El Nino 2026 Dijangka Jejas Industri Perikanan, Pengeluaran Ikan Susut 1.4%
- oleh Editor MYBUZZ
- 20 May 2026 5:02 pm
Pengeluaran perikanan Malaysia dijangka turun lebih 5,000 tan akibat El Nino
PUTRAJAYA – Sektor perikanan negara, terutamanya subsektor akuakultur, kini berdepan ancaman besar berikutan fenomena El Nino yang diramal melanda bermula Mei hingga Oktober tahun ini. Kesan cuaca yang lebih panas dan kering daripada biasa itu dijangka menjejaskan pengeluaran hasil laut, dengan subsektor akuakultur diramal menerima impak paling parah apabila pengeluaran hasilnya diunjurkan merosot mendadak sehingga 38.6 peratus.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Dato’ Haji Adnan Hussain memaklumkan bahawa berdasarkan analisis data semasa, keseluruhan pengeluaran ikan negara di kawasan terjejas diunjurkan menurun sebanyak 5,355 tan metrik atau 1.4 peratus berbanding rekod pengeluaran pada tahun 2025.
Menurut beliau, kemerosotan ketara dalam subsektor akuakultur adalah disebabkan oleh faktor peningkatan suhu air, penurunan paras air, serta gangguan terhadap parameter kualiti air ternakan.
“Fenomena El Nino ini bukan sahaja menjejaskan pengeluaran hasil perikanan, malah memberi implikasi langsung kepada pendapatan para nelayan dan penternak akuakultur di seluruh negara.
“Sehubungan itu, pihak jabatan telah menggerakkan pelbagai langkah mitigasi dan adaptasi secara proaktif bagi meminimumkan impak terhadap industri serta memastikan keterjaminan makanan negara kekal stabil dan lestari,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memberi amaran bahawa fenomena El Nino yang kuat berpotensi terbentuk mulai pertengahan tahun 2026. – Gambar Hiasan
Selain penternak akuakultur, subsektor perikanan tangkapan turut berdepan cabaran tersendiri termasuklah perubahan taburan sumber marin, peningkatan kos operasi, serta risiko keselamatan yang lebih tinggi ketika berada di laut.
Bagi mendepani situasi kritikal ini, DOF sedang memperkukuh langkah segera termasuk pemantauan lapangan secara berterusan, pengurusan ternakan yang lebih efisien, penggunaan teknologi pengudaraan, sistem kitaran semula air (RAS), serta pengukuhan biosekuriti ternakan.
Dalam masa sama, penggunaan aplikasi MyFSI turut diperkasakan bagi membantu para nelayan memperoleh maklumat cuaca lautan serta mengenal pasti lokasi penumpuan ikan dengan lebih tepat. Langkah digital ini sekali gus dapat mengurangkan risiko kerugian operasi dan mengelakkan pembaziran bahan api.
Mengulas lanjut, beberapa kawasan di Malaysia kini telah pun dikenal pasti berada pada tahap waspada kerana mencatatkan keadaan yang lebih kering daripada biasa. Kawasan-kawasan tersebut melibatkan Pulau Langkawi, Chuping, Temerloh, dan Mersing.
Komuniti nelayan dan pengusaha akuakultur di kawasan terlibat disaran untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca, mematuhi nasihat teknikal jabatan, dan melaksanakan langkah kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko kerugian akibat fenomena cuaca ekstrem ini.
Sebagai strategi jangka panjang, DOF kini meletakkan sandaran kepada pelaksanaan Pelan Mitigasi Bencana Subsektor Akuakultur serta Pelan Tindakan Perubahan Iklim Sektor Perikanan 2024-2030. Pelan ini dirangka selaras dengan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara bagi memastikan rantaian bekalan protein rakyat kekal terjamin.
Gambar Hiasan : Malaysia Weather Alerts & Disaster Info
