Ikuti Kami:

Selepas Lebih Sedekad, Mila Jirin Kembali Ke Dunia Muzik Menerusi ‘Tersimpan Dalam Hati’

Selepas Lebih Sedekad, Mila Jirin Kembali Ke Dunia Muzik Menerusi ‘Tersimpan Dalam Hati’

SUBANG JAYA – Selepas lebih sedekad memberikan tumpuan penuh dalam arena keusahawanan sehingga berjaya mengukuhkan empayar Bizmilla, juara Akademi Fantasia Musim Ke-5 (AF5), Mila Jirin, akhirnya membuat kejutan apabila kembali melangkah ke pentas seni suara menerusi single terbaharunya berjudul ‘Tersimpan Dalam Hati’.

Kemunculan semula penyanyi ini bukan sekadar sekadar melancarkan lagu baharu, sebaliknya simbolik perjalanan pulang seorang anak seni yang tidak pernah memadamkan cintanya terhadap dunia muzik.

Selepas Lebih Sedekad, Mila Jirin Kembali Ke Dunia Muzik Menerusi 'Tersimpan Dalam Hati'

Cabaran Bisnes Hampir Padamkan Impian Seni

Mila atau nama sebenarnya Norshamila Jirin dikenali ramai menerusi kejayaannya membangunkan jenama Bizmilla sehingga mengendalikan lebih 10,000 majlis serta meraikan lebih 10 juta tetamu di seluruh negara.

Namun, sebalik kejayaan itu, beberapa tahun kebelakangan ini turut menyaksikan cabaran ekonomi yang memberi kesan mendalam terhadap industri acara dan hospitaliti. Di tengah-tengah keutamaan membuat keputusan besar demi mengekalkan operasi syarikat dan menjaga kebajikan ratusan kakitangan, impiannya untuk kembali menyanyi diakui hampir terkubur.

“Ada ketika saya sendiri tertanya-tanya sama ada impian untuk kembali menyanyi masih ada ruang dalam hidup saya. Tetapi saya percaya, jika sesuatu impian itu benar-benar ikhlas, Allah akan menemukan jalannya pada waktu yang paling tepat.

“Ramai mengenali saya sebagai usahawan, tetapi jauh di sudut hati, saya masih seorang penyanyi. Dunia muzik adalah tempat saya bermula dan saya percaya sudah tiba masanya untuk kembali berkongsi karya dengan para peminat,” luahnya memetik kenyataan media yang dikeluarkan.

Selepas Lebih Sedekad, Mila Jirin Kembali Ke Dunia Muzik Menerusi 'Tersimpan Dalam Hati'

Rakaman Di Jakarta, Sentuhan Komposer Indonesia

Bagi memastikan projek comeback ini berada pada standard kualiti terbaik, penyanyi berusia 39 tahun itu memilih untuk terbang ke Jakarta, Indonesia bagi menjalani keseluruhan proses rakaman bersama komposer terkenal, Ilham Baso, serta penulis lirik Aisah Rizky.

Mengangkat genre balada moden, ‘Tersimpan Dalam Hati’ menyentuh tema cinta, kerinduan, harapan dan impian yang dipendam, yang turut disifatkan Mila sebagai refleksi perjalanan hidupnya sebagai usahawan, isteri, ibu, dan penyanyi.

Bukan itu sahaja, video muzik rasmi bagi lagu ini turut menjalani penggambaran di luar kota Jakarta di bawah arahan pengarah Indonesia, Wahyu Taufani Prialangga, di mana Mila sendiri mendedikasikan sentuhannya menerusi pembangunan konsep dan jalan cerita.

Album Baharu Menanti Peminat Akhir 2026

Pengedaran digital bagi karya ini mendapat kerjasama daripada Nova Music, manakala produksinya diterbitkan sepenuhnya oleh suami Mila sendiri, Ailis Mustapha, menerusi syarikat Bizmedia Marketing. Lebih menggembirakan, Tersimpan Dalam Hati yang mula dilancarkan pada 24 Julai 2026 ini merupakan pembuka tirai kepada siri projek comeback beliau.

Mila Jirin kini sedang dalam proses menyiapkan sebuah album penuh baharu yang menghimpunkan karya komposer hebat dari Malaysia dan Indonesia, yang dijadualkan bakal menemui peminat pada penghujung tahun 2026. ‘Tersimpan Dalam Hati’ kini boleh didengar dan distrim menerusi semua platform penstriman digital utama.

Loading...