Ikuti Kami:

Filem ‘Jangan Buang Ibu’ Sedia Runtun Jiwa Penonton Malaysia Setelah Berjaya Cipta Fenomena Di Indonesia!

Filem ‘Jangan Buang Ibu’ Sedia Runtun Jiwa Penonton Malaysia Setelah Berjaya Cipta Fenomena Di Indonesia!

KUALA LUMPUR – Ketika panggung wayang ligat didominasi filem genre seram dan aksi mendebarkan, peminat filem di Malaysia bakal disajikan dengan sebuah naskhah drama kekeluargaan dari seberang, ‘Jangan Buang Ibu’, yang muncul sebagai ‘kuda hitam’ yang telah berjaya mencetuskan fenomena luar biasa di Indonesia. Filem ini dilaporkan berjaya menarik minat 3 juta penonton hanya dalam tempoh 18 hari tayangan!

Diterbitkan oleh Leo Pictures dan mendapat sentuhan pengarah berbakat, Hadrah Daeng Ratu, filem yang diadaptasi daripada novel laris ‘Jangan Buang Ibu, Nak’ karya Wahyu Derapriyangga ini bukan sahaja mencatat kutipan pecah panggung, malah menjadi topik perbualan hangat di media sosial negara tersebut kerana penangan emosinya yang begitu membekas.

Filem 'Jangan Buang Ibu' Sedia Runtun Jiwa Penonton Malaysia Setelah Berjaya Cipta Fenomena Di Indonesia!

Pertama kali menonton naskhah ini, sewaktu sesi tayangan perdana filem ini anjuran Golden Screen Cinemas (GSC), di IOI Mall Kota Damansara, ia jelas bukan sekadar hiburan kosong. ‘Jangan Buang Ibu’ meletakkan penonton di hadapan sebuah cermin besar untuk membuat introspeksi diri mengenai erti ketaatan seorang anak.

Filem ini menelusuri kisah Ristiana (lakonan Nirina Zubir), seorang ibu tunggal yang memeras keringat membesarkan tiga anaknya di kota metropolitan Jakarta sambil menanggung beban hutang keliling pinggang selepas ditinggalkan suaminya (lakonan Dwi Sasono).

Namun, kesakitan sebenar bermula apabila anak-anaknya mula meniti alam dewasa. Kesibukan mengejar kerjaya, masalah rumah tangga, serta konflik peribadi membuatkan anak-anaknya, lakonan bintang popular Refal Hady (Tama), Amanda Manopo (Dewi), dan Saputra Kori (Tria), mula hanyut dalam dunia sendiri.

Kemuncak drama yang merobek tangkai hati penonton timbul apabila mereka mula berkira-kira untuk menghantar ibu yang semakin menua ke rumah orang tua (panti jompo), setelah rumah yang didiami ibu mereka selama ini, terpaksa dijual bagi menyelesaikan beban hutang si ayah yang tiba-tiba muncul setelah sekian lama menghilang.

Kekuatan utama filem ini terletak pada dialognya yang sangat dekat dengan realiti masyarakat hari ini tanpa perlu dramatik secara berlebih-lebihan. Nirina Zubir layak diberikan pujian untuk lakonannya. Beliau berjaya membawakan dengan cemerlang watak seorang ibu yang memendam derita dalam diam dengan begitu hidup; setiap kerutan wajah dan air mata yang menitis membuatkan satu panggung turut menangis.

Filem 'Jangan Buang Ibu' Sedia Runtun Jiwa Penonton Malaysia Setelah Berjaya Cipta Fenomena Di Indonesia!

Keserasian emosi antara Refal Hady, Amanda Manopo dan Saputra Kori sebagai anak-anak yang terdesak dan ego juga membuatkan penonton rasa ‘sakit hati’, namun dalam masa sama memahami dilema realiti kehidupan orang dewasa masa kini.

Secara keseluruhan, ‘Jangan Buang Ibu’ adalah sebuah naskhah ‘berhantu’ yang akan membuatkan sesiapa sahaja yang menontonnya terus rasa ingin menelefon dan memeluk ibu masing-masing sejurus melangkah keluar dari pawagam.

Bagi peminat drama air mata di Malaysia, bersedialah dengan tisu yang banyak apabila pergi menonton filem ini yang akan mula ditayangkan bermula 16 Julai 2026 di pawagam seluruh negara . Ia sebuah naskhah wajib tonton yang memberi amaran keras: jangan pernah sesekali melupakan syurga yang ada di bawah telapak kaki ibu.

Loading...