Vokal Padu Pikat Hati, Ungu Sendiri Pilih Marsha Milan Gegar Konsert 30 Tahun!
- oleh Editor MYBUZZ
- 8 Jun 2026 5:22 pm
KUALA LUMPUR – Vokal memukau dan penghayatan emosi tahap tinggi melayakkan penyanyi sensasi tanah air, Marsha Milan dipilih secara eksklusif oleh kumpulan legenda Indonesia, Ungu, sebagai artis jemputan khas untuk konsert berskala besar mereka di ibu negara September ini.
Kehadiran pelantun lagu Cinta itu dijangka memberi nilai tambah dan aura istimewa pada penganjuran konsert “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” yang bakal menggegarkan Idea Live Arena pada 5 September 2026.
Lebih manis, pemilihan bintang tersebut bukanlah cadangan daripada pihak penganjur semata-mata, sebaliknya diusulkan sendiri oleh anggota band Ungu. Menurut kumpulan yang terkenal dengan irama pop rock itu, mereka sudah lama mengikuti perjalanan seni Marsha dan yakin penyanyi berkenaan mempunyai aura tersendiri untuk berkongsi pentas sempena sambutan ulang tahun ke-30 mereka.
“Marsha mempunyai suara yang emosional dengan karakter yang kuat ketika menyampaikan lagu. Kami percaya beliau mampu membawa energi untuk malam ini.
“Kami benar-benar teruja untuk berkongsi pentas bersama Marsha di Kuala Lumpur dan tidak sabar untuk mencipta momen yang indah bersama peminat Malaysia,” kata Ungu dalam satu kenyataan.

Pemilihan Marsha Milan bukanlah cadangan daripada pihak penganjur semata-mata, sebaliknya diusulkan sendiri oleh anggota band Ungu.
Sementara itu, Pengarah Konsert mewakili COMs. Creative Studio, Zairul Addry Helmy menyifatkan gabungan vokal Ungu dan Marsha pastinya mencetuskan magis dan keserasian yang luar biasa di atas pentas.
“Apabila Ungu sendiri memilih Marsha sebagai artis jemputan, kami tahu kombinasi ini akan menjadi sesuatu yang sangat istimewa. Kami percaya penonton akan dapat menyaksikan sebuah kolaborasi yang bukan sahaja kuat dari segi vokal, tetapi juga penuh ‘chemistry’ dan emosi,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, bahang penganjuran konsert anjuran bersama COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment itu semakin dirasai apabila tiket dilaporkan laku keras dan kini sudah terjual sebanyak 50 peratus. Menyedari permintaan yang semakin mendadak, penganjur juga bersedia untuk menambah beberapa kategori tempat duduk baharu bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat.
Konsert peribadi dan penuh nostalgia itu bakal dipecahkan kepada tiga segmen penceritaan utama iaitu The Birth, The Peak, dan The Legacy. Peminat setia pastinya tidak sabar untuk diulit dengan karya-karya malar segar kumpulan itu seperti Demi Waktu, Tercipta Untukku, Seperti Yang Dulu dan Cinta Dalam Hati.
Selain penampilan berprofil tinggi Marsha, pihak penganjur turut memberi bayangan bahawa terdapat beberapa kejutan eksklusif lagi yang bakal diumumkan dalam masa terdekat menjelang konsert September nanti.
