Ikuti Kami:

Misi Tebus Kekecewaan: Wali Band Kembali Gegar Kota Kinabalu April Ini Selepas Dua Tahun Tertangguh

Misi Tebus Kekecewaan: Wali Band Kembali Gegar Kota Kinabalu April Ini Selepas Dua Tahun Tertangguh

Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) akan kembali beraksi di KONSERT WALI LIVE IN KOTA KINABALU anjuran 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures yang bakal berlangsung di SICC Kota Kinabalu, Sabah pada 12 April 2026 ini.

KUALA LUMPUR – Selepas insiden konsert yang tidak kesampaian pada tahun 2024, kumpulan pop terkenal dari Indonesia, Wali Band, kini kembali dengan azam baharu untuk mengubat hati peminat setia mereka di Negeri Di Bawah Bayu. Kumpulan yang dianggotai oleh Faank, Apoy, Tomi, dan Ovie ini dijadualkan bakal beraksi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 12 April 2026 menerusi “Konsert Wali Live in Kota Kinabalu”.

Vokalis utamanya, Faank, mengakui bahawa mereka sedar akan kekecewaan peminat apabila perancangan konsert dua tahun lalu gagal direalisasikan. Beliau menegaskan bahawa kemunculan kali ini dianggap sebagai peluang terbaik untuk melunaskan janji dan menebus kembali momen yang tertangguh itu.

“Kami turut merasakan kekecewaan itu. Namun, apa yang berlaku ketika itu berada di luar kawalan kami… Tunggu sahaja kehadiran kami nanti. Kami tidak sabar untuk beraksi di hadapan kalian semua,” jelas Faank yang menjanjikan persembahan bertenaga buat peminat.

Konsert anjuran bersama 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures ini menawarkan tiket bermula hari ini, 12 Februari 2026. Peminat boleh mendapatkan tiket pada harga RM98  (Zon Nenekku Pahlawanku), RM288 (Baik Baik Sayang), RM488 (Yank – Gold), dan RM688 untuk tiket VIP (Cari Jodoh) menerusi laman web rasmi www.ilassotickets.com.

Selain Kota Kinabalu, Wali Band juga bakal meneruskan jelajah mereka ke Semenanjung dengan “Konsert Wali Kembali” yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026.

Loading...