YKAT Santuni 15 Artis Veteran Sempena Tahun Baharu Cina
- oleh Editor MYBUZZ
- 13 Feb 2026 6:32 am
Kuala Lumpur – Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) meneruskan tradisi kebajikan apabila menyampaikan sumbangan kepada 15 artis veteran bersempena sambutan Tahun Baharu Cina dalam satu majlis yang berlangsung penuh mesra di ibu negara, hari ini.
Majlis tersebut dipengerusikan oleh Datuk Irwan Shah Abdullah atau dikenali sebagai Datuk DJ Dave selaku Pengerusi YKAT, bersama barisan pemegang amanah yayasan. Inisiatif ini bertujuan menghargai jasa artis berusia 60 tahun ke atas yang telah lama mencurahkan bakti dalam industri seni tanah air.
Menurut DJ Dave, sumbangan yang disalurkan merupakan tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap golongan penggiat seni yang pernah mewarnai dunia hiburan negara.
“Walaupun tidak seberapa, ia melambangkan kasih sayang dan penghargaan kami terhadap jasa mereka yang telah menghiburkan rakyat Malaysia selama berdekad lamanya,” katanya.
Majlis itu turut mencerminkan semangat perpaduan masyarakat majmuk negara apabila sambutan Tahun Baharu Cina diraikan sebagai wadah mengeratkan silaturahim tanpa mengira latar belakang bangsa dan budaya.
15 Artis Penerima Sumbangan YKAT terdiri daripada Hee Yow Fong (69) – Penyanyi, Charlie Barnabas (68) – Pemuzik (Keyboard), Ngai Thiang Tin (65) – Pelakon, Tong Yet Mee (64) – Penyanyi, Santhanam a/l Thevarajan Rathnam (64) – Pemuzik, Kanagaratnam a/l Sockalingam (64) – Penyanyi, Selvarajah a/l Sellappah (63) – Penyanyi, Zalela binti Abdul Kadir (63) – Pelakon, Fadila binti Husin (63) – Penyanyi, Lim Soek Yuen (62) – Pelakon, Norizan binti Yeob (62) – Pelakon / Penyanyi, Yoong Yap Keng (62) – Pelakon, Chen Puie Kong (61) – Pelakon, Wang Horng (61) – Penyanyi dan Chew Geay Cheng (61) – Penyanyi.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2012, YKAT telah membantu lebih 2,000 warga seni melalui pelbagai inisiatif kebajikan merangkumi bantuan kewangan, perubatan dan sokongan sosial. Yayasan itu turut diterajui sembilan pemegang amanah daripada pelbagai latar belakang kaum, memperkukuh peranan YKAT sebagai jambatan antara warga seni dan masyarakat.
Dengan penganjuran majlis seperti ini, YKAT berharap usaha menjaga kebajikan artis veteran akan terus mendapat sokongan pelbagai pihak demi kelangsungan dan kesejahteraan industri seni negara.
