Ikuti Kami:

Disko Dansa Generasiku Satukan OAG dan The Times: Raikan Legasi Muzik Alternatif Serentas Dekad

Disko Dansa Generasiku Satukan OAG dan The Times: Raikan Legasi Muzik Alternatif Serentas Dekad

KUALA LUMPUR – Dua gergasi yang menjadi perintis landskap muzik alternatif dan budaya indie tempatan, OAG dan The Times, bakal menyatukan gelombang tenaga mereka di atas satu pentas menerusi konsert Disko Dansa Generasiku yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober 2026 di Odeon KL.

Dianjurkan oleh Rockstation, penganjuran ini bukan sekadar sebuah konsert double-bill, sebaliknya menjadi medan titik pertemuan dua era penting dalam lipatan sejarah muzik tempatan—iaitu ledakan alternative rock 1990-an dan kebangkitan gelombang indie Melayu pertengahan 2000-an.

 

Daripada ’60’s TV’ Ke ‘Generasiku’

Ditubuhkan pada 1992 di bawah nama Old Automatic Garbage, OAG mencetuskan revolusi muzik tempatan menerusi album sulung mereka pada 1994 di bawah label Positive Tone. Lagu 60’s TV menjadi lagu kebangsaan peminat muzik alternatif ketika itu, sekali gus membolehkan album berkenaan meraih status triple platinum dan dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1996.

Vokalis OAG, Radhi, menyifatkan persembahan di Odeon KL nanti sebagai satu perhimpunan nostalgia yang menghubungkan memori lama dan baharu.

“Konsert ini bukan sekadar tentang OAG atau The Times, tetapi tentang perjalanan muzik alternatif Malaysia yang saling bersambung dari satu generasi ke generasi yang lain. Kami mahu penonton datang bukan sahaja untuk menyanyi bersama, tetapi meraikan muzik yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup mereka,” katanya.

Disko Dansa Generasiku Satukan OAG dan The Times: Raikan Legasi Muzik Alternatif Serentas Dekad

Bukan sekadar konsert, ‘Disko Dansa Generasiku’ rai tiga dekad budaya Indie Malaysia

 

Pertalian Susur Galur OAG & Penubuhan The Times

Hubungan antara dua kumpulan ini mempunyai nilai sentimental tersendiri. Pada awal tahun 2000-an, dua beradik iaitu Naza (gitaris) dan Mono (pemain bass) pernah menjadi sebahagian daripada barisan keanggotaan OAG sebelum mengundurkan diri untuk menubuhkan The Times pada 31 Ogos 2004.

Membawa identiti British pop, mod, psychedelia, dan rock ‘n’ roll yang digabungkan dengan kepengaruhan humor serta bahasa Melayu, The Times mencetuskan fenomena menerusi album sulung Soda Pop Rok ‘N’ Roll (2004) yang membariskan lagu hits seperti Gadisku Dalam Koma dan Mawar Liar.

Vokalis The Times, Naza, mendedahkan bahawa persembahan mereka kelak bakal disuntik dengan kejutan khas dari segi susunan muzik yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

“Ramai yang membesar dengan OAG pada era 90-an dan ada yang menemui muzik melalui The Times pada 2000-an. Konsert ini ibarat titik pertemuan dua generasi peminat lama dan baharu. Kami sedang merancang beberapa perkara istimewa dan kejutan susunan lagu buat malam tersebut,” jelang Naza.

Disko Dansa Generasiku Satukan OAG dan The Times: Raikan Legasi Muzik Alternatif Serentas Dekad

Status Jualan Tiket

Sambutan hangat peminat muzik alternatif menyaksikan tiket kategori Seated berharga RM189 telah habis terjual (sold out). Walau bagaimanapun, peminat masih boleh mendapatkan tiket bagi kategori Standing yang ditawarkan pada harga RM139 menerusi laman web rasmi www.oagthetimes.com.

Loading...