Peminat Indie Wajib Hadir! FUGŌ & Midnight Fusic Kongsi Pentas Buat Pertama Kali Di Odeon KL
- oleh Editor MYBUZZ
- 1 Sep 2026 4:48 pm
KUALA LUMPUR – Pentas muzik alternatif tempatan bakal menyaksikan satu detik sejarah apabila dua kugiran popular tanah air, FUGŌ dan Midnight Fusic, disatukan buat julung kalinya menerusi konsert double-bill bertajuk Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic pada 17 Oktober 2026 di Odeon KL.
Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment, persembahan skala konsert ini merialisasikan perancangan yang mula dibincangkan oleh kedua-dua kumpulan sewaktu terlibat dalam satu acara persembahan di Pantai Timur pada tahun 2024.
Gabungan Lagu ‘Sandiwara’ & Konsep Visual Berimpak
Vokalis FUGŌ, Hakim Kamal mendedahkan tajuk konsert berkenaan diilhamkan daripada lagu kedua-dua kumpulan yang berkongsi perkataan sama iaitu Sandiwara. Menerusi konsert ini, kedua-dua kumpulan berjanji akan membawakan trek-trek kegemaran peminat yang jarang dimainkan di persembahan terbuka akibat kekangan masa.
Vokalis Midnight Fusic, Arif Kamarudin pula menambah bahawa persediaan rapi dari segi konsep visual khas turut dirangka bagi memastikan konsert double-bill ini memberi impak emosi serta memori berpanjangan kepada penonton.

FUGŌ & Midnight Fusic bawa pengalaman konsert baharu, raikan identiti muzik masing-masing.
Pertembungan Dua Identiti Muzik
FUGŌ yang ditubuhkan pada 2019 menerusi anggota Hakim Kamal, Kayrol Ami, dan Fai popular dengan jenama muzik Nu-Vintage serta lagu hits seperti Lagu Balad Kala Hujan. Manakala Midnight Fusic yang dianggotai Arif Kamarudin, Adrian Daniel, dan Firdaus Azmi telah bertapak selama lebih satu dekad sejak 2013 dengan kepelbagaian genre dari bossa nova hingga indie rock, membariskan lagu popular seperti Caramel Cream, Time Machine, dan Under The Weather.

Maklumat & Harga Tiket Konsert
Jualan tiket secara rasmi telah bermula menerusi laman sesawang panggungsandiwara.com dengan tawaran harga seperti berikut:
- PENTAS (Free Standing): RM89 (Jualan Awal) | RM139 (Jualan Umum)
- SANDIWARA (Premium Seating): RM129 (Jualan Awal) | RM189 (Jualan Umum)
- EXCLUSIVE SESSION (Tiket Tambahan RM150): Akses Sesi Meet & Greet, sesi foto, poster acara percuma, akses awal ke kawasan cenderamata, dan sajian ringan.
Penganjuran konsert ini bukan sekadar pertembungan dua nama besar di atas satu pentas, tetapi satu perayaan muzik alternatif yang menjanjikan tenaga serta pengalaman secara langsung yang memukau buat komuniti indie tempatan.
