Ikuti Kami:

Malaysia Aviation Group Dan MATTA Perkukuh Kerjasama Untuk MATTA Fair Ke-59

Malaysia Aviation Group Dan MATTA Perkukuh Kerjasama Untuk MATTA Fair Ke-59

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) sekali lagi memeterai kerjasama strategik bersama Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Utama bagi penganjuran Pameran MATTA (MATTA Fair) ke-59.

Acara dwitahunan pelancongan terbesar negara itu dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 September 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Sinergi kukuh ini bakal menyaksikan penglibatan menyeluruh portfolio penerbangan dan gaya hidup di bawah naungan MAG. Pengunjung boleh menantikan pelbagai tawaran penerbangan eksklusif menerusi syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal, selain pakej percutian serta barangan gaya hidup menerusi Enrich, Journify dan MHholidays.

Malaysia Aviation Group Dan MATTA Perkukuh Kerjasama Untuk MATTA Fair Ke-59

(Dari kiri) Naib Presiden Pengangkutan Udara Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Fazil Khan; Presiden MATTA, Nigel Wong; Ketua Pegawai Komersial Malaysian Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran; dan Ketua Jualan Global Syarikat Penerbangan MAG, Syazwan Ahmad Sabri, bergambar pada majlis kerjasama strategik antara MATTA dan Malaysia Aviation Group dalam memperkukuh sektor pelancongan dan penerbangan negara.

 

MAG Arena Kuasai Ruang Pameran 46,000 Kaki Persegi

Meneruskan kejayaan edisi lalu, MAG bakal mendominasi zon pameran menerusi ‘MAG Arena’ yang bertempat di Dewan Antarabangsa, Aras 3. Ruang gergasi seluas 46,000 kaki persegi itu bakal memuatkan 60 buah reruai interaktif yang menampilkan tawaran penerbangan domestik dan antarabangsa.

Antara destinasi pilihan yang ditawarkan pada harga promosi termasuk lokasi serantau seperti Bangkok, Singapura, Jakarta, Bali dan Hanoi, serta penerbangan jarak jauh ke London, Melbourne, Sydney, Tokyo dan Auckland.

Bagi ahli Enrich, Jualan Keutamaan Enrich (Enrich Priority Sale) akan dibuka lebih awal pada 1 hingga 2 September 2026 bagi membolehkan mereka mendaftar dan merebut tawaran tambang murah sebelum pameran bermula secara rasmi.

Cabutan Bertuah Tiket Kelas Perniagaan Ke ParisPenganjuran edisi ke-59 ini turut dimeriahkan dengan pelbagai peraduan bernilai tinggi. Pengunjung yang membelanjakan minimum RM100 berpeluang menyertai Peraduan Pembeli (Buyers’ Contest) untuk memenangi tiket pergi balik Kelas Perniagaan Malaysia Airlines ke destinasi terkemuka dunia seperti Paris dan Tokyo.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai sesi ramah mesra bersama legenda kelab bola sepak terkemuka Inggeris, Manchester United, serta barisan ikon sukan tempatan dan antarabangsa.

Malaysia Aviation Group Dan MATTA Perkukuh Kerjasama Untuk MATTA Fair Ke-59

MATTA Fair 2026 kembali dengan pelbagai tawaran, hadiah dan aktiviti menarik. -Imej janaan AI

 

Pacu Sektor Pelancongan Negara

Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, kerjasama berterusan bersama MAG berupaya membuka lebih banyak pintu akses pengembaraan kepada masyarakat serta memperkasakan persediaan sektor pelancongan tempatan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Pelancongan bukan sekadar sebuah industri, sebaliknya ia adalah harapan, rasa ingin tahu dan jalinan hubungan yang direalisasikan. MATTA Fair sentiasa komited menjadikan pengalaman pengembaraan mampu dimiliki oleh semua orang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Perniagaan Penerbangan MAG, Dersenish Aresandiran menyatakan penghargaan atas kepercayaan MATTA dan menegaskan komitmen kumpulan dalam menyokong aspirasi pelancongan negara.

“Kerjasama jangka panjang ini mencerminkan cita-cita bersama untuk mempermudahkan akses perjalanan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk pelancongan utama, di samping menyajikan kehangatan hospitaliti ikonik kami, Malaysian Hospitality,” jelas beliau.

Loading...