AIM25 Buat Julung Kali Di Sarawak, Tawar Dana Ganjaran RM950,000 & Dua Kategori Baharu
- oleh Editor MYBUZZ
- 16 Jul 2026 3:57 pm
KUALA LUMPUR – Anugerah Industri Muzik (AIM), acara anugerah muzik paling berprestij dan tertua di Malaysia, bakal menyambut edisi Jubli Perak ke-25 dengan penuh gilang-gemilang. Menariknya, buat pertama kali dalam sejarah penganjurannya sejak tahun 1993, malam kemuncak AIM25 akan berlangsung di luar Semenanjung Malaysia iaitu di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September 2026.
Langkah bersejarah ini memperlihatkan komitmen Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dalam memperluaskan pengiktirafan bakat tempatan di samping meraikan kepelbagaian budaya muzik multirasial di Malaysia.
Edisi kali ini bukan sahaja mencatat sejarah dari segi lokasi, malah turut menyaksikan sokongan kewangan berskala besar daripada pihak kerajaan. Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang dikendalikan oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd. telah meningkatkan peruntukan sebanyak RM250,000 menjadikan jumlah keseluruhan dana ganjaran mencecah RM950,000 berbanding RM700,000 pada edisi sebelum ini.
Daripada peruntukan tersebut, insentif lumayan menanti para pemenang:
- 15 Kategori Utama: Pemenang bagi setiap kategori (termasuk Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Pop Terbaik, dan Video Muzik Terbaik) akan membawa pulang geran DKK bernilai RM50,000 setiap satu.
- Kategori Album Terbaik: Pemenang bakal menerima geran DKK berjumlah RM200,000.

RIM umum AIM25 dengan kerjasama strategik MOTAC, MTCP Dan TVS. – Pengerusi RIM & AIM, Rosmin Hashim.
Selain itu, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) turut menyalurkan geran pelancongan khas sebanyak RM1 juta bagi memastikan kejayaan penganjuran AIM25 di Kuching.
“Sokongan padu ini membuktikan komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi dalam memperkasakan ekonomi kreatif negara, sekali gus mengiktiraf sumbangan penggiat seni dalam memperkayakan warisan budaya bangsa,” ujar Pengerusi RIM & AIM, Rosmin Hashim.
Selaras dengan usaha mencerminkan evolusi landskap muzik semasa, AIM25 memperkenalkan dua kategori baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan kategori bertanding sebanyak 33 kategori—julat terbesar dalam sejarah anugerah. Dua kategori tersebut ialah:
- Lagu Borneo Terbaik: Mengiktiraf karya kreatif yang meraikan keunikan budaya, bahasa, dan identiti komuniti di Sabah dan Sarawak.
- Lagu Perayaan Terbaik: Menghargai lagu-lagu bertemakan perayaan di Malaysia yang menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian kaum.
Bagi memastikan ketelusan dan integriti penjurian, komposer dan penerbit terkenal, Ajai, telah dilantik sebagai Ketua Hakim AIM25. Beliau akan mengetuai barisan panel juri profesional daripada pelbagai disiplin muzik sebelum keputusan rasmi diaudit oleh firma bebas.
Penganjuran AIM25 turut mendapat kerjasama TVS sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur, manakala CATS FM bertindak sebagai Rakan Radio Rasmi. Sebagai pemanas acara, TVS bakal menayangkan program khas 13 episod bertajuk Hits 122 Edisi AIM25 bermula 18 Juli 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam.
Pencalonan bagi AIM25 dibuka secara rasmi bermula hari ini, 16 Julai 2026 sehingga 6 Ogos 2026. Semua syarikat rakaman dan penggiat industri muzik tempatan yang menerbitkan karya komersial (Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil) antara 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025 dialu-alukan untuk menghantar penyertaan menerusi laman web rasmi di https://aim1.org.my/.
Senarai pendek Top 5 Finalis dijangka akan diumumkan kepada umum pada September 2026.
