Komuniti

YONG PENG CLEAN UP MONTH BERSEMPENA WORLD CLEAN UP DAY 2026

Oleh

YONG PENG CLEAN UP MONTH BERSEMPENA WORLD CLEAN UP DAY 2026

YONG PENG, JOHOR – Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan agenda kebersihan dan kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran Program Yong Peng Clean Up Month bersempena World Clean Up Day 2026 yang berjaya merekodkan penyertaan melebihi 1000 peserta serta kutipan keseluruhan sebanyak 118 tan sisa sepanjang pelaksanaan program bersempena Kempen Yong Peng Bersih, Sihat dan Selamat.

Program yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan, Ahli-Ahli Majlis serta komuniti setempat itu merupakan antara inisiatif strategik MDYP dalam meningkatkan tahap kebersihan persekitaran, memperkukuh semangat kesukarelawanan dan memupuk budaya tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, dengan pelaksanaan aktiviti pembersihan tertumpu di kawasan Parit Ah Hock dan sekitar Pekan Yong Peng.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa usaha memelihara kebersihan persekitaran bukan semata-mata tanggungjawab pihak berkuasa tempatan atau agensi kerajaan, sebaliknya menuntut komitmen, kerjasama dan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat.

Beliau turut menyeru agar amalan menjaga kebersihan dan aktiviti gotong-royong terus dibudayakan sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat, bukan sekadar dilaksanakan secara bermusim atau ketika penganjuran program tertentu.

Sebagai langkah memperkukuh kesinambungan agenda kebersihan, Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng, Ts. Dr. Mohd Azlan bin Ab Jalil, telah meminta supaya pelaksanaan Program Yong Peng Clean Up dan Program Johor Bersih dipergiat secara berjadual pada setiap hari Isnin dan Sabtu sepanjang bulan September dan Oktober 2026.

Pelaksanaan inisiatif tersebut meliputi kawasan pentadbiran MDYP, khususnya Pekan Yong Peng, Ayer Hitam, Parit Sulong, Sri Medan dan Parit Yaani, dengan penglibatan aktif Ahli-Ahli Majlis MDYP sebagai penggerak utama bersama jabatan berkaitan, agensi kerajaan, pertubuhan serta komuniti setempat.

Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada aktiviti pembersihan kawasan awam, sistem perparitan dan lokasi tumpuan masyarakat, malah turut menekankan aspek pendidikan, kesedaran sivik serta pembentukan sikap masyarakat yang lebih prihatin terhadap penjagaan alam sekitar.

Kejayaan mengumpulkan sebanyak 118 tan sisa dengan penyertaan melebihi 1000 peserta mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat dalam merealisasikan persekitaran yang lebih bersih, sihat, selamat dan sejahtera.

Pencapaian tersebut turut membuktikan bahawa penglibatan komuniti secara menyeluruh mampu memberikan impak positif yang signifikan terhadap usaha meningkatkan kualiti persekitaran dan kesejahteraan penduduk setempat.

MDYP akan terus komited memperluas pelaksanaan program kebersihan secara berterusan, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor dalam memperkukuh budaya kebersihan, meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk kesejahteraan rakyat.

Majlis Daerah Yong Peng turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi, pertubuhan, Ahli-Ahli Majlis, sukarelawan serta seluruh komuniti yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program bersempena Kempen Yong Peng Bersih, Sihat dan Selamat. “BANDAR KITA, TANGGUNGJAWAB KITA.”

,