Ikuti Kami:

Konsert Batal Cetus Kecewa, DUKES Tampil Dengan Kejutan Yang Tak Disangka Peminat

Konsert Batal Cetus Kecewa, DUKES Tampil Dengan Kejutan Yang Tak Disangka Peminat

KUALA LUMPUR – Kekecewaan para peminat berikutan pembatalan sebuah konsert pada 16 Ogos lalu akhirnya terubat apabila kumpulan indie rock tempatan, DUKES, tampil membuat kejutan yang tidak disangka-sangka.

Tersentuh melihat keperitan peminat yang telah membuat pelbagai persiapan awal—termasuk membeli tiket penerbangan, menempah penginapan, dan mengambil cuti, DUKES mengambil langkah pantas menganjurkan showcase percuma ‘Fan Appreciation Session’ di Drum Asia, Hartamas pada Ahad lalu.

Konsert Batal Cetus Kecewa, DUKES Tampil Dengan Kejutan Yang Tak Disangka Peminat

DUKES tebus kekecewaan peminat dengan showcase percuma ‘Fan Appreciation Session’, serta pengumuman konsert solo 2026.

 

Showcase Khas Ubah Duka Jadi Suka

Keputusan menganjurkan persembahan percuma yang dibuat dalam tempoh kurang seminggu itu berjaya menghimpunkan hampir 300 peminat bertuah yang mendaftar lebih awal. Ada dalam kalangan mereka yang sanggup merentasi perjalanan jauh dari Sabah, Sarawak, Johor, hingga ke Pulau Pinang semata-mata mahu bertemu kumpulan pujaan mereka.

Memulakan persembahan sekitar jam 4:00 petang, DUKES menyampaikan 11 buah lagu berdurasi 90 minit. Antara lagu yang memukau penonton termasuklah karya-karya popular daripada album sulung mereka seperti Surat, Bila Kau Datang Menangis, Laila, serta sebuah lagu cover. Selesai aksi pentas, DUKES meluangkan masa hampir sejam menerusi sesi Meet & Greet tanpa sebarang sekatan atau had masa. Sesi mesra yang berlabuh sekitar jam 7:00 malam itu memberikan peluang emas buat setiap peminat untuk bergambar dan berinteraksi secara peribadi.

Konsert Batal Cetus Kecewa, DUKES Tampil Dengan Kejutan Yang Tak Disangka Peminat

300 penonton, 11 lagu, 90 minit penuh emosi, DUKES buktikan erti penghargaan buat peminat setia.

 

Gegar Odeon KL November Ini

Kemuncak showcase percuma berkenaan menyaksikan DUKES menyampaikan khabar gembira yang sekian lama dinantikan para peminat apabila secara rasmi mengumumkan penganjuran konsert solo pertama mereka, DUKES LIVE IN CONCERT 2026. Pengumuman istimewa itu disambut dengan sorakan gemuruh daripada para peminat yang hadir, sekali gus menjadikan acara tersebut lebih bermakna selepas mereka diraikan menerusi sesi penghargaan khas berkenaan.

Konsert solo yang bakal dianjurkan oleh Beatus Live Sdn. Bhd. itu dijadual berlangsung pada 7 November 2026 (Sabtu) di Odeon Kuala Lumpur, bermula jam 8.00 malam. Ia dijangka menjadi pentas terbesar buat DUKES setakat ini untuk meraikan perjalanan muzik mereka bersama para peminat yang sentiasa memberikan sokongan sejak hari pertama.

Dalam pada itu, maklumat lanjut berhubung penjualan tiket rasmi akan diumumkan pada 28 Ogos 2026 menerusi platform Loket, manakala sebarang perkembangan berkaitan konsert boleh didapati melalui laman rasmi www.malamiramadukes.com serta saluran media sosial rasmi DUKES. Pengumuman tersebut sekali gus menandakan bermulanya detik baharu dalam perjalanan karier kumpulan berkenaan menjelang konsert solo sulung mereka.

Album Sulung Tembus 1 Juta Penstriman

Selain pengumuman konsert, kumpulan yang diasaskan di Universiti Malaya pada 2023 dan dianggotai oleh Ziggy, Rayyan, Jimbo, Umar, serta Cheng ini turut melakar pencapaian membanggakan dalam arena muzik digital. Album sulung mereka, Irama Budak Bermimpi yang dilancarkan pada 26 Jun 2026, berjaya melepasi angka 1 juta penstriman di Spotify dalam tempoh kurang daripada dua bulan.

“Satu juta penstriman ini bukan sekadar angka, tetapi bukti bahawa muzik DUKES semakin diterima ramai. Terima kasih kerana terus percaya dengan perjalanan kami,” ujar DUKES menzahirkan rasa syukur atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat.

Loading...