Pernah Raih 90 Juta Strim, ‘Durian Queen’ Salomé Das Pertaruh Single Debut Solo ‘Back 2 Malaysia’
- oleh Editor MYBUZZ
- 8 Jun 2026 4:29 pm
KUALA LUMPUR – Menyaksikan memori indah membesar di negara beriklim tropika, penyanyi pop berdarah kacukan Perancis-India, Salomé Das, kini tampil dengan single solo sulungnya yang berjudul Back 2 Malaysia.
Walaupun dilahirkan di Munich, Jerman, Salomé Das sebenarnya telah membesar di Kuala Lumpur sejak usianya mencecah tiga bulan. Membawa gelaran sebagai “third culture child”, beliau hidup dengan pengaruh tiga budaya berbeza secara serentak iaitu Perancis, India, dan Malaysia, yang akhirnya membentuk identiti peribadinya yang unik pada hari ini.
Menerusi Back 2 Malaysia, Salomé menterjemahkan rasa nostalgia dan penghargaannya terhadap negara yang telah membentuk dirinya sedari kecil. Naskhah pop musim panas ini cukup istimewa kerana ia menggabungkan alunan instrumen tradisional Malaysia dan Asia bersama elemen produksi pop global yang moden lagi segar.
Lagu ini diibaratkan sebagai satu perjalanan yang membawa pendengar merasai kehangatan memori zaman kanak-kanaknya yang dipenuhi dengan keenakan makanan, keindahan laut, dan semangat kebebasan.
“Tak kira ke mana saya pergi di dunia ini, saya sentiasa membawa Malaysia bersama saya,” kongsi Salomé Das ketika menceritakan karya peribadinya itu.
Tambahnya lagi, elemen seperti makanan, budaya, kehangatan, dan alam semula jadi sentiasa dirinduinya, malah Malaysia sentiasa memberikan rasa gembira, nostalgia, dan disifatkan sebagai ‘rumah’ yang akan sentiasa kekal dalam dirinya.

Dari bidang peragaan ke bintang pop global, Salomé Das kongsi kisah di sebalik ‘Back 2 Malaysia’
Perjalanan seni cucu kepada seorang penyanyi terkenal India ini bukan biasa-biasa. Bekas peragawati agensi Elite yang pernah menetap di London selama lima tahun ini sebelum ini mencipta fenomena menerusi lagu Life is Simple. Lagu tersebut berjaya mencatat lebih 90 juta strim di Spotify, sekaligus melayakkannya beraksi di hadapan 8,000 penonton di sebuah stadium di Mumbai.
Malah, Salomé yang juga cukup popular dengan gelaran “Durian Queen” di aplikasi TikTok kini memiliki lebih 3.1 juta pendengar bulanan di platform Spotify.
Selepas menghabiskan masa selama dua tahun bagi mencari identiti muzik sebenar yang mencerminkan dirinya, Back 2 Malaysia lahir sebagai jawapan kepada pencariannya itu. Lagu ini telah dirakamkan di Los Angeles pada tahun 2026, dan Salomé menyifatkan karya itu terasa seakan-akan “pulang ke rumah” sebaik sahaja not pertamanya dimainkan.
Dengan bangga menggayakan elemen budaya seperti batik, sarung, bindi, serta perhiasan India di pentas, gadis tropika ini membawa misi besar untuk memperjuangkan representasi Asia. Beliau berazam untuk menjadi bintang pop India pertama di persada dunia, di samping membuka lebih banyak laluan buat artis Asia menembusi pasaran muzik antarabangsa.
Diedarkan di bawah payung Def Jam Malaysia, single Back 2 Malaysia telah dilancarkan secara rasmi pada 29 Mei 2026 dan kini boleh didengari di kesemua platform penstriman digital.
