Misi Cungkil Bakat Akar Umbi, Pahang Lancar Liga Bola Sepak Rakyat Terbesar
- oleh Editor MYBUZZ
- 21 May 2026 9:54 am
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail rasmi Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 2026 di Stadium Darul Makmur
KUANTAN: Pencarian bakat baharu bola sepak di peringkat akar umbi negeri Tok Gajah kini bermula dengan pelancaran rasmi Kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al Sultan Abdullah.
Majlis pelancaran gilang-gemilang itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail di Stadium Darul Makmur, dengan disaksikan oleh barisan kepimpinan negeri, penggiat sukan, wakil media, serta komuniti bola sepak tempatan.
Kejohanan berprestij ini dijangka bakal menghimpunkan penyertaan sebanyak 112 pasukan dari seluruh pelosok negeri, sekali gus menjadikannya antara liga bola sepak rakyat paling berskala besar yang pernah dianjurkan di Pahang.
Penganjuran kejohanan ini dilihat sebagai satu langkah penting dan platform utama bagi mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi dari peringkat daerah dan Parlimen. Pada masa yang sama, ia turut berperanan sebagai medium penyatuan komuniti.
Sebagai pembuka tirai bagi menyemarakkan lagi kemeriahan kejohanan, para peminat bola sepak bakal disajikan dengan perlawanan persahabatan istimewa antara pasukan Pilihan Pahang menentang Pilihan Selangor. Aksi pemanas badan ini dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur pada 6 Jun 2026.

112 pasukan bakal sertai Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 2026, jadi platform cungkil bakat bola sepak akar umbi
Saingan Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st 2026 akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan 12 buah daerah iaitu Lipis, Cameron Highlands, Raub, Bentong, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Muadzam, Kuantan, Rompin, dan Pekan.
Saingan peringkat kumpulan akan membuka gelanggang bermula 20 Jun hingga 26 Julai 2026. Pasukan yang berjaya melepasi halangan awal ini akan meneruskan cabaran ke Pusingan 16 terbaik pada awal bulan Ogos.
Kehangatan kejohanan akan kembali tertumpu di Stadium Darul Makmur bagi fasa kemuncak, yang mana aksi suku akhir dijadualkan pada 15 Ogos, diikuti aksi separuh akhir pada 22 Ogos. Perlawanan akhir bagi memahkotakan juara serta perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pula akan dilangsungkan pada 29 Ogos 2026.
Selain merancakkan arena pembangunan sukan, penganjuran liga ini juga diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan. Ini didorong melalui penglibatan aktif golongan vendor, barisan sukarelawan, penyokong, serta sokongan padu komuniti di setiap lokasi penganjuran perlawanan.
Penganjur berharap agar kejohanan ini mampu dijadikan acara tahunan yang berprestij, sekali gus melonjakkan imej Pahang sebagai negeri yang sangat aktif memperkasa pembangunan sukan dan belia.
Orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan lanjut atau jadual perlawanan boleh melayari laman web rasmi di www.ligapahang1st.com atau mengikuti akaun media sosial “Liga Pahang First” di platform Facebook, Instagram, TikTok, dan Threads.
