Viu ‘Gempur’ Separuh Kedua 2026, Ledak 5 Siri Original Ganding Bintang Malaysia-Indonesia!
- oleh Editor MYBUZZ
- 16 Jul 2026 6:25 pm
KUALA LUMPUR: Platform penstriman video terkemuka milik PCCW, Viu, bersedia untuk meneruskan dominasi dan menghangatkan lagi landskap hiburan tanah air apabila mengumumkan barisan kandungan tempatan eksklusif bagi separuh kedua tahun 2026.
Menerusi sebuah acara pertengahan tahun yang menghimpunkan rakan media, rakan strategik serta barisan bintang ternama semalam, Viu membuktikan komitmen berterusan mereka dalam menyajikan karya tempatan premium berkualiti tinggi buat para penonton.
Langkah agresif platform over-the-top (OTT) ini bakal menyaksikan sajian pelbagai variasi genre menarik—merangkumi kisah romantik, komedi santai, drama kekeluargaan, sehinggalah kepada thriller psikologi dan seram mendebarkan—yang akan memacu momentum platform tersebut sepanjang beberapa bulan mendatang.

Mengetuai pertaruhan utama Viu bagi pertengahan tahun ini ialah drama romantik 12 episod yang amat dinanti-nantikan berjudul Cinta Dalam Sekam. Naskhah berimpak tinggi ini mula ditayangkan secara eksklusif di platform berkenaan bermula 16 Julai 2026.
Mendapat sentuhan pengarah berkaliber Feroz Kader yang sebelum ini terkenal menerusi Seadanya Kita, drama ini mengangkat naratif unik mengenai Uwan, seorang warga emas yang menghidap demensia. Walaupun ingatan terhadap kehidupan seharian semakin pudar, hatinya entah bagaimana tetap terpaut pada memori tahun 1988 apabila beliau terus-menerus memanggil nama seorang gadis kampung bernama Laila.
Ketika ahli keluarga bergelut dengan waktu bagi merungkai misteri ingatan Uwan, mereka akhirnya terbawa ke arah pembongkaran sebuah kisah cinta tiga segi yang tragis, yang sarat dengan rasa cemburu serta rahsia silam yang mengubah takdir hidup mereka buat selamanya. Drama sarat emosi ini membariskan pelakon popular tanah air termasuk Siti Khadijah Halim, Amir Ahnaf, Haidar Hasanudin, Riz Amin, dan Husna Mustaffa.

Selain naskhah baharu, Viu turut mencuri tumpuan menerusi siri komedi romantik santai yang kini sedang rancak distrim, Ate Kome I Love You!. Menampilkan gandingan Aniq Suhair, Bella Dowanna, Amy Mastura, Ieda Moin dan Nurel Baharin, drama ini menonjolkan dinamik hubungan dua individu bertentangan personaliti, sekali gus membuktikan bahawa cinta boleh hadir dalam situasi yang paling tidak disangka.
Lebih teruja, peminat siri ini berpeluang beramah mesra dan bertemu secara langsung dengan barisan pelakon menerusi acara Meet & Greet bersama POKKA yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 17 Julai 2026, di Blue Concourse, Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

Dalam pada itu, penonton yang menyukai drama berat bertemakan kekeluargaan dan poligami pula kini boleh menyaksikan minggu-minggu terakhir tayangan Bidadari Tanpa Syurga. Menampilkan lakonan mantap Dato’ Aaron Aziz, Nadiya Nisaa dan Syad Mutalib, siri penuh air mata ini menguji emosi penonton dengan menyelami batas pengorbanan, ketabahan serta keutuhan institusi keluarga dalam mendepani ujian getir kehidupan.
Tidak sekadar tertumpu kepada naskhah romantik dan air mata, Viu bakal menghangatkan bulan Ogos depan dengan pertaruhan thriller psikologi gelap menerusi siri Cela. Dibintangi oleh bintang ternama seperti Nabila Huda, Hun Haqeem dan Zarif Ghazzi, siri ini menjanjikan plot penuh debaran yang membawa penonton menyelami sisi gelap emosi manusia apabila watak-wataknya didorong ke titik paling getir, terperangkap dalam jaringan manipulasi dan keputusasaan yang berbahaya.
Melengkapi dominasi kandungan serantaunya menjelang September 2026, Viu bakal melancarkan Dia Perempuan Sialan, sebuah siri seram-thriller premium hasil kolaborasi produksi antara Malaysia dan Indonesia. Menggabungkan elemen seram, misteri dan konflik penuh ketegangan, naskhah hebat ini menggandingkan bintang popular Malaysia, Meerqeen dan Hannah Delisha, bersama aktres berbakat besar dari Indonesia, Caitlin Halderman.
Peminat drama tempatan dan serantau boleh menikmati kesemua siri Viu Original eksklusif ini dengan memuat turun aplikasi Viu di App Store, Google Play, Huawei AppGallery, atau menerusi TV pintar terpilih, selain melayari laman web rasmi www.viu.com untuk pengalaman penstriman yang lebih lancar.





