Deposit RM37.5K Lesap, 10,000 Produk Tak Sampai: Mekdinda Cosmetics Hantar LOD Pada Kilang OEM!
- oleh Editor MYBUZZ
- 13 Aug 2026 11:39 am
Foto Pengasas Mekdinda Cosmetics, Nur Syahidatul Najwa (tengah)
BANDAR BARU BANGI — Niat mahu menyokong industri tempatan bertukar menjadi pertikaian apabila pengasas Mekdinda Cosmetics, Nur Syahidatul Najwa, mendakwa terpaksa menuntut semula deposit RM37,500 selepas tempahan 10,000 unit produk kosmetik yang dibuat daripada sebuah kilang OEM tempatan masih belum diterima.
Lebih mengecewakan, menurut pihaknya, bayaran deposit tersebut telah dibuat sejak Mac lalu, namun selepas lebih empat bulan, produk yang ditempah masih belum diterima.
Situasi itu bukan sahaja melibatkan wang deposit, malah didakwa menyebabkan Mekdinda Cosmetics kehilangan peluang perniagaan dan potensi jualan yang dianggarkan mencecah RM111,000.
“Saya pilih untuk bekerjasama dengan kilang di Malaysia sebab saya memang nak support industri lokal kita.
“Bila kita sebagai local brand cuba untuk support local manufacturer, kita harap kerjasama itu dapat berjalan dengan baik dan kedua-dua pihak sama-sama berkembang.
“Saya percaya Malaysia mempunyai ramai anak muda yang kreatif dan berani untuk bina brand sendiri. Sebab itu saya rasa sangat penting untuk kita support each other dalam industri ini.
“Macam mana nak maju industri local makeup kalau kilang sini sendiri tidak menjalankan tanggungjawab kontrak?” kata Mekdinda.
Dalam konteks ini, Mekdinda Cosmetics pada 7 Mac 2026 telah menempah sebanyak 10,000 unit cleanser makeup remover 100ml daripada sebuah syarikat OEM tempatan dengan nilai keseluruhan kontrak sebanyak RM75,000.
Sebanyak RM37,500, iaitu 50 peratus daripada nilai kontrak, telah dibayar sebagai deposit.
Bagaimanapun, pihak Mekdinda mendakwa produk tersebut masih belum dibekalkan walaupun tempoh penghantaran yang dipersetujui telah berlalu.
Pelbagai susulan kemudiannya dibuat bagi mendapatkan perkembangan mengenai status pengeluaran dan penghantaran produk tersebut.
Antara alasan yang diberikan, menurut pihak Mekdinda, adalah bahan mentah yang diperlukan bagi pengeluaran produk berkenaan mengalami masalah penghantaran dari China.
Namun, selepas lebih empat bulan, produk masih belum diterima dan deposit tersebut juga didakwa masih belum dipulangkan.
“Kami cuma tuntut apa yang menjadi hak anak guam”
Peguam yang mewakili Mekdinda Cosmetics, Sabrina Mohd dari Aimee & Zaim Arif, berkata pihak anak guamnya telah memberikan peluang kepada pihak OEM untuk menyelesaikan tempahan sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Anak guam kami telah memberikan peluang kepada pihak OEM untuk melaksanakan tempahan tersebut. Namun selepas tarikh yang dijanjikan berlalu, produk masih tidak dihantar dan tiada penyelesaian yang diberikan kepada anak guam kami.
“Jadi, Letter of Demand ini merupakan langkah seterusnya untuk mendapatkan semula apa yang menjadi hak anak guam kami,” katanya.
Sabrina berkata isu tersebut juga bukan sekadar berkaitan dengan satu tempahan atau satu jumlah deposit, tetapi turut melibatkan kepercayaan antara usahawan tempatan dengan pihak yang menyediakan perkhidmatan dalam rantaian perniagaan.
“Industri kosmetik tempatan hanya dapat berkembang sekiranya setiap pihak dalam rantaian perniagaan menjalankan tanggungjawab masing-masing dan menghormati kontrak yang telah dipersetujui.
“Malaysia mempunyai sambutan yang baik terhadap produk tempatan. Kita mempunyai ramai anak muda yang kreatif, rajin, berani mencuba dan semakin berminat untuk meneroka dunia perniagaan.
“Mereka berani membina jenama sendiri dan mencipta produk. Sebab itu ekosistem perniagaan kita perlu dibina atas kepercayaan dan integriti.
“Pada masa yang sama, undang-undang menyediakan perlindungan kepada pihak yang terkesan apabila berlaku kemungkiran kontrak,” katanya.
Menurut pihak Mekdinda, kelewatan dan kegagalan penghantaran produk tersebut turut menyebabkan anak guamnya kehilangan peluang perniagaan serta potensi jualan yang dianggarkan bernilai RM111,000.

Foto Pengasas Mekdinda Cosmetics, Nur Syahidatul Najwa bersama barisan peguam beliau sambil memegang LOD tuntutan tersebut
Menerusi tindakan undang-undang tersebut, pihak Mekdinda menuntut pemulangan penuh wang deposit sebanyak RM37,500 serta ganti rugi khas bernilai RM111,000 atas kerugian potensi jualan yang dialami. Selain itu, tuntutan berkenaan turut merangkumi ganti rugi am yang akan ditaksirkan oleh pihak mahkamah kelak berserta liputan penuh bagi keseluruhan kos guaman. Satu Letter of Demand (LOD) telah dikeluarkan kepada pihak OEM berkenaan dengan tuntutan tersebut.
Peguam Afiq Asyraf dari Aimee & Zaim Arif berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya perkara tersebut gagal diselesaikan.
“Kami tidak meminta sesuatu yang istimewa. Kami hanya menuntut apa yang sememangnya menjadi hak anak guam kami berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui.
“Kami akan mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi kepentingan anak guam kami,” katanya.
Pihak Mekdinda turut memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bandar Kinrara berhubung perkara tersebut.
Pertikaian ini kini bergerak ke peringkat tindakan undang-undang, dengan pihak Mekdinda menegaskan bahawa mereka mahu mendapatkan semula deposit yang telah dibayar serta tuntutan lain yang didakwa berpunca daripada kegagalan penghantaran produk.
Bagi usahawan yang memilih untuk membina jenama tempatan, persoalannya bukan sekadar siapa yang menghasilkan produk, tetapi sejauh mana setiap pihak dalam ekosistem perniagaan boleh dipercayai untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan.
