Fajar Noor Cipta Kenangan Bersama 600 Peminat Dalam Showcase Sulung ‘Sementara, Selamanya’ Di Malaysia
- oleh Editor MYBUZZ
- 19 Aug 2026 3:27 pm
KUALA LUMPUR – Penyanyi sensasi dari seberang, Fajar Noor nampaknya semakin mencipta fenomena luar biasa di negara ini apabila “Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor” yang berlangsung di Aloft Kuala Lumpur Sentral pada 14 Ogos lalu mendapat sambutan di luar jangkaan.
Showcase eksklusif sulung penyanyi dari Indonesia itu berjaya menghimpunkan lebih 600 peminat. Lebih mengharukan, peminat tegarnya yang digelar FajarSoul bukan sahaja datang dari seluruh pelosok Malaysia, malah ada yang sanggup terbang dari Indonesia demi meraikan momen istimewa tersebut bersama artis kesayangan mereka.

Fajar Noor, Khai Bahar dan Syamel cipta momen istimewa di Kuala Lumpur.
Gimik Busking Curi Tumpuan Warga Kota
Sebelum malam kemuncak showcase berlangsung, Fajar terlebih dahulu turun padang menyantuni peminat menerusi aktiviti promosi santai berbentuk sesi busking di sekitar SOGO Kuala Lumpur dan Bukit Bintang.
Sesi tersebut nyata mencuri perhatian ramai apabila ia turut diserikan dengan kemunculan dua penyanyi popular tanah air, Syamel dan Khai Bahar. Ketiga-tiga bintang ini mencipta momen spontan yang gamat dengan bertukar-tukar lagu hit masing-masing.
Berikut adalah antara detik menarik ketika sesi busking tersebut:
- Fajar dan Khai Bahar membuat kejutan apabila bergandingan menyanyikan lagu Cukup Sekali yang merupakan nyanyian asal Syamel.
- Syamel pula mempamerkan kelunakan vokalnya dengan membawa versi tersendiri untuk lagu popular Fajar yang berjudul Salah Apa Aku.
- Sebagai balasan, Fajar tidak melepaskan peluang mendendangkan lagu berhantu milik Khai Bahar, Luluh.
Keakraban Fajar bersama rakan-rakan artis Malaysia ini secara tidak langsung menghidupkan suasana di tengah kota dan menjadi pemanas badan yang sempurna sebelum acara showcase sebenar berlangsung.

Fajar Noor hidupkan album ‘Sementara, Selamanya’ dalam persembahan penuh emosi.
Sarat Emosi Di Atas Pentas
Momentum hebat itu diteruskan ke malam showcase apabila ratusan FajarSoul disajikan dengan persembahan vokal mantap dan penuh beremosi daripada Fajar. Persembahan itu turut disaksikan oleh rakan-rakan artis tempatan yang hadir memberikan sokongan moral, termasuklah Khai Bahar dan Odda.
Di atas pentas, Fajar bukan sekadar menyanyi, tetapi turut berkongsi kisah peribadi di sebalik pembikinan lagu-lagu dalam album sulungnya, Sementara, Selamanya. Album tersebut mengangkat tema cycle of love (kitaran cinta), yang membawa pendengar menyelami fasa-fasa sebuah hubungan. Ia merangkumi detik awal jatuh cinta, tercetusnya konflik, rasa kehilangan, sehinggalah kepada sisa perasaan yang masih tertinggal apabila sesuatu perhubungan itu tergantung tanpa noktah yang sebenar.

Bukan sekadar showcase, malam istimewa Fajar Noor jadi kenangan buat ratusan peminat.
Terharu dengan sokongan padu yang diterima, Fajar mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat yang hadir pada hari Jumaat tersebut.
“Aku mahu terima kasih buat teman-teman semuanya yang udah datang ke showcase Fajar pada hari Jumaat lalu untuk album pertama Fajar, Sementara, Selamanya. Semoga malam itu bisa kalian kenangan, kerana kalian buat kenangan yang paling indah untuk Fajar dan semua di Malaysia,” ujarnya penuh ikhlas.
Kehadiran Fajar ke Malaysia jelas membuktikan bahawa muzik bawaannya berjaya menambat hati pendengar Nusantara. Bagi peminat yang ingin terus melayan perasaan, keseluruhan album Sementara, Selamanya kini sudah boleh distrim secara rasmi di semua platform penstriman digital.
