BM, satukan pengembaraan dan nilai kekeluargaan. – Barisan pelakon suara Malaysia bersama Nabila Razali yang turut meminjamkan suaranya bagi penghasilan OST filem ini, Warnai Pelangi.
Misi Selamatkan Bumi Di Dekad 2100
Berlatarbelakangkan era 2100-an ketika planet Bumi diancam krisis bekalan air global yang kritikal, Pelangi Di Mars mengisahkan perjalanan Pelangi, kanak-kanak pertama yang dilahirkan di planet Marikh.

Bersama sekumpulan robot rosak yang menjadi sahabat karibnya, Pelangi memulakan pengembaraan berbahaya bagi mencari mineral nadir berharga, Zeolite Omega, yang dipercayai menjadi kunci utama untuk menyelamatkan survival kehidupan di Bumi.

Walau bagaimanapun, misi Pelangi bertambah mencabar apabila Nerotek, sebuah empayar korporat gergasi yang menguasai baki bekalan air dunia, turut memburu mineral tersebut demi kepentingan peribadi mereka.
Barisan Pelakon Suara Versi Bahasa Malaysia & OST Nabila Razali
Bagi memastikan naskhah berdurasi 110 minit ini lebih mesra dan dekat di hati penonton tempatan, Pelangi Di Mars ditampilkan dalam versi alih suara Bahasa Malaysia dengan klasifikasi P12.
Watak utama Pelangi disuarakan oleh pelakon muda Dania Aleesya bersama Khayra Anzalna (Pelangi Kecil), selain disokong oleh Mia Sara Shauki (Pratiwi), Firdaus Sufiyan (Banyu), Radhi Ibrahim (Mirna), serta barisan penyumbang suara robot seperti Azman Zulkiply (Batik), Ahmad Azizi (Petya), Ezza Afiqa (Kimci), Muhammad Mustaqim (Sulil), dan Dyle Frettman (Yoman).
Menambah daya tarikan emosi filem ini, penyanyi popular Nabila Razali turut meminjamkan suaranya menerusi lagu tema rasmi (OST) versi Bahasa Malaysia bertajuk Warnai Pelangi. Sentuhan nyanyian Nabila menyuntik lagi kehangatan emosi dan jiwa pengembaraan dalam setiap babak aksi.
Filem animasi yang padat dengan pengajaran mengenai nilai keberanian, pengorbanan, serta perpaduan ini sesuai disaksikan oleh seisi keluarga di pawagam berdekatan bermula 3 September 2026.
