Ikuti Kami:

Johor Jadi Tuan Rumah Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026, Sasar 125,000 Pengunjung Lonjak Tahun Melawat Johor

Johor Jadi Tuan Rumah Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026, Sasar 125,000 Pengunjung Lonjak Tahun Melawat Johor

Pegawai Daerah Johor Bahru, Yang Berusaha Tuan Mohd Masni bin Wakiman menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pra-Pelancaran FHMAPK 2026 di di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru

 

JOHOR BAHRU – Negeri Johor secara rasminya dipilih sebagai tuan rumah bagi Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026. Festival berprestij edisi ke-29 ini menyasarkan kehadiran lebih 125,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Majlis Pra-Pelancaran FHMAPK 2026 telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru, Yang Berusaha Tuan Mohd Masni bin Wakiman di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, semalam. Sambutan kali ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia bersama Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor.

Festival tahun ini bakal menyemarakkan lagi landskap pemuziuman negara dengan mengangkat tema “Muzium Menyatukan Dunia yang Terpisah”. Tema ini dipilih bagi memberikan penekanan terhadap peranan signifikan institusi muzium dalam menyatukan masyarakat yang dipisahkan oleh sempadan geografi, perbezaan budaya, bahasa, dan latar belakang sosial.

Muzium bukan sekadar pusat pemeliharaan warisan sejarah semata-mata, malah bertindak sebagai ruang dialog yang memupuk persefahaman serta perpaduan rentas pelbagai komuniti.

Johor Jadi Tuan Rumah Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026, Sasar 125,000 Pengunjung Lonjak Tahun Melawat Johor

Festival Hari Muzium Antarabangsa 2026 angkat tema “Muzium Menyatukan Dunia yang Terpisah” – Pegawai Daerah Johor Bahru, Yang Berusaha Tuan Mohd Masni bin Wakiman (tengah), menyempurnakan perasmian Majlis Pra-Pelancaran FHMAPK 2026 bersama Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBhg. Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim; Pengarah Yayasan Warisan Johor, Yang Berusaha Encik Nor Syazlan bin Abd Razak; serta barisan Pengarah Muzium Negeri dan Institusi.

 

Pemilihan Johor sebagai tuan rumah menerusi Yayasan Warisan Johor dilihat amat bertepatan dalam memperkukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi utama pelancongan warisan dan budaya. Usaha ini juga berjalan seiring bagi menyokong kempen Tahun Melawat Johor 2026 dalam meningkatkan lagi daya tarikan pelancong domestik dan antarabangsa.

Bagi memastikan kemeriahan festival, FHMAPK 2026 bakal menampilkan penyertaan berskala besar yang merangkumi pelbagai institusi dan penglibatan antarabangsa. Sebanyak 36 institusi dan agensi muzium daripada peringkat negeri serta Persekutuan akan mengambil bahagian, sekali gus memperkukuh jaringan pemuziuman negara.

Selain itu, festival ini turut diserikan dengan 12 penyertaan antarabangsa yang dijangka membawa perspektif global serta memperkayakan pengalaman pengunjung. Bagi menambah tarikan, tujuh festival sampingan telah diatur khusus untuk memberikan pengalaman yang lebih interaktif dan menarik kepada para pengunjung.

Dalam masa yang sama, lebih 1,000 kontinjen dari seluruh Malaysia dijangka mengambil bahagian, menjadikan FHMAPK 2026 sebagai sebuah platform berskala besar yang menghimpunkan komuniti muzium, penggiat seni warisan serta masyarakat umum di bawah satu acara berprestij.

Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Mohd Masni menyatakan bahawa permuafakatan strategik antara kerajaan Persekutuan dan Negeri ini akan bertindak sebagai ‘magnet’ utama penarik pelancong. Langkah ini sekali gus menyokong sasaran besar yang diletakkan oleh YAB Menteri Besar Johor untuk menyambut kehadiran 12 juta pelancong ke negeri tersebut.

“Sasaran besar ini bersandarkan kepada dua strategi utama iaitu menaik taraf infrastruktur pelancongan ke tahap terbaik, dan menggerakkan promosi produk pelancongan secara agresif,” jelas beliau.

Festival ini diharapkan dapat menjadi platform utama dalam memperkukuhkan peranan muzium sebagai institusi pendidikan, pemeliharaan warisan, dan pembangunan sosial, di samping memantapkan imej Johor sebagai destinasi pelancongan budaya yang unggul.

Majlis pra-pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBhg. Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim; Pengarah Yayasan Warisan Johor, Yang Berusaha Encik Nor Syazlan bin Abd Razak; serta barisan Pengarah Muzium Negeri dan Institusi.

 

Gambar: FB/Tourism Johor

Loading...