Tiada Konflik Berat! ‘My Ramadan Love Story’ Tampil Berbeza Dengan Emosi Cinta Berbatas
- oleh Editor MYBUZZ
- 12 Mar 2026 12:16 pm
KUALA LUMPUR – Bersempena dengan bulan Ramadan ini, platform penstriman video P-Circle dengan kerjasama Nuansa Sdn Bhd membawakan sebuah naskhah drama vertikal terbaharu yang diberi judul My Ramadan Love Story. Berbeza dengan lambakan sajian drama tempatan, karya ini menjanjikan kelainan dengan mengangkat kisah cinta yang cukup sederhana namun sarat dengan nilai keikhlasan dan kemanusiaan.
Penerbit Nuansa, Jaya Julian, mendedahkan bahawa keunikan utama drama ini terletak pada pendekatan jalan ceritanya yang jauh lebih tenang. Naskhah ini lari daripada kebiasaan drama Ramadan tempatan yang sering disajikan dengan konflik yang besar mahupun emosi yang terlalu dramatik.

Penceritaan My Ramadan Love Story berkembang secara halus melalui detik-detik kecil yang membawa makna mendalam, seperti sekadar pandangan mata, kesunyian, dan juga perasaan yang dipendam. Lebih istimewa, karya ini berani mengetengahkan elemen percintaan yang jarang dipaparkan di skrin, iaitu cinta yang berkembang dengan penuh rasa hormat, disiplin, dan penjagaan batas yang tinggi.
Drama My Ramadan Love Story diarahkan oleh Osman Ali dan dibarisi barisan pelakon hebat seperti Muaz Zabir, Ezzanie, Wan Raja, Fara Nadiah serta Izani Jasni
Bercakap pada majlis tayangan perdana serta acara berbuka puasa bersama pihak media yang berlangsung di Courtyard by Marriott pada 9 Mac 2026, Julian menjelaskan bahawa idea naskhah ini diilhamkan daripada detik-detik ringkas yang sering berlaku dalam masyarakat kita sepanjang bulan mulia ini.
“Drama ini diilhamkan daripada detik-detik sederhana yang berlaku sepanjang Ramadan, seperti interaksi ringkas di masjid atau sekecil momen berkongsi kurma ketika berbuka puasa. Detik seperti ini mampu menyentuh hati dan merapatkan hubungan antara manusia,” jelas Julian
Ia dizahirkan menerusi visual interaksi biasa di masjid ataupun momen sekecil berkongsi buah kurma ketika berbuka puasa, yang sebenarnya mampu menyentuh hati serta merapatkan lagi ukhuwah sesama manusia.

Bagi menyemarakkan lagi semangat kebersamaan pada majlis pelancaran tersebut, acara tayangan perdana itu turut diserikan dengan kehadiran anak-anak yatim. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha murni pihak produksi dan penganjur, P-Circle, dalam berkongsi kegembiraan serta keberkatan Ramadan.
Pihak produksi menaruh harapan yang tinggi agar naskhah ini mampu menjentik jiwa para penonton memandangkan nilai penceritaannya sangat dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
“Kami berharap My Ramadan Love Story dapat menyentuh hati penonton kerana kisah yang dibawakan dekat dengan kehidupan ramai orang, khususnya mengenai kesabaran, menjaga batas dalam hubungan serta kepercayaan bahawa setiap perkara berlaku pada waktunya,”katanya.
Penghasilan drama vertikal ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan platform P-Circle dalam memperkasakan pengeluaran kandungan original tempatan yang jauh lebih segar dan sentiasa relevan buat tatapan penonton masa kini.
