Peminat Sabah Bersedia! Nadin Amizah dan Feby Putri Himpunkan Emosi dalam Melodi Malam 2.0
- oleh Editor MYBUZZ
- 11 Mar 2026 4:09 pm
KOTA KINABALU – Berita baik buat pencinta muzik Indonesia di Negeri Di Bawah Bayu! Dua penyanyi wanita sensasi yang terkenal dengan karya-karya puitis dan penuh emosi, Nadin Amizah dan Feby Putri, bakal menjanjikan sebuah malam yang sungguh istimewa. Mereka akan disatukan di atas pentas berskala besar menerusi konsert Melodi Malam 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mei 2026, jam 8.00 malam bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Acara yang dianjurkan oleh Sembang Kari Entertainment ini dijangka menjadi salah satu persembahan yang paling dinantikan pada tahun ini. Lebih menarik lagi, ia melakar sejarah tersendiri kerana ini merupakan julung kalinya Nadin dan Feby membuat persembahan di atas pentas yang sama di Kota Kinabalu, sekali gus menjanjikan satu pengalaman eksklusif buat para peminat mereka di Sabah.

Menerusi visi yang dibawa oleh Pengarah Urusan Sembang Kari Entertainment, Amar Syah, penganjuran konsert ini adalah satu inisiatif untuk membawa pengalaman muzik yang bukan sahaja artistik, malah lebih dekat dengan jiwa peminat di kepulauan Borneo.
Beliau sangat yakin bahawa gabungan kedua-dua figura muzik dengan identiti tersendiri ini akan mencipta sebuah malam intim, menyentuh hati, dan peribadi yang sukar untuk dilupakan oleh penonton yang hadir.
Menyentuh soal keterujaan mereka, Nadin Amizah sendiri tidak sabar untuk merasai aura peminat di Kota Kinabalu secara langsung dalam suasana yang istimewa. Baginya, setiap kota mempunyai pesona dan rasa yang berbeza, lantas beliau percaya persembahan di Sabah nanti akan melakar satu pengalaman yang cukup indah, lebih-lebih lagi apabila berpeluang berkongsi pentas bersama Feby Putri.
Sementara itu, Feby turut menyifatkan konsert ini sebagai sebuah momen yang sudah lama diidamkan olehnya. Menyedari peminat di Kota Kinabalu sudah lama menantikan kehadiran mereka, beliau berharap agar Melodi Malam 2.0 akan meninggalkan kesan yang mendalam, penuh rasa, dan menjadi sebuah memori yang hangat di hati semua penonton.
Jelas sekali, acara ini dirangka bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebagai sebuah naskhah yang meraikan pertautan utuh antara karya seni, penyanyi, dan juga penonton.Buat peminat yang sudah tidak sabar untuk ‘galau’ dan bernyanyi bersama, anda boleh mula merancang pembelian tiket dalam masa terdekat.
Tiket untuk menyaksikan Melodi Malam 2.0 ini ditawarkan pada harga RM229 bagi kategori Kembali Sorai (berdiri bebas atau Free Standing). Pembelian boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web rasmi myticketempire.com yang akan mula dibuka pada 13 Mac 2026, tepat jam 12.00 tengah hari.


