Konvoi 40 Ducati Gegar Central i-City, Meriahkan Jelajah Promosi Filem ‘Tiket Sehala’
- oleh Editor MYBUZZ
- 10 Aug 2026 4:12 am
SHAH ALAM – Suasana di pusat beli-belah Central i-City bertukar bingit dan meriah apabila deruman enjin kira-kira 40 unit motosikal berkuasa tinggi Ducati ‘menggegar’ ruang legar utama bagi memeriahkan program Meet & Greet siri jelajah promosi filem aksi tempatan terbaharu, Tiket Sehala.
Kehadiran konvoi membabitkan kira-kira 60 penunggang daripada Ducati Official Club Malaysia (DOCM) yang bergerak dari Kuala Lumpur ke Shah Alam itu menjadi antara tarikan utama acara anjuran Key Billions Sdn. Bhd. dengan kerjasama Madani Greatlink Sdn. Bhd.
Siri jelajah yang menjadi lokasi terakhir ini merupakan kesinambungan daripada program terdahulu yang pernah berlangsung di Madani TRX, Jalan Imbi.

Konvoi Ducati, tiket percuma dan Gold Bar Challenge lengkapkan kemeriahan kempen promosi ‘Tiket Sehala’. – Pengerusi Madani Greatlink, Hairi Jasadi
Cabaran Jongkong Emas RM51,000 & Agihan Tiket Percuma
Pengerusi Madani Greatlink, Hairi Jasadi berkata, selain menghimpunkan komuniti permotoran dan peminat filem, pihak penganjur turut mengagihkan kira-kira 70 tiket percuma kepada penonton dan peminat Tiket Sehala.
Malah, acara berkenaan turut diserikan dengan ‘Gold Bar Challenge’ yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM51,000 kepada peserta yang berjaya mengangkat jongkong emas yang disediakan.
“Ini merupakan sambungan daripada acara yang kita buat di Madani TRX, Jalan Imbi. Hari ini kita teruskan dengan mengagihkan kira-kira 70 tiket percuma kepada penonton dan peminat ‘Tiket Sehala’.
“Kita juga ada ‘Gold Bar Challenge’ yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM51,000 kepada peserta yang berjaya mengangkat jongkong emas berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Mengulas mengenai penyertaan DOCM, Hairi menjelaskan kumpulan permotoran berkenaan merupakan antara komuniti di bawah jaringan Madani Greatlink. Walaupun menerima banyak permintaan untuk meneruskan acara di lokasi lain, beliau menjelaskan pihak penganjur terpaksa menamatkan siri jelajah tersebut di Shah Alam berikutan terikat dengan jadual yang telah ditetapkan.

Barisan pelakon filem ‘Tiket Sehala’ hadir memeriahkan sesi ‘Meet & Greet’ filem itu bersama para peminat di ruang legar pusat beli belah Central i-City, Shah Alam
Barisan Pelakon Tempatan & Antarabangsa Diserbu Peminat
Kemuncak program menyaksikan siri Meet & Greet yang mempertemukan peminat secara bersemuka dengan barisan pelakon filem berkenaan. Bintang popular tempatan Noki K-Clique, Ainee Mustafa, dan Saha Champ hadir memeriahkan pentas utama.
Turut mencuri perhatian adalah kehadiran barisan pelakon antarabangsa seperti Ha Ju Young (Jay), Park Si Yeol (Park), Shin Hyeon Kyu (William), Hyunjun Suk (Jun Tarzan), Tak Teuin (Bong) serta Naufal Samudra.
Peminat tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra, bergambar, dan menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang sesi terbuka tersebut.

“Tiket Sehala” bukan sekadar filem aksi thriller, tetapi turut mengetengahkan tema kasih sayang, pengorbanan keluarga dan perjuangan mangsa penipuan pekerjaan yang berusaha pulang ke tanah air dengan selamat.
Angkat Realiti Gelap ‘Job Scam’, Papar Sentuhan Visual Ala Korea
Mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 6 Ogos lalu, filem arahan Rahila Ali terbitan Key Billions Sdn. Bhd. ini mengangkat isu tempatan yang amat sinonim iaitu penipuan tawaran pekerjaan (job scam) serta pemerdagangan manusia di Korea Selatan.
Sarat dengan babak aksi mendebarkan, Tiket Sehala mengisahkan perjuangan watak Alif, Putri, dan Taqy yang terperangkap dalam sistem sindiket kejam dan dipaksa bekerja di ladang bawang terpencil di bawah kawalan dua beradik, Park Jae Soo dan Park Ha Joon.
Selain Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani, dan Saha Champ, naskhah ini turut dibintangi pelakon luar negara termasuk Hyunjun Suk, Ha Ju Young, Ninja Aphisit Usadee, dan Naufal Samudra.
Sejak pelancarannya, filem ini meraih pelbagai reaksi positif di media sosial terutamanya pujian terhadap sinematografi, gubahan warna, serta gaya visual berkualiti tinggi yang disamakan seperti filem aksi terbitan Korea Selatan. Filem Tiket Sehala kini sedang rancak ditayangkan di seluruh pawagam tanah air.
