Ikuti Kami:

Adam & Nazmie Rampas Kedudukan Pertama, Tiga Peserta Terbawah Terselamat Menerusi Drama Penyingkiran

Adam & Nazmie Rampas Kedudukan Pertama, Tiga Peserta Terbawah Terselamat Menerusi Drama Penyingkiran

KUALA LUMPUR – Konsert minggu kelima program realiti nyanyian popular, Big Stage Rocketfuel yang berlangsung pada malam tadi menyaksikan kejutan penuh emosi apabila kesemua lapan peserta berjaya melangkah mara ke minggu Separuh Akhir selepas diumumkan tiada penyingkiran dilakukan.

Menerusi tema Multi-Track: Duet Bersama Artis BBNU Popular, persaingan minggu ini bertambah sengit dengan kehadiran juri tetap Hael Husaini, Aisha Retno, Akim Ahmad, serta penerbit dan komposer tersohor, Ajai, selaku juri jemputan.

Adam & Nazmie Rampas Kedudukan Pertama, Tiga Peserta Terbawah Terselamat Menerusi Drama Penyingkiran

Penerbit dan komposer tersohor, Ajai hadir sebagai juri jemputan.

 

Adam & Nazmie Rampas Takhta, Aisha Retno Bagi Markah Tertinggi

Gandingan duo adik-beradik, Adam & Nazmie, mencuri tumpuan ramai apabila berjaya merampas kedudukan pertama dengan kutipan markah tertinggi sebanyak 79.50 peratus.Membawakan lagu Da Bomb nyanyian asal Ruffedge bersama penyanyi jemputan Sarah Suhairi, persembahan bertenaga mereka berjaya memikat hati juri tetap Aisha Retno yang menganugerahkan markah tertinggi iaitu 88 markah.

“Persembahan anda jauh lebih baik berbanding minggu lalu. Energi yang diberikan bersama bantuan Sarah yang pandai mengawal pentas menjadikan susunan lagu ini sangat bagus,” puji Hael Husaini terhadap persembahan gandingan tersebut.

Adam & Nazmie Rampas Kedudukan Pertama, Tiga Peserta Terbawah Terselamat Menerusi Drama Penyingkiran

Duet bersama Sarah Suhairi bawa tuah, Adam & Nazmie takluk konsert minggu Multi-Track.

 

Ranisha Pilihan Utama Ajai, Hussain Kekal Di Tangga Ke-3

Sementara itu, peserta solo wanita, Ranisha, mengekor rapat di kedudukan kedua dengan markah 78.50 peratus menerusi persembahan beremosi membawakan lagu Kamu (Aina Abdul) berduet bersama Danial Chuer. Ranisha menjadi pilihan utama Ajai apabila juri jemputan berkenaan menghadiahkan markah tertinggi sebanyak 88 markah.

Kedudukan ketiga pula disandang oleh Hussain yang meraih 73.75 peratus menerusi lagu klasik Ghazal Untuk Rabiah (Dato’ Jamal Abdillah & Dato’ M. Nasir) bersama Putera Muhammad. Beliau disusuli oleh Danial Kifli di tangga keempat (71.00 peratus) yang berduet bersama Afieq Shazwan (Malam Semakin Dingin), serta Qilo di tangga kelima (67.50 peratus) menerusi lagu All I Ask berduet dengan Yazmin Aziz.

Adam & Nazmie Rampas Kedudukan Pertama, Tiga Peserta Terbawah Terselamat Menerusi Drama Penyingkiran

Tiada penyingkiran! Aliff, Danny & Yad-Z  tarik nafas lega, 8 peserta mara ke Separuh Akhir Big Stage Rocketfuel

 

Drama Penyingkiran: 3 Peserta Terbawah Bernafas Lega

Debaran konsert minggu kelima mencapai kemuncaknya apabila tiga peserta iaitu Aliff Kimiey, Danny, dan Yad-Z diumumkan berada di kedudukan tiga tangga terbawah.Aliff Kimiey yang berduet bersama Marsya Q menerusi lagu ‘Terima Ku Seadanya’, Danny yang membawakan lagu ‘Gerimis Mengundang’ bersama Haqiem Rusli, serta Yad-Z yang menyampaikan lagu ‘Die With A Smile’ bersama Vanessa Reynauld terpaksa akur berada di zon bahaya. Walau bagaimanapun, suasana cemas itu bertukar lega apabila sorakan penonton bergema selepas pihak juri dan penganjur mengumumkan tiada sebarang penyingkiran berlaku untuk minggu ini.

Keputusan tersebut secara tidak langsung memberi ‘talian hayat’ kepada Aliff Kimiey, Danny, dan Yad-Z untuk terus membuktikan keupayaan vokal masing-masing, sekali gus melengkapkan senarai 8 peserta yang bakal berentap di pentas Separuh Akhir Big Stage Rocketfuel Ahad ini.

Keputusan & Kedudukan Markah Konsert Minggu 5:
1. Adam & Nazmie – 79.50%

2. Ranisha – 78.50%

3. Hussain – 73.75%

4. Danial Kifli – 71.00%

5. Qilo – 67.50%

6. Aliff Kimiey – (Tiga Terbawah / Terselamat)

7. Danny – (Tiga Terbawah / Terselamat)

8. Yad-Z – (Tiga Terbawah / Terselamat)

Loading...