Muzik

Raja Band KL Kembali, Rasa Rakyat Gegar Panggung Anniversari!

Oleh

Raja Band KL Kembali, Rasa Rakyat Gegar Panggung Anniversari!

KUALA LUMPUR – Selepas lebih sedekad menyepi, pertandingan muzik Raja Band Kuala Lumpur kembali menghangatkan pentas ibu kota apabila 10 kumpulan terbaik bakal berentap merebut gelaran juara di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Sabtu ini.

Lebih menarik, kemunculan semula pertandingan berkenaan turut disusuli penganjuran Rasa Rakyat pada keesokan harinya, sekali gus menjanjikan dua hari penuh persembahan muzik, hiburan dan pelbagai pilihan makanan untuk pengunjung.

Kedua-dua acara pada 21 dan 22 November ini merupakan sebahagian daripada program Semarak Seni @ Panggung Anniversari, anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan.

Penganjuran itu turut mendapat sokongan dana Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di bawah inisiatif Warisan Kuala Lumpur dalam usaha memperkasa aktiviti seni dan budaya di ibu negara.

 

Raja Band KL Kembali, Rasa Rakyat Gegar Panggung Anniversari!

10 Kumpulan Rebut Gelaran Raja Band KL

Grand Final Raja Band KL 2026 yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam pada 21 November ini bakal menemukan 10 kumpulan yang berjaya melepasi saringan daripada lebih 100 penyertaan.

Pertandingan yang dibuka tanpa sebarang yuran penyertaan itu menyaksikan persaingan sengit sejak peringkat saringan dalam talian sebelum 10 kumpulan terbaik dipilih untuk beraksi di pentas akhir.

Antara kumpulan yang bakal mempertaruhkan kemampuan muzik masing-masing ialah Mijo’s Band, The Massive, Chlypdy, Angkatan Kita, The Rudean, The Crush Band, Crackers Paradox, Renewar, Orion dan Soul Difficulties.

Bukan sekadar merebut pengiktirafan, finalis turut bersaing untuk membawa pulang sebahagian daripada hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM28,000, termasuk RM10,000 yang menanti juara.

 

Raja Band KL Kembali, Rasa Rakyat Gegar Panggung Anniversari!

Dua anugerah khas turut dipertandingkan sebagai pengiktirafan tambahan kepada kumpulan yang menyerlah sepanjang pertandingan.

Menambahkan lagi keterujaan, penilaian final akan dibuat oleh barisan juri berpengalaman terdiri daripada komposer terkenal Dr. Azmeer, Jennifer Thompson dan Zai Hamzah daripada Floor 88/K.O.I.

Kemeriahan malam pertandingan turut diserikan persembahan khas Kugiran D’Tepi Pantai, manakala Nadia Hasnan diberi tanggungjawab mengendalikan acara sebagai pengacara.

Kembalinya Raja Band KL selepas sekian lama sekali gus membuka ruang kepada kumpulan muzik tempatan untuk memperlihatkan kemampuan masing-masing di hadapan penonton secara langsung.

Ito Mohd, Khalifah Meriahkan Rasa Rakyat

Tidak terhenti dengan pertandingan band, Panggung Anniversari bakal terus meriah pada 22 November menerusi acara Rasa Rakyat yang menggabungkan hiburan pentas dan suasana santai untuk seisi keluarga.

Program bermula pada jam 5 hingga 7 petang dengan persembahan Dikir Barat oleh Issey & Friends, manakala pelawak Mie Raja Lawak tampil sebagai pengacara.

Kemeriahan dijangka berterusan pada sebelah malam apabila pentas utama kembali dihangatkan dengan persembahan Ito Mohd Blues Gang & Son, K.O.I. dan Khalifah bermula jam 8.30 malam.

Raja Band KL Kembali, Rasa Rakyat Gegar Panggung Anniversari!

Lebih istimewa, juara Raja Band KL 2026 yang bakal dinobatkan sehari sebelumnya turut diberi peluang membuat persembahan dalam acara berkenaan.

Segmen hiburan malam itu akan dikendalikan Sonic Hussein sebagai pengacara, sekali gus melengkapkan gabungan artis berpengalaman dan bakat baharu dalam satu acara.

Selain menikmati persembahan muzik, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai pilihan makanan dan minuman sambil meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan.

Hidupkan Semula Panggung Anniversari

Penganjuran dua acara berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan DBKL untuk menghidupkan kembali Panggung Anniversari sebagai lokasi aktiviti seni, budaya dan hiburan masyarakat.

Selain menyediakan platform kepada pemuzik tempatan, inisiatif itu membuka ruang kepada peniaga kecil untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang mampu menarik kehadiran warga kota.

Gabungan pertandingan muzik, persembahan artis dan acara makanan juga dilihat mampu menjadikan Panggung Anniversari destinasi riadah yang lebih dekat dengan masyarakat pelbagai peringkat usia.

Bagi penggemar muzik tempatan, hujung minggu ini pastinya menawarkan pengalaman menarik untuk menyaksikan persaingan bakat baharu serta menikmati persembahan artis yang sudah lama mencipta nama.

Paling menarik, orang ramai boleh menikmati kedua-dua acara ini secara percuma tanpa sebarang bayaran masuk.

, , , ,