Agrobank Perkukuh Peranan Media, 34 Karya Terbaik Terima Pengiktirafan
- oleh Editor MYBUZZ
- 9 Jun 2026 9:32 am
KUALA LUMPUR – Seramai 34 pengamal media diraikan malam tadi dalam Anugerah Media Agrobank bagi mengiktiraf sumbangan serta laporan berkualiti mereka dalam memperkukuh kefahaman awam mengenai sektor pertanian, keterjaminan makanan, dan inisiatif pembangunan institusi berkenaan.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, majlis berprestij ini mengekalkan statusnya sebagai satu-satunya anugerah media yang dianjurkan oleh institusi kewangan di Malaysia. Sebagai sebuah bank yang memegang mandat khusus, Agrobank memanfaatkan platform ini untuk menghargai peranan wartawan dalam membina kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sektor agromakanan negara.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, media memegang peranan yang sangat besar dalam membentuk naratif dan menjelaskan isu-isu kompleks berkaitan pertanian serta pembangunan komuniti agromakanan.
“Melalui Anugerah Media Agrobank, kami ingin memberi pengiktirafan kepada pengamal media yang bukan sahaja melaporkan berita, tetapi turut membantu menjelaskan isu, mengetengahkan suara komuniti dan mengangkat kepentingan sektor pertanian kepada masyarakat,” jelas beliau.
Beliau turut mengulas mengenai pengenalan kategori baharu khusus buat pelajar pada tahun ini, yang disifatkan mampu membuka ruang luas kepada bakat muda memberikan sudut pandang segar. Langkah ini diyakini dapat memupuk minat generasi baharu dalam bidang kewartawanan agromakanan, memandangkan sektor pertanian kini semakin dilihat sebagai bidang yang berpotensi besar.

Majlis yang berlangsung meriah di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin.
Pada edisi kali ini, Agrobank menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM60,000 sebagai pengiktirafan kepada karya-karya terbaik yang berjaya mengetengahkan isu serta perkembangan dalam sektor agromakanan. Pertandingan tahun ini menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pengamal media, dengan penyertaan yang meliputi pelbagai platform dan pendekatan penyampaian.
Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Anugerah Media Cetak & Portal Berita bagi kategori berita dan rencana, serta Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian yang merangkumi kategori berita dan dokumentari. Turut dipertandingkan ialah Anugerah Media Radio dan Anugerah Kewartawanan Teknologi & Digital Agrobank yang memberi penekanan kepada inovasi dalam penyampaian kandungan.
Menariknya, edisi kali ini turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Video Pendek Pelajar, yang membuka ruang kepada golongan muda untuk mengekspresikan idea kreatif mereka. Pengenalan kategori ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam menggalakkan penglibatan bakat baharu serta memperkaya perspektif dalam penyampaian isu berkaitan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
Inisiatif tahunan ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Agrobank dalam memperkukuh komunikasi awam. Melalui laporan media yang berkesan, mesej-mesej penting seperti akses pembiayaan, pembangunan usahawan tani, keterangkuman kewangan, serta inovasi pertanian dapat disampaikan secara lebih meluas dan inklusif kepada seluruh masyarakat Malaysia.
