NONGSHIM Sertai Big Stage Rocketfuel, Bawa Aura SHIN Ramyun Ke Pentas Realiti Popular
- oleh Editor MYBUZZ
- 27 Jul 2026 4:07 pm
KUALA LUMPUR – Program realiti nyanyian popular, Big Stage Rocketfuel musim ketujuh tampil dengan kelainan tersendiri apabila menerima tajaan sulung daripada jenama ramyun nombor satu Korea, NONGSHIM.
Langkah strategik ini bukan sahaja merancakkan lagi pentas persaingan, malah dilihat bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-40 jenama tersebut demi memperkukuhkan lagi kedudukan mereka di pasaran Malaysia. Ia juga membuktikan trend penajaan syarikat korporat di kaca televisyen kini semakin berkembang dan menjadi pilihan berbanding masa lalu.
Menurut Pengurus Komersil GBA Corporation Sdn. Bhd. (GBA), Foo Siew Kheng, selaku pengedar eksklusif NONGSHIM di negara ini, pihaknya amat menyedari keperluan untuk mencipta inovasi penjenamaan seiring dengan peralihan gaya pemasaran masa kini dan kehendak pengguna yang semakin berubah.

Sempena ulang tahun ke-40, penajaan tersebut dilihat sebagai langkah memperkukuhkan lagi kedudukan jenama ramyun nombor satu Korea itu di pasaran Malaysia.
Jelasnya, banyak jenama kini beralih daripada sekadar menyiarkan iklan komersial biasa kepada penajaan program televisyen. Strategi ini bukan sahaja membantu meningkatkan keterlihatan jenama, malah ia lebih efektif dalam membina kepercayaan pengguna, mengintegrasikan kempen digital, serta menyasarkan program yang tepat dengan demografi sasaran untuk pulangan pelaburan (ROI) yang berkesan.
“Menerusi Big Stage Rocketfuel, NONGSHIM kini mahu mempamerkan nilai murni dan membina reputasi jenama produk yang positif di mata masyarakat sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama makanan Korea paling berpengaruh di peringkat antarabangsa,” kata beliau.
Tambah beliau lagi, penglibatan jenama itu mencerminkan kekuatan NONGSHIM dalam mendekati golongan keluarga menerusi televisyen, di samping mempromosikan pengalaman menikmati makanan Korea premium yang autentik serta mudah disediakan.
Sebagai rekod, GBA Corporation Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada tahun 1987, merupakan salah sebuah syarikat pengedaran serta pemasaran barangan pengguna bergerak cepat (FMCG) terkemuka di negara ini yang giat membawa masuk jenama makanan dan minuman antarabangsa ke pasaran tempatan.

Barisan Wakil NONGSHIM dan Pengurus Komersil GBA Corporation Sdn. Bhd. (GBA), Foo Siew Kheng bersama mascot SHIN Ramyun di Big Stage Rocketfuel.
Misi Cari Bintang Tahan Lasak Sepanas SHIN Ramyun
Mengulas mengenai pemilihan program tersebut, Siew Kheng berkata, Big Stage Rocketfuel kembali dengan musim baharu yang jauh lebih berani dan menyajikan cabaran sengit setiap minggu buat para pesertanya.
Konsep ini sangat selari dengan prinsip dan kekuatan identiti jenama ikonik NONGSHIM, iaitu SHIN Ramyun, yang mahukan bintang dengan kualiti yang menyerlah, tulen, serta konsisten kekal di puncak.
“Seperti SHIN Ramyun yang kekal menjadi pilihan utama peminat makanan Korea selama empat dekad, kami mahu melihat bakat yang bukan sekadar hangat seketika, tetapi mampu bertahan, kekal asli dan terus relevan dalam industri.
“Semangat inilah yang menghubungkan NONGSHIM dengan Big Stage Rocketfuel, kedua-duanya meraikan kualiti, ketulenan dan keberanian untuk terus berada di puncak,” ujarnya lagi.
Persaingan Semakin Sengit
Bersiaran setiap Ahad malam sejak 28 Jun lalu, pentas Big Stage Rocketfuel membuka ruang kepada pencarian bintang solo atau duo yang memiliki identiti dan daya tahan teguh untuk mendominasi industri.
Susulan penyingkiran tiga peserta iaitu Sufie Rose, Sabrina dan Rieffa, program kini dihangatkan dengan persaingan daripada barisan bakat baharu yang bersedia memberikan impak maksimum, iaitu Qilo, Yad-Z, Ranisha, Adam & Nazmie, Danial Kifli, Aliff Kimiey, Danny, dan Hussain.
Musim kali ini diacarakan oleh gandingan sensasi Nabil Ahmad bersama Azeva yang pernah menjadi finalis Talk To My Manager S2. Manakala nasib peserta pada setiap minggu dinilai sepenuhnya, iaitu 100 peratus di tangan barisan juri tetap berkaliber yang terdiri daripada Akim Ahmad, Aisha Retno, dan Hael Husaini.
