Big Stage Rocketfuel Makin Panas, Prestasi Suku Akhir Buat Peminat Mula Nampak Calon Juara
- oleh Editor MYBUZZ
- 3 Aug 2026 12:31 pm
SHAH ALAM – Pentas suku akhir program realiti nyanyian sensasi, Big Stage Rocketfuel bagi konsert minggu keenam malam tadi semakin panas dan mendebarkan. Persaingan hebat yang dipamerkan oleh barisan peserta bukan sahaja memukau juri, malah membuatkan para peminat kini mula nampak bayangan calon juara yang bakal merangkul gelaran musim ini.
Lebih mengejutkan, tiada penyingkiran diumumkan, sekali gus memberi talian hayat buat kesemua lapan bintang muda untuk mara ke pusingan separuh akhir yang pastinya menjanjikan saingan lebih sengit.

Ranisha Ungguli Tangga Pertama
Menerusi tema tugasan “Interference: A Song Chosen By Juries”, para peserta perlu menyahut cabaran membawakan lagu-lagu pilihan juri. Peserta bersuara gemersik, Ranisha cemerlang merampas kedudukan pertama dengan markah keseluruhan sebanyak 86.50%. Beliau yang mempertaruhkan lagu Die On This Hill (nyanyian asal Sienna Spiro) berjaya memikat hati juri tetap, Hael Husaini dan Aisha Retno yang masing-masing memberikan markah tinggi iaitu 90 dan 92.
Aisha Retno turut memuji persembahan Ranisha dan menyifatkan nyanyiannya pada malam itu hampir sempurna. Menurut Aisha, Ranisha berjaya memanfaatkan kelebihan vokalnya dengan baik, khususnya teknik growl yang dianggap sebagai antara kekuatan paling berharga dimilikinya.
“Ini adalah satu persembahan yang hampir sempurna. Awak tahu di mana kekuatan awak, dan growl yang awak miliki sangat bernilai. Suara awak juga bersifat ringan, jadi ia memerlukan sedikit ‘weight’ untuk memberikan impak yang lebih besar,” katanya.
Mengekori rapat di tempat kedua adalah Adam Nazmie dengan markah 79.75% menerusi persembahan bertenaga lagu Intifada nyanyian kumpulan Rabbani. Kedudukan ketiga pula diisi oleh Hussain dengan markah 76.25% selepas mendendangkan lagu Warkah Berlagu Pilu nyanyian asal Felix.
Melengkapkan senarai persembahan solo lain yang dipertandingkan, Qilo mendendangkan lagu Feeling Good (Michael Bublé) dengan (74.00%) dan Aliff Kimiey dengan lagu Haruskah (Adam) dengan markah (71.50%). Berikut merupakan senarai penuh kedudukan dan markah peserta pada konsert Suku Akhir (Minggu 6)

Walaupun menduduki tiga tangga terbawah, nasib menyebelahi Yad-Z (71.00%), Danny (67.00%) dan Danial Kifli (65.50%) apabila tiada sebarang penyingkiran dilakukan. Pada konsert berkenaan, kemantapan vokal Yad-Z diuji menerusi lagu Penghujung Rindu (Dato’ Jamal Abdillah), sementara Danny ditugaskan menyanyikan lagu Sayang Orang Sama (Adira Suhaimi), manakala Danial Kifli membawakan lagu Cinta Dewa Dewi (Spider). Tekanan pada malam tersebut turut memuncak dengan kehadiran guru vokal berkaliber, Datuk Syafinaz Selamat yang diundang khas sebagai juri jemputan.

Cabaran ‘Pulze Beatz Battle’
Selain persembahan solo yang menjadi penilaian utama, Konsert Minggu Keenam Big Stage Rocketfuel turut menampilkan cabaran khas Pulze Beatz Battle, yang menguji keserasian, kekuatan vokal serta kemampuan peserta untuk menyerlah dalam persembahan berkumpulan.
Bagi cabaran ini, peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan Beatz yang dianggotai oleh Ranisha, Yad-Z, Aliff Kimiey dan Danny diberi tugasan membawakan lagu RINGA LINGA nyanyian Taeyang, manakala kumpulan Pulze yang terdiri daripada Hussain, Adam Nazmie, Danial Kifli dan Qilo mempersembahkan lagu SPOT nyanyian Zico dan Jennie. Kedua-dua kumpulan bukan sahaja perlu menampilkan nyanyian yang mantap, malah turut diuji dari segi koreografi, tenaga persembahan dan keserasian sebagai sebuah pasukan.
Selepas melalui persaingan sengit dan penuh bertenaga, kumpulan Beatz berjaya muncul sebagai pemenang apabila menerima undian sebulat suara daripada barisan juri dan berjaya membawa pulang wang kemenangan RM1000. Kemenangan tersebut sekali gus membuktikan keupayaan mereka menampilkan persembahan yang lebih menyerlah, kemas dan meyakinkan sepanjang cabaran berlangsung.
Dengan berakhirnya konsert suku akhir tanpa sebarang penyingkiran, kelapan-lapan peserta kini perlu merangka strategi yang lebih mantap bagi menempah tiket ke pentas akhir Big Stage Rocketfuel kelak. Persoalannya, siapakah yang bakal tersungkur di separuh akhir? Sama-sama kita nantikan!
