Zoey Rahman Akhirnya Muncul Dengan Lagu Raya Sendiri Selepas Dugaan Cari Pasangan Duet
- oleh Editor MYBUZZ
- 12 Mar 2026 1:01 pm
KUALA LUMPUR – Pelakon, pengacara, dan usahawan terkenal, Zoey Rahman, melakar kejutan istimewa sempena sambutan Aidilfitri tahun ini apabila beliau tampil berani mempertaruhkan bakat nyanyian serta penulisan lirik menerusi lagu terbaharu, “Kita Dah Raya”.
Meskipun terpaksa berdepan dengan cabaran getir mencari pasangan duet pada saat-saat akhir, projek istimewa ini akhirnya berjaya direalisasikan menerusi gandingan mantap bersama penyanyi Elliza Razak.
Perjalanan penghasilan naskhah ini bermula dengan sebuah insiden yang tidak disangka-sangka. Pada awalnya, pengurus Zoey Rahman, Zafar meminta beliau untuk menulis gambaran ringkas mengenai suasana hari raya bagi golongan Gen Z yang sedang dilamun cinta. Tanpa pengetahuannya, Zafar telah merombak nota berkenaan dan menghantarnya kepada komposer, Riaraiba.

Zoey mengakui otaknya seakan ‘jem’ seketika apabila dimaklumkan pada keesokan harinya bahawa beliau perlu menyanyikan lagu demo raya tersebut secara berduet. Namun, kelunakan melodi lagu itu berjaya memikat hatinya lantas beliau bersetuju untuk menyahut cabaran berkenaan.
Di sebalik keterujaan itu, perancangan asal mereka sedikit tersasar apabila calon rakan duet yang disasarkan, iaitu Anis Suraya, terpaksa meminta ruang masa untuk berbincang bersama suaminya bagi memastikan beberapa perkara terlebih dahulu.
Biarpun Anis menyukai demo lagu tersebut yang disifatkan sangat comel, kekangan masa yang semakin menghampiri bulan Ramadan memaksa pihak pengurusan untuk segera mencari pengganti lain. Pencarian pantas itu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka menemui kata sepakat untuk menyunting Elliza Razak bagi menjayakan projek kelam-kabut di saat akhir ini.
Proses rakaman vokal yang dijalankan di Platinum Studio, Damansara Perdana mengambil masa hampir enam jam untuk disiapkan. Sesi tersebut turut diperkemaskan dengan bimbingan serta kepakaran teknikal daripada jurutera bunyi, Mr. Choy (Illegal), dan jurulatih vokal Nine dari Phyne Ballerz.
Elliza mendedahkan bahawa beliau berasa sangat teruja untuk berkolaborasi memandangkan mereka merupakan rakan lama yang sudah lama terputus hubungan. Keserasian antara mereka kembali tercetus apabila kenangan lama sewaktu melepak bersama kembali terimbau semasa pertemuan pertama perbincangan mereka.
Walaupun Zoey pada awalnya agak gementar, Elliza banyak membantu dengan memberikan panduan vokal serta kata-kata semangat. Dengan sokongan itu, Zoey akhirnya berjaya menjiwai lagu tersebut dengan penuh penghayatan.
Lagu “Kita Dah Raya” ciptaan Riaraiba dan lirik oleh Zoey Rahman ini telah pun dilancarkan secara rasmi di semua platform digital bermula 6 Mac 2026. Diterbitkan oleh ENIM Music dan diedarkan menerusi Rusa Music. Pembikinan video muzik lagu ini pula dijadualkan berlangsung pada hari Khamis, 12 Mac, di studio Rusa Music dan bakal ditayangkan di saluran YouTube label berkenaan dalam masa terdekat.
Menaruh harapan agar karya ini mampu melakar fenomena yang tersendiri, Zoey sempat membuat perbandingan dengan lagu raya malar segar “Suasana Hari Raya” nyanyian Anuar dan Ellina. Beliau berharap gandingannya bersama Elliza yang juga merupakan adik kepada Ellina, menerusi “Kita Dah Raya” mampu menghiburkan pendengar, menambat hati semua peringkat umur, dan kekal mekar sebagai lagu raya pilihan rakyat Malaysia.
