Ikuti Kami:

PUSPAKOM Kembang Inovasi AI Dengan ASTRA Dan Teknologi Pemeriksaan Generasi Baharu, Gandakan Kecekapan Operasi Logistik

PUSPAKOM Kembang Inovasi AI Dengan ASTRA Dan Teknologi Pemeriksaan Generasi Baharu, Gandakan Kecekapan Operasi Logistik

DAMANSARA DAMAI – PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) melakar sejarah baharu apabila menjadi organisasi pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia yang memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi proses pemeriksaan berkanun kenderaan komersial.

Langkah transformasi digital yang diumumkan sempena pelancaran Jelajah Malaysia Digital 2026 ini mempertaruhkan Sistem Pemeriksaan Bawah Kenderaan (undercarriage inspection) berkuasa AI yang berupaya mempercepatkan masa pemeriksaan sehingga 90 peratus.

PUSPAKOM Kembang Inovasi AI Dengan ASTRA Dan Teknologi Pemeriksaan Generasi Baharu, Gandakan Kecekapan Operasi Logistik

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkongsi bagaimana teknologi AI memacu transformasi pemeriksaan kenderaan di Malaysia, dengan meningkatkan kecekapan, ketepatan dan keselamatan melalui inovasi digital sempena Jelajah Malaysia Digital 2026.

 

Potong Masa Kepada 1 Minit, Tingkatkan Produktiviti

Sistem rintis tersebut, yang dibangunkan melalui usahasama strategik dengan syarikat teknologi tempatan Keymag Sdn. Bhd., menggunakan analisis imej pintar untuk mengautomasikan pengesanan kecacatan dan komponen kenderaan.

Menerusi teknologi ini, masalah keselamatan kritikal seperti kebocoran minyak, kerosakan struktur, masalah sistem brek, hakisan, dan kecacatan gandar dapat dikenal pasti dengan lebih cekap dan konsisten.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, penggunaan teknologi AI ini bukan sekadar mengejar trend, sebaliknya memberikan manfaat langsung yang nyata kepada golongan pemandu komersial serta ekosistem logistik secara amnya.

“Sebagai contoh, dengan mengurangkan masa yang diperlukan untuk pemeriksaan bawah kenderaan berkuasa AI daripada 10 minit kepada kira-kira satu minit, iaitu pengurangan hampir 90 peratus daripada tempoh pemeriksaan, seorang pemandu lori memperoleh kira-kira 10 minit tambahan yang boleh digunakan untuk membuat penghantaran atau pulang ke rumah lebih awal,” jelas Mahmood.

Tambah beliau, inovasi ini turut membolehkan PUSPAKOM memeriksa kapasiti kenderaan yang lebih tinggi pada setiap jam, secara tidak langsung menyelesaikan masalah masa menunggu yang panjang. Buat permulaan, sistem AI ini telah diaplikasikan pada unit Perkhidmatan Trak Bergerak (MTS) PUSPAKOM yang khusus untuk kenderaan komersial berat.

YB Gobind Singh Deo menyaksikan demonstrasi sistem pemeriksaan bawah kenderaan berkuasa AI PUSPAKOM yang dipersembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, sempena pelancaran Jelajah Malaysia Digital 2026 di Damansara Damai.

 

Kembang Inovasi Melalui ASTRA & Pelan 24 Bulan

Melihat jauh ke hadapan, PUSPAKOM tidak hanya berhenti pada sistem bawah kenderaan. Syarikat itu kini dalam fasa bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi membangunkan ASTRA, iaitu penyelesaian pemeriksaan atas kenderaan (above-carriage inspection).

Berikut adalah antara pelan inovasi jangka panjang PUSPAKOM yang bakal dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 24 bulan akan datang:

  • Pelaksanaan penuh sistem ASTRA untuk pemeriksaan atas kenderaan.
  • Pengenalan keupayaan pemeriksaan tayar pintar berkuasa AI.
  • Transformasi berterusan ke arah pusat pemeriksaan kenderaan pintar.

Teknologi AI PUSPAKOM ubah cara kenderaan komersial diperiksa di Malaysia.

 

Teknologi Pintar, Namun Kepakaran Manusia Tetap Teraju

Walaupun sistem AI direka untuk meningkatkan kelajuan, ketepatan, dan ketelusan, PUSPAKOM menegaskan bahawa peranan manusia tidak dipinggirkan.

Sistem AI berkenaan berfungsi sekadar sebagai alat sokongan pintar (intelligent decision-support tool) untuk mengesan anomali, namun keputusan muktamad sama ada sesebuah kenderaan itu ‘lulus’ atau ‘gagal’ hanya boleh disahkan oleh Pemeriksa Kenderaan (VE) PUSPAKOM yang terlatih.

Hal ini adalah bagi menjamin standard dan integriti profesionalisme keselamatan berkanun tidak dikompromi. Pendekatan pendigitalan rekod ini juga bertindak sebagai bukti objektif sekiranya timbul sebarang pertikaian oleh pihak pelanggan.

Bagi memeriahkan lagi pelancaran Jelajah Malaysia Digital 2026 di Damansara Damai, PUSPAKOM berbesar hati menawarkan 40 slot Pemeriksaan Kenderaan Persendirian (PVI) secara percuma kepada para pengunjung sebagai inisiatif mempromosikan keselamatan jalan raya. Jelajah ini dijangka akan diteruskan ke pelbagai lokasi lain bagi memperluaskan capaian perkhidmatan digital syarikat tersebut kepada lebih ramai komuniti di seluruh negara.

Loading...